Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, September 29, 2016

Adakah IDE secara halus sudah diresapi unsur-unsur luar untuk kepentingan pihak-pihak tertentu?

Wednesday, 28 September 2016

GEMBIRANYA PENYOKONG HISHAMMUDDIN DENGAN KELEMAHAN ZAHID HAMIDI, TAPI...

Sekali nampak macam kebetulan, dua kali diperhatikan seperti sudah bermulanya suatu gerakan. Itulah yang berlaku kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam sehari dua ini.

Mula-mula heboh diperkatakan mengenai ketidakfasihan sebutannya ketika berucap dalam bahasa Inggeris di Perhimpunan Agung PBB di New York. Di media sosial, ramai yang memperkatakan perkara itu dan tidak kurang yang memperlekehkannya.

Kemudian timbul isu satu kajian yang dilakukan Institut Darul Ehsan atau IDE yang melaporkan hasil dapatannya bahawa Hishammudin Hussein lebih menjadi pilihan berbanding Zahid Hamidi untuk menggantikan Najib Razak.

Hishammuddin dilaporkan mendapat 32 peratus undi manakala Zahid 31 peratus.

Semua orang tahu dan faham bahawa jika Najib memilih untuk mengundurkan diri, pilihan untuk menggantikan tempatnya ialah Hishammuddin, bukan Zahid. Zahid pun barangkali faham hakikat tersebut, tetapi pergantungan Zahid tentunya ialah popularitinya dalam UMNO selama ini.

Di dalam UMNO, rata-rata mengatakan hanya keajaiban atau sekiranya Najib mati mengejut saja yang membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Hishammudin lebih dijadikan pilihan bukan saja kerana pertalian darah keluarga, tetapi juga disebabkan lebih dipercayai oleh Najib untuk melindungi tinggalan buruknya selepas tiada lagi kuasa dalam genggamannya.

Memang Zahid lebih popular dalam UMNO dan sering mendapat undi tertinggi, tetapi sejarah UMNO telah membuktikan berapa ramai pemimpin popular yang kecundang di tengah jalan kerana diketepikan oleh kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri.

Timbulnya isu ketidakfasihan sebutan bahasa Inggeris Zahid dengan hasil kajian IDE yang hampir serentak masanya mungkin secara kebetulan, tetapi yang menghairankan juga ialah bagaimana kajian yang seolah-olah senada dengan selera dan keinginan Najib itu boleh timbul sedangkan IDE adalah badan pemikir yang terletak di bawah kerajaan negeri Selangor?

Apakah selain membuat pelbagai kajian mengenai isu-isu yang menguntungkan kerajaan negeri Selangor, IDE secara halus sudah mula diresapi oleh unsur-unsur luar untuk kepentingan pihak-pihak tertentu?

Selain itu, bagaimana IDE boleh membuat kajian mengenai pengganti Perdana Menteri sedangkan Najib sudah berulangkali menyatakan sebagai Pahlawan Bugis, beliau tidak sesekali akan berundur daripada jawatannya dan tetap melawan sehingga bumi terbelah dua?

Kajian IDE yang mendapati Hishammuddin lebih popular berbanding Zahid seiring dengan "bencana" yang berlaku kepadanya di PBB, bagaimanapun ternyata amat menggembirakan penyokong-penyokong anak Tun Hussein Onn itu.

Nada kegembiraan mereka sehari dua ini seolah-olah kerusi Perdana Menteri selepas Najib sudah terkhusus khas untuk Hishammuddin serta makin menjauh daripada Zahid.

Ketidakfasihan sebutan Zahid bukanlah suatu kesalahan besar sebenarnya. Beliau hanya menyebut perkataan-perkataan Inggeris dalam slanga Melayu atau Jawa yang lebih pekat di lidahnya. Ia sama seperti orang Arab, orang Korea, orang Jepun atau bangsa-bangsa lain ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.

Tetapi semua itu boleh diatasi dengan mudah. Sebagai pemimpin nombor dua dan banyak berurusan dengan negara luar, tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris yang baik adalah penting. Dengan wang yang dimilikinya, Zahid bukan saja boleh mengambil guru persendirian untuk memahirkan sebutan bahasa  Inggerisnya  dengan cepat, malah boleh juga memilih sama ada cara sebutan gaya Amerika, United Kingdom atau Australia untuk dipelajarinya.

Kesalahan tidak fasih sebutan juga tidaklah sebesar dosa rasuah atau menyonglap ribu-ribu juta wang rakyat. Oleh itu, mengambil kira latar belakang keluarga Zahid yang merupakan orang kampung biasa dan tidak belajar di luar negara, kesalahan  beliau itu seharusnya mudah kita maafkan. Yang kita tidak maafkan ialah sekiranya Zahid turut mencuri wang rakyat.

Meskipun kajian IDE mendapati Hishammuddin lebih popular berbanding Zahid dan ia telah merangsang keseronokan di kalangan penyokong-penyokong Menteri Pertahanan itu, sesuatu yang harus mereka sedari juga ialah pendapat majoriti rakyat lebih mahukan penyingkiran Najib melalui pertukaran kepada sebuah kerajaan baru berbanding penggantian dengan pemimpin daripada UMNO juga.

Siapa pun diuar-uarkan sebagai pengganti, menggantikan kerajaan UMNO dan BN tetap menjadi keutamaan kerana itulah satu-satunya cara untuk menyingkirkan Najib, sekaligus memungkinkan kebenaran 1MDB, wang derma beribu-ribu juta dan bagaimana Rosmah Mansor mampu berbelanja mewah di seluruh dunia, dapat diketahui oleh rakyat jelata. (SH 28/09/2016) - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa