Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 7, 2017

Shafie disiasat SPRM lagi

SHAFIE DISIASAT SPRM LAGI PADA ISNIN, SELASA GILIRAN PETER ANTHONY PULA
November 6, 2017
Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
Shafie Apdal tiba di pejabat SPRM pagi Isnin diiringi oleh peguamnya

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal disiasat lagi pada hari Isnin, kali ini berkaitan kontrak penyelenggaraan sebuah universiti di Sabah.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada jam 10.15 pagi dan keluar lebih tiga jam kemudian.

Apabila ditemui di rumahnya pada tengahari, Shafie enggan mengulas apa yang berlaku di pejabat SPRM dan cuma memberitahu beliau akan membantu dalam siasatan itu.

Pada sebelah petang pula, BorneoToday diberitahu bahawa Peter Anthony, naib presiden Warisan Sabah juga dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

Difahamkan, kes ini terlibat dengan kontrak penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
PETER ANTHONY

Peter, yang juga presiden KDM Malaysia, pernah disiasat berkaitan kes ini beberapa tahun lalu.

Bulan lepas, dia dilepaskan atas jaminan SPRM berjumlah RM50,000 dengan dua jaminan tempatan, berhubung kes dakwaan penyelewengan dana untuk projek luar bandar di Sabah setelah direman lapan hari.

Mengenai dengan panggilan SPRM yang terbaru terhadap Ahli Parlimen Semporna itu, Setiausaha Warisan, Loretto J Padua menjelaskan Shafie dipanggil berhubung satu kes lama.

“Ia cuma kes kecil berhubung bil lama yang disiasat SPRM,” kata Padua, yang juga salah seorang peguam Shafie.

Difahamkan, ia berkaitan tandatangan Shafie bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk mendapatkan kontrak yang dikatakan bernilai RM43 juta ketika beliau memegang jawatan menteri.

Shafie sebelum ini direman lapan hari berhubung siasatan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di Sabah yang dilaporkan berlaku dari tahun 2009 hingga 2015.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 termasuk RM80,000 deposit.

Bercakap dengan BorneoToday sebelum beliau berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri siding Dewan Rakyat, Shafie berkata dia tiada masalah membantu dalam siasatan SPRM.

“Mereka panggil saya minggu lepas, tetapi saya minta tukar kepada hari ini kerana ada temujanji dengan doktor, dan SPRM bersetuju,” kata Shafie.

Beliau enggan mengulas lanjut bila ditanya samada SPRM akan memanggil dia lagi.

Dalam perkembangan lain, difahamkan beberapa pemimpin Warisan Sabah telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan di balai polis Karamunsing.

Apabila dihubungi, Junz Wong, salah satu naib presiden Warisan Sabah berkata ia mungkin berkenaan dengan ‘perhimpunan’ di luar perkarangan Makhamah Kota Kinabalu bulan lepas.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa