Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, January 17, 2015

MKN cuba sorok muka?

Banjir di K'tan tak sama tsunami di Jepun
mk - 4:19PM - 16 Jan 2015

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mencari alasan untuk mewajarkan kelemahan, kelengahan dan kegagalannya dengan membuat dakwaan melampau kononnya banjir di Kelantan seakan-akan tsunami yang melanda Jepun pada 2011.

Pada 11 Mac 2011, gempa bumi berskala 9.0 melanda Tohoku, Jepun; menghasilkan tsunami setinggi 10 meter yang menghancurkan segala-segala di laluannya dan mengakibatkan krisis nuklear setelah stesen janakuasa nuklear Fukushima dan lain-lainnya terjejas teruk.

Ia merupakan gempa bumi paling buruk pernah direkodkan dalam sejarah Jepun, dan yang keempat paling kuat di dunia sejak rekod disimpan pada tahun 1900.

Gempa tersebut menghasilkan ombak tsunami setinggi 40.5 meter (133 kaki) dan bergerak sejauh 10 km (6 batu) ke kawasan darat.

Agensi polis Jepun mengesahkan bahawa tiga musibah ini mengakibatkan 15,889 kematian, 6,152 cedera dan 2,601 orang hilang dalam kawasan 20 wilayah, manakala lebih 127,290 bangunan roboh, dengan 272.788 bangunan lagi separa roboh, serta 747,989 bangunan rosak.

Gegaran utama telah menyebabkan lebuhraya terbelah dua, meruntuhkan bangunan dan mencetuskan kebakaran di seluruh daerah Timur Laut pesisir pantai Pasifik. Tsunami yang muncul kemudiannya memusnahkan beberapa perkampungan.

Sejumlah 4.4 juta isi rumah di Timur Laut Jepun terputus bekalan elektrik, manakala 1.5 juta lagi terputus bekalan air.

Ratusan ribu mangsa dipindahkan apabila tsunami tersebut mengakibatkan kemalangan nuklear di tiga reaktor nuklear utama di kompleks loji tenaga nuklear Daiichi di Fukushima.

Bank Dunia menganggarkan kos ekonomi bagi tiga bencana di Jepun itu pada Mac 2011 sebanyak USD235 bilion, menjadikannya bencana alam paling mahal dalam sejarah dunia.

Walaupun bencana banjir 2014 yang melanda Kelantan dan daerah-daerah Pantai Timur merupakan bencana banjir paling teruk dalam sejarah Malaysia, melibatkan hampir sejuta mangsa dan memindahkan suku juta mangsa ke beberapa pusat pemindahan banjir, mengakibatkan kematian 25 jiwa.

Serta menjadi beberapa kampung seperti Manek Urai, Manjur dan Karangan di Kuala Krai bagaikan kawasan yang baru dilanda peperangan serta menyebabkan kerugian berbilion ringgit, ia bukanlah bandingan dengan bencana yang melanda Timur Laut Jepun pada 11 Mac 2011.

Pegawai MKN, terutamanya Setiausahanya Datuk Thajudeen Abdul Wahab telah membandingkan bencana banjir yang melanda Kelantan dan daerah Pantai Timur ini seakan-akan bencana yang melanda Jepun pada Mac 2011.

Sedangkan perbandingan sedemikian adalah amat tidak berasas, walaupun tujuannya terlihat jelas - untuk menghasilkan alasan ke atas kelemahan, kelengahan dan kegagalannya dalam menguruskan respon, bantuan dan pembinaan semula yang diketuai oleh MKN.

Sukar saya bayangkan bagaimana keadaannya jika Malaysia dilanda bencana alam sepertimana yang terjadi di Jepun pada Mac 2011.

Malah dalam wawancara dengan Malay Mail Online semalam, Thajudeen jelas lebih berminat mencari alasan bagi ke atas kurangnya kepimpinan, terutamanya kegagalan mengisytiharkan darurat, dan respon bencana yang tidak memuaskan terhadap bencana banjir 2014.

Menurut Thajudeen, bencana banjir baru-baru ini begitu teruk sekali sehingga ia melumpuhkan Pejabat Daerah Kelantan yang bertanggungjawab menguruskan bencana, justeru menghalang MKN daripada melakukan koordinasi dan menerima maklumat dari mereka.

Thajudeen menanyakan soalan retorik yang memperlihatkan kegagalan dan keadaan kesiapsiagaan pengurusan bencana yang begitu menyedihkan di pihak MKN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbanding cuba menjustifikasi lumpuhnya rantaian arahan dan komunikasi MKN pada hari-hari awal bencana tersebut berlaku, iaitu:

‘Kalaupun saya ada 50 atau 100 pegawai di sana, jika saya suruh semua orang dari seluruh negara untuk turun ke Kota Baru, tetapi kalau tak boleh berkomunikasi dengan mereka di sana, apa yang boleh kita lakukan?’

Oleh sebab itu kita telah menyaksikan episod mengejutkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hanya menyedari bencana banjir itu suatu musibah besar setelah empat hari pulang dari percutiannya di Hawaii, selepas beliau melawat dua kawasan paling teruk terjejas banjir di Gua Musang dan Kuala Krai.

Ini adalah minggu keempat banjir terburuk dalam sejarah Malaysia, namun fasa ketiga pembinaan semula pasca banjir belum pun bermula.

Pada hari Rabu, operasi bantuan banjir DAP Johor yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat DAP Johor diketuai Pengerusi DAP Johor yang juga Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong telah menyaksikan sendiri beberapa kampung di Kuala Krai seperti Kampung Manjur dan Kampung Karangan.

Berikut adalah laporan Chin Tong:

“Sudah hampir empat minggu sejak banjir di Kuala Krai pada 22 Disember 2014, namun keadaan setempat hampir langsung tidak berubah dan tambah merunsingkan. Kerja-kerja pembersihan sangat perlahan dan menghampakan.

“Pertamanya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengisytiharkan darurat ke atas kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dan mengerahkan anggota tentera dan semua aset yang mungkin untuk melakukan pembersihan segera bagi menghindar merebaknya wabak penyakit.

“Saya melihat sendiri di Manjor, sebuah kenderaan Kementerian Kesihatan dengan pembesar suara bergerak di kawasan sekitar dan menasihatkan penduduk untuk menggunakan air bersih dan menggunakan tandas yang betul. Namun ironinya ialah bekalan air dan elektrik masih belum ada, dan penduduk semuanya mandi di sungai.

“Kedua, pembinaan semula Kuala Krai dan yang lainnya mestilah bukan dengan cara kontraktor kroni menipu Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan kontrak. Kerajaan, di setiap peringkat, dan juga NGO, wajar meletakkan penekanan kepada mewujudkan pekerjaan sementara bagi penduduk tempatan dalam usaha pembinaan semula.

“Sesuatu yang serius mesti dilakukan segera bagi melindungi kesihatan orang ramai, dan pekerjaan sementara mesti diwujudkan bagi terus menjana ekonomi setempat.”

MKN mesti bingkas bangun memandangkan fasa kedua dan ketiganya dalam usaha membina semula infrastruktur pasca banjir terburuk dalam sejarah belum lagi mencapai tahap yang baik, dan langsung tidak memuaskan; apatah lagi selepas prestasi yang sangat mengecewakan dalam fasa pertama respon terhadap bencana.

Inilah sebabnya kenapa saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk melakukan kajian komprehensif terhadap pelan kesiapsiagaan pengurusan bencana, sama ada respon, bantuan atau pembinaan semula; bagi memastikan kelemahan-kelemahan, kelembapan dan kegagalan yang begitu teruk dalam persiapan menguruskan bencana, mitigasi dan bantuan bencana banjir 2014 akan menjadi pengajaran bagi menguruskan bencana di masa akan datang.

Daripada sekadar mencari alasan dengan membuat dakwaan merepek bahawa Malaysia tidak teruk sangat kerana banjir kali ini adalah seteruk bencana yang melanda Jepun pada tahun 2011; pemimpin Malaysia harus bangkit dari kerusi malas masing-masing dan mengambil pengajaran daripada kesilapan dan kegagalan pengurusan bencana dalam ketiga-tiga fasa respon, bantuan dan pembinaan semula bencana banjir 2014 kali ini.

LIM KIT SIANG MP Gelang Patah dan penasihat MP DAP.

2 comments:

  1. MANGKUK HAYUN...Kalau dah macam tsunami Jepun kenapa kau tak isytihar dharurat....DASAR PENIPU cskap berbelit. Xuba kalau rakyat Kelantan semua bangun berdemonsttasi minta pampasan...tentu timbul pula kenyataan yang bercanggah....contohnya banjir itu tidaklah seteruk mana sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan bantuan....
    Fikirkanlah...dengan RM 500 apa yang boleh dolakukan dalam keadaan sekarang. Orang besar mengambil rasuah berbilion ringgit dan disorok di luar negeri. Rakyat dalam kesusahan di bayar 500 sahaja.....

    ReplyDelete
  2. Jika aku MKN, aku katakan banjir dikelantan taklah teruk seteruk bencana musibah peperangan dunia kedua. Tak ada apapaun untuk nak bayar pampasan, semuanegara terlibat dalam perang. Otak selut MKN - mana mau lari hahhhh!!!!!!!!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa