Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, September 6, 2016

Perjanjian Pakatan Harapan - Ke Mana Hala Tujunya ?

Posted on Monday, September 05 @ 13:09:17 MYT by paklang
Oleh ZULHAZMI BIN SHARIFF

Pada 9 Januari 2016 suatu Perjanjian Pakatan Harapan telah ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak mewakili parti masing-masing. Majlis menandatangani Perjanjian telah disempurnakan dengan gilang gemilang dan ketiga-tiga pihak mewakili parti masing-masing berikrar bahawa “Mewakili KEADILAN, DAP dan AMANAH, kami berjanji bahawa persetujuan-persetujuan ini akan dihormati, didokong dan dilaksanakan bersama oleh parti-parti kami selagi perjanjian ini berkuatkuasa dan persetujuan-persetujuan di dalamnya adalah mengikat ketiga-tiga parti”

Pengumuman sempurnanya permeterian Perjanjian dipropagandakan kepada seluruh negara bahawa inilah suatu Pakatan yang akan memacu usaha menjatuhkan Umno/BN dalam pilihanraya dan seterusnya menyelamatkan Malaysia dari kerosakan yang dilakukan oleh Umno/BN.

Bermula dari tarikh tersebut, Pakatan Harapan (PH) digambarkan akan bergerak secara bersesama dalam apa jua tindakan ke arah mencapai matlamat bersama iaitu menjatuhkan Umno/BN dan menyelamatkan Malaysia. Walau bagaimana pun mutakhir ini kelihatan bahawa Perjanjian tersebut sebenarnya tiada apa-apa nilai malah ianya hanya tidak lebih daripada retorik politik semata-mata. Beberapa tindakan parti-parti tertentu dilihat dan memperlihatkan bahawa segala persetujuan yang ditandatangani hanya sampah.

Pilihanraya Umum Negeri Sarawak (PUNS) memperlihatkan bagaimana KeADILan telah bertembung dengan DAP di beberapa kerusi yang mengakibatkan kekalahan kedua-dua parti kepada calon BN.

Fasal 5.2 dengan jelas menyatakan bahawa Pakatan Harapan akan meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan di dalam sesuatu pilihanraya di mana-mana peringkat. Calon tersebut akan dipilih oleh parti masing-masing yang diberi kepercayaan oleh Majlis Presiden untuk mewakili Pakatan Harapan di dalam pilihanraya tersebut.

Persoalannya ialah bagaimana pertembungan sesama sendiri masih boleh berlaku? Tidakkah perkara ini dibincangkan di dalam Majlis Presiden? Apa keputusan Majlis Presiden?

Fasal 1 Perjanjian Pakatan Harapan memperjelaskan bahawa apa saja keputusan hendaklah secara bersama melalui Majlis Presiden yang akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua (2) bulan atau mana-mana tempoh yang dipersetujui bersama. Setiap keputusan yang diambil hendaklah secara konsensus sebulat suara dan mengikat ketiga-tiga parti. Jika sudah ada keputusan dari Majlis Presiden siapa akan bertanding mewakili Pakatan Harapan, bagaimana pertindihan masih boleh berlaku? Siapa yang ingkar keputusan Majlis Presiden?

Naib Presiden KeADILan, YB Puan Nurul Izzah Anwar pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kejadian pertindihan kerusi tersebut akan disiasat tetapi sehingga hari ini tiada sebarang keputusan yang dimaklumkan. Adakah telah disiasat? Sudahkan ada keputusan siasatan? Apakah puncanya?

Sekarang kita sedang menghampiri Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangkakan pada tahun 2017. Segala gerak-kerja strategi dan tindakan sewajarnya dilakukan secara bersama berpandukan Perjanjian Pakatan Harapan.

Walau bagaimana pun kelihatan ada pihak yang bergerak secara bersendiri tanpa memaklumkan atau mendapat persetujuan Pakatan Harapan secara konsensus.

Terbaru kelihatan ada perbincangan di antara KeADILan Johor dengan PAS Johor. Ini diakui sendiri oleh seorang pimpinan KeADILan Johor bernama Jimmy Puah. Jimmy Puah dalam posting facebooknya menulis seperti berikut :

"Pencerahan Perjumpaan dengan PAS Johor 3/9/2016 - ini hanya adalah satu perjumpaan di antara 2 parti politik blok pembangkang. PKR adalah sebahagian Pakatan Harapan dan ini tidak akan berubah. Walaupun PAS tiada dlm PH tapi ini tidak bermakna mereka & kami tidak blh berkawan. Musuh politik kita hanya 1 iaitu BN. PAS juga setuju. Maka utk memastikan kemenangan dlm PRU nanti kami kena bermesyuarat dgn semua pihak dlm blok pembangkang. Perjumpaan kami juga bukan rahsia dan diketahui oleh rakan2 sekutu kami dlm PH. Tiada apa2 gabungan seperti ditajuk. Disebabkan keadaan politik sekarang maka PKR memikul tanggungjawap yg berat ini utk memastikan kekurangan 3 corner fight dan kalau blh 1 lawan 1 di antara pembangkang & BN. 

Mungkin ramai yg keliru atau xpuas hati dgn pendirian kami tetapi akhir hari tanya sendiri setuju atau tidak peluang terbaik selamatkan Malaysia adalah melalui 1 blok pembangkang yg bersatu? Pilihanraya akan diadakan tidak lama lagi. Adakah rakyat nak tengok pembangkang gaduh sesama sendiri?? Tentunya tidak."

Saya mohon merujuk kepada Fasal 5.7 Perjanjian Pakatan Harapan yang menyatakan seperti berikut :

Mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan tidak akan berunding secara bersendirian dengan parti yang tidak berada di dalam Pakatan Harapan mengenai apa-apa perkara bersabit pilihanraya kecuali dengan dimaklumkan kepada Majlis Presiden terlebih dahulu.

Persoalan yang timbul ialah adakah Majlis Presiden dimaklumkan tentang perbincangan ini dan memberikan mandat kepada KeADILan Johor untuk mengadakan perbincangan dengan PAS seperti yang dilakukan oleh Jimmy Puah? Jimmy Puah dengan jelas menyebutkan bahawa “Disebabkan keadaan politik sekarang maka PKR memikul tanggungjawap yg berat ini utk memastikan kekurangan 3 corner fight dan kalau blh 1 lawan 1 di antara pembangkang & BN.”

PAS tidak berada di dalam Pakatan Harapan, justeru sebarang perbincangan dengan PAS oleh mana-mana parti hendaklah berpandukan Fasal 5.7 di atas. Kegagalan mengikut Fasal 5.7 adalah amat-amat janggal.

Akhirnya saya merujuk kepada Fasal 7.2 Perjanjian di mana dengan jelas disebutkan bahawa “Sekiranya tindakan yang dibuat oleh satu parti secara jelas telah melanggar mana-mana perkara di dalam Perjanjian Pakatan Harapan ini dan keputusan bahawa tindakan itu melanggar Perjanjian Pakatan Harapan telah dipersetujui secara bersama oleh kesemua parti yang lain di dalam Pakatan Harapan, kesemua parti lain itu secara sebulat suara berhak membuat keputusan untuk menggugurkan keanggotaan parti yang membuat tindakan yang melanggar Perjanjian Pakatan Harapan itu dari Pakatan Harapan.”.

Manusia dipegang pada janji. Jika perjanjian yang diusahakan dan ditandatangan oleh setiap pihak tidak dipatuhi dan dihormati, apa lagi hendak diharapkan kepada semua parti-parti politik yang ada?

Saya memohon maaf jika surat ini menggangu Tuan-tuan semua.

Sekian.

ZULHAZMI BIN SHARIFF
5 September 2016

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa