Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, September 18, 2016

Hierarki jadi tradisi PAS: Mad Yaacob akan menjadi orang yang paling berkuasa

Ikut hierarki dan tradisi PAS, MB Kelantan pengganti Haron Din
Posted on Saturday, September 17 @ 16:35:05 MYT by paktam
Oleh Adam Abu Bakar

Berita pemergian Datuk Dr Haron Din, semalam, mengejutkan umat Islam di negara ini.Tatkala ahli dan pemimpin PAS bersedih dan terkesan dengan pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kini mereka sekali lagi kehilangan tongkat kepimpinan murabbi ummah.

Ratusan ucapan takziah serta doa mengiringi pemergian Haron yang meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Bagaimanapun, perjuangan Haron tidak terhenti di situ, sebaliknya akan disambung pemimpin seterusnya, malah ada pengganti yang akan memegang jawatan tertinggi dalam PAS itu.

Hierarki jadi tradisi PAS

Mengimbau sejarah PAS yang dipimpin Mursyidul Am PAS pertama, Yusof Rawa sehingga Haron, ia menyaksikan kekosongan jawatan itu akan diisi timbalan mursyidul am.

Dalam situasi ini, mengikut amalan dan tradisi PAS, Datuk Ahmad Yakob yang merupakan timbalan mursyidul am sepatutnya menerima baton perjuangan daripada Haron.

Perkara ini diakui anak sulung Yusof, Datuk Dr Mujahid yang berkata, mengikut hierarki parti, timbalan akan dilantik ke jawatan mursyidul am PAS.

“Dulu Yusof Rawa menjadi mursyidul am, kemudian diganti timbalannya, iaitu Nik Aziz. Apabila Nik Aziz pergi, timbalannya pada waktu itu adalah Haron.

“Jadi, apabila meninggalnya Haron, maka secara hierarki, timbalannya Ahmad Yakob akan menjadi mursyidul am,” katanya kepada FMT.

Pelantikan secara hierarki hanyalah amalan kerana tiada klausa atau fasal khusus dalam perlembagaan parti Islam itu yang menyatakan timbalan akan memangku jawatan berkenaan, jika mursyidul am tiada.

Apa yang diperuntukkan hanyalah ketiadaan mursyidul am untuk mempengerusikan mesyuarat, maka timbalan boleh menggantikan beliau mempengerusikan mesyuarat.

Mengikut Fasal 8(6) Perlembagaan PAS, ketua Majlis Syura Ulama yang dikenali sebagai mursyidul am dan seorang timbalannya yang dikenali sebagai timbalan mursyidul am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama daripada kalangan ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat, dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli Majlis Syura Ulama itu dan boleh diperbaharui pelantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, Mujahid yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sehingga hari ini, masih tiada orang yang melanggar hierarki Majlis Syura Ulama PAS.

“Setakat ini, tiada lagi yang melompat dan masih mengikuti ‘rank’. Kalau ikut amalan begitu, kita faham dia (Ahmad) akan jadi mursyidul am,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga tidak menolak kemungkinan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai mursyidul am PAS, memandangkan Yusof pernah memegang dua jawatan sebelum melepaskan jawatan presiden.

Sekali lagi dalam Perlembagaan PAS tidak dinyatakan secara khusus kriteria untuk melantik mursyidul am PAS.

Fasal 8(6) Perlembagaan PAS sebaliknya hanya menyatakan ketua Majlis Syura Ulama yang dikenali sebagai mursyidul am dan seorang timbalannya yang dikenali sebagai timbalan mursyidul am hendaklah dipilih dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama tersebut daripada kalangan ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun.

Pengganti Ahmad Yakob jadi teka-teki

Isu kedudukan mursyidul am PAS dalam Majlis Syura Ulama PAS tidak selesai setakat ini sahaja. Jika Ahmad meneruskan tradisi parti, maka Majlis Syura Ulama harus mencari penggantinya.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin Hassan, Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah serta Idris Ahmad mungkin terlepas jawatan timbalan mursyidul am PAS memandangkan mereka masih muda.

Manakala beberapa nama besar dalam parti Islam itu seperti Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh lebih sesuai dilantik meneruskan tradisi kepimpinan ulama, memandangkan mereka ialah ahli tertinggi Dewan Ulama PAS Pusat.

Perkara ini turut dipersetujui pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom yang percaya PAS akan terus memilih individu mempunyai karakter dan sifat seperti Haron untuk jawatan tertinggi itu.

“Jika mereka (Majlis Syura Ulama) hendak cari orang seperti Haron, kena cari yang bersifat konservatif, bukannya seseorang yang bersifat progresif,” katanya.

1 comment:

  1. Kenapa nak cari seperti Haron? Kenapa tidak yang seperti Nik Aziz?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa