Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, April 5, 2014

Memali: Apakah Dalih Mahathir Kali Ini?

Semakan Mahathir mengenai diarinya mungkin tidak bermakna lagi
Shahbudin Husin - APRIL 05, 2014


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam akhirnya tampil dengan penjelasan panjang lebar mengenai peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 dan kaitan dengan kemunculannya dalam sebuah program di Kelantan minggu lalu yang membuatkan beliau mengatakan bahawa Mahathir Mohamad berada di dalam negara ketika peristiwa itu berlaku.
Dalam kenyataannya dalam program anjuran kerajaan negeri Kelantan yang turut disertai oleh Naib Presiden PAS Husam Musa itu, beliau bukan saja mengatakan Mahathir berada di dalam negara ketika peristiwa itu berlaku, bahkan juga dua tiga hari selepasnya.
Dakwaan Musa Hitam itu menimbulkan pelbagai persoalan baru tentang kesahihannya kerana maklumat sebelum ini mengatakan Mahathir berada di China pada tarikh tersebut.
Mahathir sendiri ketika bercakap mengenainya sehari selepas Musa membuat dakwaan itu turut tidak dapat mengesahkan secara tepat di mana beliau berada ketika itu.
Menurut Mahathir, oleh sebab kejadian itu sudah lama, kira-kira 30 tahun lalu, beliau sudah tidak ingat lagi mengenainya. "Pasal perkara itu sudah berlaku begitu lama, saya mesti semak baliklah apa yang dia katakan itu betul atau tidak," demikian Mahathir dilaporkan sebagai berkata mengenai dakwaan terbaru bekas timbalannya itu.
Bagaimanapun selepas seminggu berlalu, semakan Mahathir mengenai diairinya seolah-olah tidak menemui jawapan.
Sehingga ini, beliau masih tidak muncul untuk mengesahkan sama ada beliau berada di dalam negara atau di China ketika itu sedangkan untuk melakukan semakan itu, dalam dunia serba terbuka ini, bukanlah terlalu sukar.
Namun demikian, beberapa blog dan portal pro-kerajaan dilihat tampil mempertahankan Mahathir dengan mengemukakan beberapa keratan akhbar yang mengatakan Mahathir memang berada di China atas urusan rasmi.
Gambar Musa Hitam menghantarnya di lapangan terbang juga turut disertakan.
Tidak cukup dengan itu, bekas Ketua Pengarang Utusan, Zainuddin Maidin juga mengesahkan Mahathir berada di China, di mana beliau turut serta dalam lawatan itu.
Beliau juga merakamkan ingatannya bagaimana Mahathir terlihat sedih pada suatu ketika apabila baru menerima perkhabaran mengenai kejadian Memali itu.
Namun di penghujung tulisan di blognya, Zam juga terlihat ragu-ragu dengan awal-awal meminta maaf jika beliau tersilap mengenainya.
Blog dan portal tersebut juga banyak membelasah Musa Hitam berikutan dakwaannya itu dengan mengatakan beliau masih mempunyai dendam yang belum dilangsaikan terhadap Mahathir.
Di sebalik pendedahan blog dan portal itu, ada juga yang mengatakan bahawa lawatan Mahathir ke China itu sebenarnya hanya bermula pada 20 November manakala kejadian Memali direkodkan pada 19 November dan tidak mustahil juga serangan polis sudah pun bermula pada 18 November lagi.
Barangkali kerana menunggu terlalu lama untuk Mahathir menyemak diarinya dan mengesahkan di mana beliau sebenarnya berada ketika itu, maka hari ini Musa Hitam membuat keputusan tampil dengan kenyataan baru serta panjang lebar untuk mengukuhkan lagi dakwaan yang dibuatnya di Kota Baru sebelum ini.
Dalam penjelasan Musa Hitam ini, secara kesimpulannya, beliau mengesahkan sekali lagi bahawa Mahathir memang berada di dalam negara ketika kejadian itu, bahkan beliau bersama pemangku Ketua Polis Negara ketika itu turut memberikan taklimat kejadian kepada Perdana Menteri.
Menurut Musa, beliau ada meminta Mahathir menangguhkan lawatannya berikutan peristiwa Memali atas beberapa faktor seperti ia melibatkan umat Islam dan kejadian pula berlaku di Kedah, namun lawatan itu akhirnya tetap diteruskan juga, sambil menafikan beliau memangku jawatan Perdana Menteri ketika itu.
Dengan keberanian Musa tampil untuk kali kedua mengesahkan apa yang dikatakannya, serta menyebut beliau menunggu detik untuk menceritakan kebenaran ini dengan begitu lama, tidak syak lagi bahawa Mahathir memang ada di dalam negara dan hanya berlepas ke China selepas kejadian Memali itu.
Fakta lain yang mengesahkan Mahathir berada di dalam negara ialah berdasarkan buku tulisan Tunku Muszaffar Shah, Ketua Polis Baling ketika itu yang bertajuk "The Policeman Remembers".
Petikan helaian tulisannya itu sudah bertebaran di alam maya sejak minggu lalu lagi.
Ini sekaligus bermakna, semakan Mahathir terhadap diairinya mungkin sudah tidak bermakna lagi.
Penjelasan terperinci Musa ini memberi petunjuk bahawa Mahathir tidak perlu lagi menyemak diarinya kerana maklumat yang diberikan sudah cukup jelas.
Cuma, yang ditunggu selepas ini ialah apakah Mahathir akan mengakuinya atau beliau ada kilasan lain terhadap Musa Hitam?

2 comments:

  1. Tengah pening dok pikiaq apa lagi helah yg ada. Tapi tak pa, biaq pi kat depa lah. Apa nama ..., ceq ni pun dah tak lama dah, dekat nak masuk kuboq. Awat depa ingat kalau depa mai kencing ataih kuboq nanti, bulih sampai kat bawah ka. Ceq duk nun 6 kaki kat bawah, mana bulih ayaq kencing tu sampai. Apa nama .....tang anak2 ceq tadak apa nak ghisau, kaya dah dan kalau bulih dan sempat, nak bagi kat depa tu jadi lagi kaya, awatnya tak bulihka?

    ReplyDelete
  2. Che Det memang pelupa kot? Kan.melayu mudah lupa

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa