Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, February 9, 2014

Malaysia Perlukan PM Yang Tegas Dan Berani

Kenapa kita perlu PM yang tegas dan berani?

Shahbudin Husin


SUARA LANTANG: Selepas isu kalimah Allah yang hampir menjerumuskan pertelingkahan antara penganut agama Islam dan Kristian, kita kini berhadapan dengan masalah yang melibatkan kaum pula. Berpunca daripada penerbitan video yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa menghina Melayu, kerajaan dan Perdana Menteri, tiba-tiba muncul sebuah NGO yang menggelarkan dirinya Majlis Jamaah NGO Islam Malaysia, telah mengadakan demontrasi bantahan sambil menyembelih dua ekor ayam lalu darahnya dilumurkan pada gambar beberapa pemimpin pembangkang. 

Antara pemimpin pembangkang yang dilumurkan gambarnya dengan darah ayam itu ialah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang pernah menyuapkan kangkung ke replika Datuk Seri Najib Razak, selain gambar Teresa Kok sendiri. 

Walaupun tujuan demonstasi itu ialah untuk menyatakan bantahan terhadap video yang diterbitkan oleh Teresa, sambil menarik perhatian Perdana Menteri dan lain-lain pemimpin UMNO mengenai projek "ampu dan bodek" yang sedang dilakukan, tetapi tindakan melumurkan darah dalam konteks ditujukan kepada pihak lain, ia tentulah bermaksud provokasi yang mengajak kepada pergaduhan dan pertumpahan darah. 

Lebih memilukan, NGO yang sama yang dianggotai oleh kaum lelaki, turut menawarkan ganjaran sehingga RM1200 kepada sesiapa yang berani menampar muka Teresa Kok, walaupun diketahui pemimpin DAP itu hanyalah seorang wanita. Meskipun kita mungkin tidak bersetuju dengan tindakan Teresa Kok menerbitkan video tersebut serta kandungannya, tetapi perbuatan NGO terbabit tentunya lebih tidak boleh diterima oleh sesiapa juga yang berakal waras dan tidak gila. 

Jika tidak setuju, cukup sekadar menyatakan bantahan secara berhemah atau membuat laporan polis mengenainya, bukannya dengan serangan balas yang lebih melampau. 

Tindakan melakukan provokasi kaum sehingga ke tahap itu amatlah tidak wajar dan terkeluar daripada amalan politik matang yang sepatutnya menjadi amalan. Dalam politik, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara berbilang kaum dan budaya, perbezaan pendapat dan pertentangan hujah seharusnya diselesaikan melalui akal dan bukannya emosi. 

Daripada rentetan peristiwa yang berlaku, yang turut menjadi pertikaikan ialah sikap kerajaan, khususnya Perdana Menteri dalam menangani insiden yang dianggap tidak sihat itu. Selain beberapa laporan polis yang sudah dibuat dan pelbagai kecaman serta serang balas antara kelompok yang bertelagah juga semakin hangat melalui pelbagai media, apa tindakan kerajaan setakat ini? Perdana Menteri belum lagi memberi ulasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga seperti sudah hilang entah ke mana. 

Suara dan keberanian yang digegak-gempitakan sebelum pemilihan UMNO lalu, bagaikan sudah lenyap tersorok di perut bumi. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak berkata apa-apa. Apa sudah jadi dengan pemimpin negara kita? Dalam isu yang sebegini penting dan mendesak, kita seolah-olah berada di sebuah negara yang tidak mempunyai pemimpin sedangkan pemimpinlah yang sepatutnya mengambil tanggungjawab mengendur atau menghentikan sebarang ketegangan yang berlaku. 

Nampaknya, sama seperti isu kalimah Allah dan beberapa isu lain yang tegang sebelum ini, Datuk Seri Najib lebih senang memilih untuk berdiam diri dan seakan-akan bersembunyi. 

Sebagai Perdana Menteri di mana kedudukannya umpama nakhoda sebuah kapal yang perlu menunjukkan ketegasan, keberanian serta tidak takut membuat keputusan ketika datangnya badai dan gelombang, kekecewaan ini semakin dirasakan dalam isu darah ayam dan memberi ganjaran untuk menampar orang lain yang sedang berlaku ini. 

Walaupun dalam isu kalimah Allah dan provokasi perkauman yang terbaru ini belum menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya pergaduhan kaum tetapi jika Perdana Menteri terus bersikap lemah, tidak tegas dan penakut, kejadian yang sama bukan saja boleh berulang kembali, tetapi tidak mustahil ketegangan kaum dan agama yang berakhir dengan pertumpahan darah juga boleh berlaku di negara ini. 

Kita sudah melalui peristiwa pahit 13 Mei 1969 dan untuk terus maju dan bergerak ke hadapan, negara tidak mempunyai ruang lagi untuk membenarkan peristiwa yang sama berlaku untuk kali kedua. Berlakunya sekali lagi permusuhan kaum dan agama hanya meruntuhkan kemajuan yang ada dan akan menjadikan Malaysia terus mundur ke belakang. 

Dalam isu Teresa Kok dan tindakan melampau NGO terbabit, Perdana Menteri bukan saja perlu bersuara berdasarkan prinsip undang-undang yang menjadi pegangan kerajaan, bahkan tidak seharusnya juga takut untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang dirasakan boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara. Sebab itu, dalam beberapa isu dan provokasi yang boleh mencetuskan kekacauan, tindakan pantas Perdana Menteri menghalangnya melalui penguatkuasaan undang-undang amatlah perlu. 

Kenapa negara dapat bergerak dengan lebih selesa dalam memacu kemajuan di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad ialah kerana ketegasan dan keberanian beliau bertindak mencegah unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan seperti ini. 

Meskipun kita mungkin tidak bersetuju dalam beberapa langkah kerasnya yang bertentangan dengan kebebasan dan hak asasi, namun sikap tegas dan beraninya dalam memastikan keamanan, keharmonian serta tidak membenarkan berlakunya pertumpahan darah, tentunya dipersetujui oleh semua orang. 

Dengan adanya keberanian dan ketegasan yang ditunjukkan oleh seorang Perdana Menteri, semua unsur tidak sihat yang bertujuan melaga-lagakan kaum dan agama sambil dengan harapan dapat mengutip sekelumit habuan daripadanya, tidak akan berani memunculkan dirinya. Akhirnya, itulah sebabnya Perdana Menteri yang tegas dan berani amat diperlukan bagi negara kita

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa