Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, September 30, 2016

RUU Akta 355: Cerdik ke ni, belum bahas sudah disuruh sokong?

RUU Akta 355 untuk penuhi tuntutan politik
30 September 2016 | HAZAYANI ZAKARIA
Prof MadyaDr Shamrahayu Abdul Aziz (kiri) dan Dr Zukqarnain Lukman ketika bercakap mengenai RUU di USIM baru-baru ini.

Rang Undang-undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat lebih kepada tuntutan politik berbanding tuntutan syariah.

Peguam syarie, Dr Zulqarnain Luqman berkata, tindakan membaca usul berkenaan tanpa dibahaskan serta menangguhkan perbahasan selama lima bulan menimbulkan kontroversi dan perdebatan hangat dalam masyarakat.

Malah katanya, tindakan agamawan yang menyeru orang ramai menyokong Akta 355 adalah tidak masuk akal kerana ia belum pun dibahaskan.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

“Penyokong YB Marang memang bergerak aktif untuk ceramah di masjid-masjid, memberikan penerangan tentang Akta 355.

“Sehingga ada ustaz yang kata kalau Wan Azizah tidak sokong (RUU355) jatuh iman. Nanti tanam di jirat cina. Ini kan tak bagus. Ia masih dalam perdebatan di parlimen.

“Apa relevannya pergi ceramah RUU 355 di masjid-masjid? Ceramah di sini pun tak relevan pun sebenarnya sebab awak semua tak mengundi pun dalam Dewan Rakyat. 

“Tapi sebab ini dah jadi kecoh. Kalau tidak sokong dituduh kafir,” katanya dalam forum RUU355: Matlamat Politik atau Tuntutan Syariat di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai pada Rabu.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kontroversi kuliah Yang Dipertua Pas Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang menyifatkan ahli parlimen yang tidak menyokong RUU 355 sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah) dan layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).

Shaharuddin bagaimanapun telah menarik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Shamrahayu Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak bersetuju terhadap hukuman yang tidak ditetapkan seperti yang terkandung dalam seksyen 2A yang hendak dipinda.

Melalui Seksyen 2A, tidak dinyatakan bentuk dan had hukuman yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah kecuali “yang dibenarkan oleh undang-undang syariah selain hukuman mati”. 

“Adakah saya bersetuju dengan unlimited hukuman kecuali hukuman mati, saya tidak bersetuju dengan wording sekarang. Kalau kerajaan nak bawa RUU ini, kerajaan kena lihat balik untuk jumlah hukuman.

“Kita sokong pindaan dengan penambahbaikan. Kalau pindaan itu berlaku dalam keadaan sekarang saya payah untuk mengatakan bahawa saya sokong seratus peratus. Saya perlukan pindaan kepada wording dalam usul pemberitahuan. Tapi itu bukan bermakna menolak pindaan,” katanya.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa teknikal pelaksanaan kanun jenayah syariah peringkat kebangsaan yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan,berkata, tidak berbaloi untuk umat Islam berpecah belah hanya kerana pindaan Akta 355.

“Adakah berbaloi kita berpecah atas perkara menambah baik Islam? Semua kita nak tunjuk kita mahu tambah baik Islam. Parti A begini, parti B begitu. Tidak berbaloi untuk kita mencemuh atau berburuk sangka ke atas orang lain atas RUU ini,” katanya.

Sebagai rekod pada Mei lalu Abdul Hadi membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Tindakan Umno memberikan laluan kepada Presiden Pas untuk membentang Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 dibantah keras oleh empat pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) MCA,MIC,Gerakan dan SUPP yang mengertak akan melepaskan jawatan menteri kabinet masing-masing sekiranya hudud dilaksanakan.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula memperjelaskan pindaan terhadap Akta 355 itu bermatlamat untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa berlandaskan kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa