08:30PM Feb 08 2014
FOKUS SARAWAK: Apa kaitannya antara David Copperfield dengan Sarawak? Tiada apa-apa.
Apa kaitannya antara Taib Mahmud dengan Sarawak? Banyak.
Seperti ramai orang, saya sukakan David Copperfield. Dia yang terbaik dalam bidang silap mata.
Saya juga sama seperti penduduk Sarawak lain yang sama ada menyokong atau membenci Taib. Suka atau tidak, Ketua Menteri Sarawak; Tan Sri Taib Mahmud tidak pernah gagal mengejutkan dengan kelicikan berpolitiknya, yang tiada tandingan di negara ini. Musuh dan pengkritik terhebatnya pun kadang-kadang terpaksa menghormatinya, kerana dia genius dalam berpolitik.
Namun sebenarnya Taib lebih hebat dari Copperfield dalam bermain ilusi. Helahnya bukan silap mata!
David Copperfield, seorang pakar ilusi Amerika, disifatkan sebagai ahli silap mata paling berjaya dari segi ekonomi dalam sejarah silap mata. Kerjayanya selama 30 tahun telah memenanginya 11 Rekod Dunia Guinness dan bintang di Hollywood Walk of Fame.
Taib pun boleh disifatkan sebagai ahli politik Sarawak yang paling 'berjaya dari segi ekonomi'. Tidak perlulah saya menyenaraikan kejayaan (peribadi?) itu yang digapainya sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak. Berkajang-kajang panjangnya nanti. Kalau mahu tahu, saya cadangkan anda layari laman sesawang Sarawak Report untuk mempelajari ‘kejayaan kewangan’ Taib sebagai Ketua Menteri.
Taib tidak memerlukan anugerah Grammy, rekod dunia atau bintang Walk of Fame (satu hari nanti pasti patungnya akan didirikan pengikut setianya dalam PBB).
Minggu-minggu lalu, Taib menunjukkan kehebatannya untuk lesap. Dan ianya bukan ilusi, dibuat tanpa pembantu pentas.
Dengan begitu sahaja dia tidak menghadiri majlis, dan mengarahkan menteri kabinetnya bagi mewakilinya, sedang desas-desus mengenai masa depannya semakin rancak diperkatakan. Menurut seorang ahli keluarganya, dia masih berada di Sarawak. Dia dapat ‘hilang’ selama mana yang perlu. Hebat!
Dia kemudiannya muncul semula di Kuching pagi ini (8 Februari) dengan megah dan disambut laungan dan sepanduk namanya oleh ramai penyokongnya. Ini yang dia mahukan!
Ahli-ahli Angkatan Warisan Anak Sarawak, sebuah organisasi yang dikaitkan dengan PBB, berkumpul di depan ibu pejabat parti itu sambil mengangkat sepanduk dan melaungkan sokongan mereka supaya Taib kekal memegang jawatan Ketua Menteri.
Ya, Taib memang diketahui memiliki ego paling besar di Sarawak, tapi biarkanlah. Dia layak menikmati sanjungan rakyat, disebabkan rekod dan pencapaiannya. Jadi untuk kali ini, saya tabik Taib.
Seperti dijangka, turut terdapat sepanduk bertulis: “Kami penduduk kawasan pedalaman Sarawak menyokong sepenuhnya kepimpinan Abdul Taib Mahmud, teruskan mempertahan rakyat”.
Ini adalah persembahan yang telah dirancang, yang telah mencetuskan desas-desus di Sarawak selama berminggu-minggu. Taib belum pun bersedia meletakkan jawatan, dan sebelum minggu ini berakhir, dia akan menyatakan yang dia akan menuruti kehendak rakyat yang mahukannya kekal.
Apa-apa pun, komen bekas timbalan ketua menteri; Tan Sri Dr. George Chan, adalah paling sesuai bagi saya gunakan untuk menghabiskan rencana ini.
Dia memberitahu The Star hari ini yang “Taib Mahmud masih kebal”.
“Tiada tekanan luar terhadap imejnya akan berjaya membuatkannya turun dari jawatan yang telah dipegang sejak 1981 itu.
“Selagi Taib berjaya mengekalkan kerusi Barisan Nasional dan memperkukuhkan tabung negara dan negeri melalui pelaburan, Ketua Menteri paling lama di Malaysia itu tidak akan goyah,” tambah George.
Dia berkata yang tuduhan penyalahgunaan kuasa dan korupsi yang dibuat pembangkang terhadap Taib sahaja tidak akan dapat memaksanya meletakkan jawatan.
“Pada masa lalu, Taib telah berhadapan dengan ramai lawan yang cuba menamatkan kerjayanya sebagai ketua menteri. Dia kekal selamat,” jelas Chan, yang juga besan kepada Taib.
Ramai yang pasti memerhatikan permainan politik yang akan dipersembahkan di Kuching hujung minggu ini.
Saya pula, cukuplah pasal Taib. Dia terlalu realistik. Habis menulis, saya mahu menonton video David Copperfield. Ia lebih menghiburkan dan sudah tentu lebih menenangkan dari memerhati politik Sarawak dari jauh.
Francis Paul Siah mengetuai Movement for Change, Sarawak (MoCS) dan boleh dihubungi di sirsiah@gmail.com
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa