Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, September 24, 2016

PH tidak perlu bersusah payah membuka lorong untuk PAS!

'Pakatan Harapan tak perlu begitu obses dengan PAS'

Pakatan Harapan perlu bergerak terus mengatur strategi untuk berhadapan dengan Umno-BN dalam PRU14. Pakatan

Harapan perlu berani membuat keputusan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan sejarah PRU12 dan PRU13 tidak berulang. PRU14 harus dipastikan sebagai milik Pakatan Harapan.

Berdasarkan hakikat ini, Pakatan Harapan tidak perlu menunggu sesiapa, apalagi untuk membuka lorong kepada PAS. Pakatan Harapan tidak perlu begitu obses dengan PAS, memandangkan PAS bukan sahaja dilihat sukar diramalkan akan sikap, pemikiran dan tingkah lakunya, sebaliknya juga PAS dilihat tidak pernah teguh dalam setiap persepakatan dan persefahaman yang disertainya.

Pakatan Harapan tidak perlu menghabiskan masa untuk berunding berpakat dengan PAS. Pendirian PAS sudah jelas apabila presiden PAS telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP dan dengan parti-parti yang bekerjasama dengan DAP, bermakna PAS tidak bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti yang mempunyai hubungan kerjasama dengan DAP.

Realiti politik Malaysia, PKR, AMANAH dan PPBM, sama ada secara langsung atau pun tidak langsung, mempunyai hubungan politik dengan DAP. Tentu sekali PAS tidak akan bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti ini. Apa yang pasti Pakatan Harapan itu sendiri terbina serta terbentuk di luar daripada kompromi dan persefahaman politik dengan PAS. Hanya Umno, sebagai parti politik aliran arus perdana, yang tidak mempunyai kerjasama politik dengan DAP.

Pakatan Harapan perlu memberikan tumpuan secara sepenuhnya untuk mendominasi PRU14. Bagi tujuan tersebut, Pakatan Harapan perlu merangka strategi politik yang lebih kukuh dalam usaha untuk memobilisasi gerakan rakyat, bertujuan untuk mempertingkat undi, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar serta bertindak secara sinergistik untuk terus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap wibawa perjuangan politik Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan perlu memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam membanteras segala bentuk kepincangan politik dan keruntuhan moral politik yang membawa bencana kepada masa depan kehidupan rakyat. Pakatan Harapan perlu memperlihat akan kewibawaannya dalam menegakkan politik berintegriti tinggi serta perjuangan yang mendasari hak dan kepentingangan rakyat.

Pakatan Harapan perlu mampu menjadi model dalam agenda memartabatkan politik merentasi sempadan bangsa dan agama, sebagai formula kepada realiti masyarakat Malaysia masa depan. Pakatan Harapan tidak perlu menunggu PAS dalam mencorak keputusan politik untuk mewujudkan cabaran politik terhadap Umno-BN.

Pakatan Harapan seharusnya dapat membentuk keyakinan politik serta bersedia dalam apa situasi pun untuk bertindak bagi berhadapan dengan sebarang bentuk kemungkinan keadaan politik yang berlaku.

Pimpinan Pakatan Harapan yang mempunyai komitmen untuk mencipta realiti politik baru, berteraskan perjuangan merentasi kepelbagaian budaya rakyat, perlu membebaskan diri daripada para pemimpin hipokrit politik.

Mereka ini telah banyak mencederakan Pakatan Harapan, khususnya dalam pelaksanaan keputusan politik yang menyentuh kepentingan anggota Pakatan Harapan. Pakatan Harapan perlu bertindak atas asas roh dan semangat Pakatan Harapan itu sendiri.

Apa pun situasinya, kewujudan Pakatan Harapan bermakna lenyapnya Pakatan Rakyat. Maka atas kelenyapan Pakatan Rakyat itulah harus dibangunkan tindakan konkrit ke arah memperkukuh politik yang berteraskan nilai intelektual politik.

Seharusnya sudah tidak ada nostalgia terhadap Pakatan Rakyat, memandangkan sudah terbangun Pakatan Harapan. Segala bentuk definisi serta falsafah politik yang terencana dalam Pakatan Rakyat, telah pun dipindahkan ke dalam Pakatan Harapan.

Pemain politik dalam Pakatan Harapan harus lebih positif dan pro-aktif, tidak seharusnya memperlihatkan sikap yang mendorong kepada usaha untuk berdamping dengan pihak yang telah sedia jelas menolak akan kewujudan Pakatan Harapan.

DR KAMARUDIN MUSA adalah pensyarah Pengurusan Strategik Kualiti, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa