Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, September 3, 2016

Ridhuan Tee masih 'jakun' dalam bab sukan?

Sukan melangkaui batas perkauman, Dr Ridhuan Tee usah fikir bukan-bukan
30 Ogos 2016 | CHUA HOCK KUAN
Seorang atlit yang cemerlang dan bagus patut diberi peluang yang adil, dan bukannya berdasarkan kaum

Dalam bulan kemerdekaan ini, timbul isu yang dibangkitkan oleh seorang yang bernama Ridhuan Tee Abdullah berhubung ahli sukan berbangsa Cina menjadikan sukan sebagai lubuk duit, perniagaan, dan populariti, dan patriotism hanya dibibir bukan dihati. Setelah membaca artikel ini, ramai yang marah, ada yang tersinggung malah ada yang melenting dan memendam rasa.

Namun, bagi saya kenyataan sebegini amat menggelikan hati dan ini tidak sedikitpun memeranjatkan bagi seseorang yang selalu menggelar masyarakat Cina sebagai ultra kiasu dan mengejar populariti dengan kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti perkauman. Jika bukan kerana memetik kenyataan-kenyataan yang agak sensitif, siapa kenal Ridhuan Tee Abdullah?

Saya agak sedikit terkilan apabila sukan yang sepatutnya menyatukan rakyat dan seluruh negara tanpa mengira kaum memberi sokongan, dan sambutan kepada atlit-atlit negara Sukan Olimpik yang baru tiba di tanahair lebih kurang seminggu lalu, telah dicemari dengan ayat-ayat yang kurang sensitif dari seorang yang bergelar Profesor Dr.

Di sini saya ingin berkongsi pandangan saya dengan beliau. Bagi seseorang ahli sukan digelarkan sebagai juara, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria, dan yang penting sekali adalah minat terhadap sukan tersebut sejak kecil, ditambah dengan bakat tersendiri dalam sesejenis sukan, jurulatih pertama yang mengesan dan mengasah bakat tersebut dan peluang mengikuti program pusat latihan mahupun sekolah sukan.

Kriteria luar pula adalah seperti kemampuan keluarga menampung kos latihan dan peralatan sukan. Jadi bagi saya, tidak timbul isu seseorang ahli sukan menceburi sesuatu sukan hanya untuk wang, dan dikritik sebagai tidak memiliki ciri-ciri patriotik, kerana sejak dari mulanya kanak-kanak berkecimpung dalam sesuatu sukan hanyalah kerana minat. Mereka tidak tahu suatu hari nanti mereka akan menjadi juara atau dapat mewakili negara.

Sekali lagi tendangan penalti Dr Ridhuan tersasar jauh dari gawang apabila menyifatkan kaum Cina sebagai tidak berminat dengan sukan berpasukan seperti bola sepak dan hoki kerana mengejar populariti dalam sukan individu seperti badminton.

Dr Ridhuan tidak boleh lari daripada kenyataan sebenar dalam sukan bahawa sukan bola tampar dan bola keranjang juga adalah sukan berpasukan. Beliau tidak harus membuat andaian, dan tidak mengaitkan sukan-sukan berpasukan tersebut yang banyak dimainkan oleh kaum Cina untuk dijadikan contoh perkauman dimana sukan bola sepak dan hoki rata-rata diwakili oleh kaum Melayu.

Untuk pengetahuan Dr Ridhuan, pendapatan pemain bola sepak professional yang mewakili negara dan negeri di negara kita boleh mencecah puluhan ribu ringgit sehingga melebihi seratus ribu ringgit sebulan. Adakah Dr Ridhuan masih setuju bahawa hanya sukan individu yang dikaitkan dengan lubuk duit? Walhal sukan seperti bola keranjang yang diminati kaum ‘ultra kiasu’ pula hampir pasti tidak mungkin mendapat habuan yang lumayan kerana tiada pencapaian yang baik. Namun, ‘ultra kiasu’ masih menyarung jersi Malaysia dengan bangga.

Biro Sukan Pemuda MCA ingin mengingatkan Dr Ridhuan Tee bahawa sukan adalah sesuatu yang melangkaui perkauman dan juga politik. Seorang atlit yang cemerlang dan bagus patut diberi peluang yang adil, dan bukannya berdasarkan kaum. Kita menghargai dan sayang setiap atlit negara tidak kira apa pencapaian mereka.

Namun, mereka yang mengharumkan nama negara, termasuk Pandalela Rinong mahupun Azizulhasni akan diberi lebih penghormatan dan perhatian. Jangan kotorkan fikiran umum dengan pemikiran kolot dan jumud. Sekiranya mentaliti seperti Dr Ridhuan Tee digunapakai dalam sukan, sukan tanahair takkan kemana. Negara bernasib baik kerana pemimpin, pegawai sukan mahupun jurulatih kita tidak mempunyai mentaliti yang sama dengan Dr Ridhuan.

Akhir sekali, saya mengajak Dr Ridhuan Tee yang juga seorang ‘ultra kiasu’ untuk bersama-sama menggalakkan anak-anak kita bermain bola sepak dan hoki semoga suatu hari nanti lahirnya semula jaguh sukan-sukan tersebut daripada kaum ‘ultra kiasu’. Biro Sukan Pemuda MCA ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-59.

Majulah sukan untuk Negara.

MALAYSIA BOLEH!

*Penulis Chua Hock Kuan adalah Ketua Biro Sukan Pemuda MCA Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa