Iban akan `tatap’ sokong BN”
Oleh: Kanul Gindol
KUCHING: Meskipun Tan Sri Alfred Jabu Numpang tidak dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak, namun kaum Dayak khususnya Iban, diyakini ‘tatap’ mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri yang dijangka tahun depan.
Itulah kesimpulan yang boleh dibuat atas keberanian ketua menteri yang akan bersara Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenepikan Jabu dari jawatan itu sebaliknya memilih iparnya Tan Sri Adenan Satem, sebagai pengganti mengemudikan bumi kenyalang.
Adenan, 70, bukanlah tidak layak, malah lebih layak dari seorang Timbalan Ketua Menteri.
Kalau Jabu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang berumur 74 tahu layak kenapa tidak pilih dia?
Itulah yang bermain di hati orang Dayak dan juga orang Sabah yang turut kehairanan. Namun mereka mempunyai pelbagai alasan kenapa Jabu tidak layak.
Kalau menolak Jabu naik pangkat dari awal, kenapa tidak minta sahaja beliau bersara dan lantiklah Adenan sebagai timbalan ketua menteri sementara menunggu hari Abdul Taib bersara, lepas itu dia boleh terus naik, tak perlu langkah bendul.
Politik memang penuh dengan pancaroba dan tipu muslihat. Seperti kata seorang kawan saya penulis veteran Joe Fernandez, orang politik tidak cakap yang benar mereka maksudkan, dan tidak maksudkan apa yang mereka cakap.
Suka mengelirukan
Jelasnya mereka suka mengelirukan orang-ramai termasuk orang-orang kanannya sendiri.
Tapi ini sudah ketinggalan zaman. Rakyat celek huruf mahukan pemimpin yang kata ya kalau ya, kata tidak kalau tidak.
Selepas ini, perlawanan sengit dijangka berlaku untuk jawatan presiden parti Abdul Taib iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).Adenan harus menang jawatan ini sekurang-kurangnya untuk satu penggal jika ini menjadi ketua menteri.
Kalau tidak dia bakal menjadi seperti ayam jaguh sabung yang telah dicabut bulunya, bertaji pun tidak bergaya lagi, hanya sekadar bahan ketawa peminat.
Setakat ini tidak diketahui isi hati pemain-pemain utama PBB seperti Adenan sendiri, Datuk Seri Amar Abang Johari Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, mahupun Jabu sendiri ataupun bakal gabenor Sarawak, Abdul Taib.
Sudah tentu di seberang sana, sedang menunggu kalau-kalau air sungai Sarawak keruh, boleh mereka menahan lukah dan pukat mereka. Bayangkan senario ini, seorang pemimpin kanan PBB lari dan menyertai Umno.
Apa kata kalau ada tiga empat Adun PBB menyertai Umno?
Siapa yang boleh halang hak demonkrasi mereka? Umno tentu melompat suka kalau dapat masuk dan bertapak di Sarawak, sekurang-kurangnya Umno pun sama taraf dengan PKR benar-benar telah menjadi parti nasional.
Umno masuk Sarawak
Tetapi Umno masuk ke Sarawak bakal mengundang masalah kepada parti itu sendiri. Jika ia berlaku, maka Sabah dan Sarawak akan mempunyai perwakilan atau suara paling besar dalam parti Melayu itu dan oleh itu dua negeri ini boleh naikkan dan turunkan siapa sahaja presiden Umno yang mereka suka.
Jadi Umno tidak mahu masuk ke Sarawak kerana ini, kecuali parti tua itu kemudian pinda perlembagaannya supaya macam mana pun halatuju keputusan undi dari Sabah dan Sarawak, presiden dan timbalan presiden Umno mesti dari Pahang, misalannya. Ini ganjil tapi tidak mustahil dalam politik.
Baik, kalau Umno memang tidak akan masuk ke Sarawak, kenapa timbulkan cerita-cerita dalam PBB kononnya kalau seorang Iban, Kristian pula tu, dilantik Ketua Menteri maka nanti ada alasan Umno masuk dan dibawa masuk Sarawak? Sebenarnya mereka timbulkan helah ini untuk mengabui mata supaya Iban menerima nasib mereka.
Di sebaliknya, keputusan mengekang Jabu daripada naik pangkat dan dipintas dilihat sesetengah pihak dalam PKR sebagai ada hikmah di sebaliknya.
Naib Presiden PKR, Tian Chua, yang sempat ditanya pandangan berkata beliau setuju dengan pandangan itu tetapi bukan mudah untuk mengambil hati apalagi meraih undi Iban dari BN.
“Kita kena bekerja lebih kuat di Sarawak terutama sekali di kalangan generasi muda…” katanya sekadar mengiakan, membayangkan bukan automatik pengundi Iban yang kecewa akan lari dari genggaman PBB dan BN di Sarawak.
Dalam kes ini benarlah seperti kata tajuk tulisan ini : ‘Iban akan ‘tatap’ sokong BN dalam pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa