Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, July 8, 2016

letak jawatan kabinet dan parti: Ahmad Husni Hanadzlah buka mulut

Ahmad Husni jawab sebab letak jawatan kabinet dan parti
07 Julai 2016 | BERNAMA
Ahmad Husni Hanadzlah 

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini berkata beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua kerana tidak mahu ditukarkan ke kementerian yang lain.

"Saya beritahu diri saya, satu hari (nanti) saya akan bersara, tetapi, saya tidak tahu bila. Namun saya putuskan bahawa persaraan saya hanya di Kementerian Kewangan.

"Sebab itu saya bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), saya beritahu beliau saya akan bersara dengan Kementerian Kewangan, jika anda mahu tukar saya, saya tidak mahu. Jadi, gugurkan saya," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Sungai Rokam di sini.

Ahmad Husni berkata beliau tidak mempunyai masalah langsung dengan Perdana Menteri, Kabinet mahupun parti.

Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua pada 27 Jun sebelum Najib mengumumkan rombakan Kabinet. Selepas itu, beliau juga meletakkan kesemua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai Anggota Parlimen kawasan Tambun.

Jawatan Menteri Kewangan Kedua kini disandang Datuk Johari Abdul Ghani.

Ahmad Husni berkata, beliau pada mulanya mahu bersara daripada politik pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan mahu menjadikan Kementerian Kewangan sebagai destinasi terakhirnya dalam kerajaan.

"Tetapi Perdana Menteri ada idea sendiri dan tukarkan saya ke kementerian lain," katanya.

"Kenapa saya mahu jawatan terakhir dalam kementerian itu, ini kerana di bawah MOF (Kementerian Kewangan) saya dapat membantu banyak pihak yang memerlukan.

Saya percaya bahawa di Kementerian Kewangan, saya boleh menyatupadukan orang ramai kerana saya percaya dalam kepelbagaian budaya," katanya.

Ahmad Husni turut menegaskan peletakan jawatan beliau dalam Kabinet dan Umno tiada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Tidak... 1MDB tiada kaitan dengan peletakan jawatan saya sebab saya nak bersara sudah lama. Inilah masalahnya apabila bersara, ramailah yang kata ini tentu adalah masalah.


"1MDB tidak ada kaitan langsung dengan peletakan jawatan saya kerana saya mahu bersara," katanya sambil menambah

"1MDB adalah satu perniagaan besar dan kita tidak boleh kata perniagaan itu sempurna sepenuhnya".

"Dalam perniagaan, ada dua perkara penting iaitu risiko perniagaan dan risiko kewangan. Ini bermakna sesiapa yang mengambil alih 1MDB, maka perlu lihat kedua-dua aspek ini. Jika mereka boleh, sudah pasti tiada masalah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni turut menafikan akan menyertai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun parti pembangkang.

"Tidak.. saya tidak akan menyertai (Dr) Mahathir atau mana-mana parti pembangkang sebab saya percaya dalam politik ada titik pengakhirannya," katanya.

Ahmad Husni berkata setakat ini, beliau ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik sebagai Anggota Parlimen Tambun dengan membantu para pengundi yang menyokong beliau selama ini.

"Sekarang ini, apa yang saya ingin lakukan merupakan perkara terakhir iaitu sebagai ahli Parlimen," katanya sambil menambah kawasannya mempunyai 99,000 pengundi dan kira-kira 300,000 penduduk.

"Mereka menyokong saya. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh berkhidmat sebagai ahli Parlimen setakat kemampuan saya.

Biarlah saya duduk tenang sebab apabila saya tidak lagi dalam politik, ia sangat indah, minda saya tiada lagi gangguan, sebab dalam politik banyak gangguan," katanya.

Sementara itu, beliau juga percaya dengan kepimpinan Datuk Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Kewangan Kedua.

"Saya akan nasihatkan beliau berusaha sebaik mungkin mengikut kemampuannya dan keduanya adalah integriti.

Anda tahu, ada sesetengah orang suka mengambil peluang. Kadang-kadang, mereka akan lihat kepada Kementerian Kewangan. Jadi, sila gunakan dan amalkan integriti sepenuhnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa