Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, September 22, 2016

Silap jika ada sesiapa persenda Mahathir: Kenapa?

Silap jika ada sesiapa persenda Mahathir
Datuk A Kadir Jasin - Hari ini, 12:53 tengahari
ULASAN | Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersungguh-sungguh atau berjenaka apabila berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberikan apa saja yang diperlukannya untuk menjatuhkan perdana menteri.

Kalau sebaliknya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mempersendakan Dr Mahathir sebagai percubaan menyeronokkan bosnya, Datuk Seri Najib Razak, saya rasa dia tersilap besar.
Dr Mahathir pastinya tidak berjenaka apabila berkata beliau sedang berusaha menjatuhkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau terpaksa berusaha menjatuhkan BN kerana parti gabungan itu enggan menyingkirkan Najib. Pada asalnya beliau tidak berhasrat menumbangkan BN. Beliau hanya mahu Najib berundur.

Tetapi apabila BN, khususnya Umno, terus taat kepada Najib sebagai ketua parti dan perdana menteri, beliau mengubah matlamat kepada mengalahkan BN pada PRU akan datang.
Bagi Nazri - kecualilah dia bebal kelas dedak - dia tentu tahu Dr Mahathir jarang berjenaka dalam hal-hal yang serius seperti kesejahteraan negara.

Berkenaan menghiburkan Najib pula, saya rasa amat sukar menyeronokkan beliau sekarang. Bayangkan, macam mana nak gembira kalau hendak ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pun tak selesa - takut ditanya bukan-bukan oleh kor media PBB atau kena ejek penunjuk perasaan di seberang jalan di hadapan bangunan PBB.

Lagi menggerunkan adalah kemungkinan dikunjungi agensi penyiasatan jenayah AS yang ingin berbual-bual dengan “Malaysian Official 1”.

Tak cukup dengan itu, anugerah Unesco kepada isterinya, Rosmah Mansor, berkaitan projek PERMATA Negara biayaan kerajaan dibatalkan pula oleh penganjur bersamanya "kerana laporan Wall Street Journal (WSJ) dan New York Times (NYT)".

Satu dunia sudah tahu pendedahan sensasi dua akhbar itu mengenai skandal berbilion ringgit membabitkan duit 1MDB.

Ramai orang tahu betapa besarnya pengorbanan Najib demi isterinya. Kita pun tahu juga pasangan Najib - Rosmah amat menggemari pertemuan global berprofil tinggi serta peluang beristirahat serta membeli-belah di butik-butik berjenama tinggi.

Tapi tahun ini mereka sudah ketinggalan dua persidangan besar dalam diari antarabangsa iaitu UNGA di New York dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland Januari lalu.

Secara kebetulan kedua-dua negara yang menjadi tuan rumah persidangan yang disebutkan itu - AS dan Swirzerland - adalah juga antara negara yang sedang menyiasat dan bertindak ke atas skandal 1MDB.

Seperti diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib adalah “Malaysian Official 1” (MO1) 1MDB.

Dr Mahathir tak lawak

Berkenaan Dr Mahathir, saya berasa saya boleh bercakap mengenai betapa sayang dan komitednya beliau kepada Umno.

Saya sangat yakin beliau pasti tidak meninggalkan Umno apatah lagi menentangnya kalau Najib mengundurkan diri atau disingkir.

Malangnya, seperti kita semua lihat, setiap hari yang berlalu Najib menjadi lebih kuat kerana dia serta konco-konconya bersedia menggunakan apa saja instrumen dan institusi negara untuk bergayut pada kuasa.

Harapan kita hanyalah PRU. Itu pun kalau tidak disabotaj, dikhianati dan diselewengkan oleh instrumen dan institusi negara, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan para penghasut pro-Umno/BN.

Sejak 1946 - ketika masih belasan tahun - Dr Mahathir komited dan sayangkan Umno. Tetapi hari ini komitmen beliau adalah mengalahkan Umno.

Seperti sering beliau ungkapkan, latihan perubatan mengajar beliau tidak terlalu emosi dan lebih praktikal. Kalau beliau perlu memotong kaki pesakit demi menyelamatkan nyawanya, itulah yang akan beliau lakukan.

Jadi kalau orang seperti Nazri berasa bahawa dengan mempersendakan Dr Mahathir mereka boleh melemahkan semangat beliau, mereka silap besar.
Meminjam ungkapan yang dipakai oleh Datuk Seri Tengku Adnan Mansor baru-baru ini, saya yakin ramai orang, termasuk pemandu teksi tahu punca dendam kesumat Nazri terhadap Dr Mahathir dan mengapa dia teramat sayang kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

Nazri dan Najib sepatutnya sedar bahawa setiap cabaran dan sindiran yang mereka tujukan kepada Dr Mahathir mengukuhkan lagi iltizam beliau untuk berjuang. Perjuangan adalah sinonim dengan Dr Mahathir.

Macai, balaci dan 'kamjat' mereka mungkin tidak tahu kerana usia mereka baru setahun jagung dan kail mereka panjang sejengkal.

Maaflah kalau saya kata, saya boleh bercakap sedikit sebanyak mengenai Dr Mahathir kerana saya mengenali beliau agak lama – 52 tahun.

Dalam tempoh itu, ada ketika kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita berbeza pendapat dan, dari sudut pandangan sesetengah orang, kita bergaduh. Satu ketika Tan Sri Sanusi Junid sewaktu menjadi menteri besar Kedah beranggapan Dr Mahathir dan saya “bergaduh besar” sehingga dia membawa Dr Mahathir ke rumah ayah saya di Pendang, Kedah dan memberikan seekor lembu untuk dikorbankan.

Bersetuju atau tidak, kita tetap berkawan. Itulah ikrar saya kepada beliau apabila saya meletakkan jawatan ketua pengarang Kumpulan NSTP pada 2000.

Kami berpisah jalan, tetapi kami tetap bersama dalam perjuangan.

Beberapa hari sebelum melancarkan kempen Selamatkan Malaysia/Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu, beliau memanggil saya ke rumahnya di Seri Kembangan bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, untuk berbincang mengenai legality perisytiharan itu.

Selesai berbincang, Dr Mahathir membisikkan kepada saya bahawa beliau terpaksa meninggalkan Umno sebelum melancarkan deklarasi itu.

Saya memberitahu beliau yang saya tidak terperanjat kerana saya sendiri telah meninggalkan Umno lebih setahun. Saya keluar Umno secara rasmi pada 29 Jun 2015.

Beliau nampak terkejut tetapi mungkin berasa lega kerana orang lain yang beliau kenal lama pun telah meninggalkan Umno secara rasmi.

Bahaya cabar Dr Mahathir

Saya mengenali Dr Mahathir pada 1964 apabila beliau datang ke kampung saya untuk bertanding kali pertama mewakili PERIKATAN pada pilihan raya umum tahun itu.

Waktu itu saya berusia 16 tahun dan rumah saya adalah antara tempat persinggahan beliau kerana ayah saya cergas dalam Umno.

Kesilapan besar sesiapa pun yang berdepan dengan Dr Mahathir adalah mencabar kegigihan beliau dan mempersendakan rancangannya.

Buat masa ini, rancangan nombor satu beliau adalah menjatuhkan BN dalam PRU akan datang melalui kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang.

Kalau bukan seorang yang gigih, beliau sudah lama menyerah kalah, khususnya setelah bersara daripada jawatan perdana menteri pada 2003.
Pelbagai halangan, tembok dan ranjau didirikan untuk menghalang beliau daripada terus memainkan peranan sebagai mentor demi negara yang beliau cintai.

Ahad lalu beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa menyewa pesawat eksekutif untuk terbang ke Alor Setar bagi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana kesuntukan masa.

Beberapa jam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Kedah, beliau merasmikan mesyuarat agung Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) di Kuala Lumpur.

Kata beliau, kawan-kawan pernah berlumba-lumba meminjamkan pesawat peribadi mereka ketika beliau menjadi perdana menteri kini menghilangkan diri. Mereka takut dilihat bersama beliau.

Pada sebelah malamnya, Dr Mahathir bertolak ke London. Oleh kerana tidak ada pesawat peribadi untuk digunakan, beliau terbang dengan pesawat perdagangan.

Menurut kakitangan beliau, mereka mencadangkan beberapa syarikat penerbangan, tetapi Dr Mahathir bertegas mahu terbang dengan MAS.

Cintanya kepada negara mengatasi keselesaan diri. Bukanlah mudah bagi seorang yang berusia 92 tahun berkongsi pesawat raksasa (Airbus A380) dengan 500 penumpang lain untuk penerbangan 13 jam.

Jadi kalau ada orang - tidak kira bangsa atau kedudukan menteri, raja sebuah “negara”, temenggung, bendahara, syahbandar, bloger pelarian atau pemakan dedak - yang berasa mempersendakan beliau sebagai orang tua nyanyuk boleh mematahkan semangat beliau mereka silap besar.

Cacian dan jenaka murahan mereka mungkin membuatkan sesetengah orang ketawa berdekah-dekah, tetapi bagi Dr Mahathir ia umpama kuman yang menguatkan lagi daya tahan badannya. Azam dan iltizam beliau menjadi bertambah kukuh.

Itulah Dr Mahathir yang saya kenali dan dampingi sejak 52 tahun lalu. Beliau bukan insan yang gilakan sanjungan dan patah hati semata-mata kerana makian dan cacian. Hidup matinya berakar-umbikan perjuangan.

DATUK A KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP. Artikel ini pertama kali disiarkan di blognya - The Scribe A Kadir Jasin.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa