Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, January 14, 2015

Pesan Allahyarham Tun Razak

Bapa saya akan terkejut, kata Nazir Razak
OLEH THE MALAYSIAN INSIDER
Published: 14 January 2015
Gambar Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bersama Setiausaha Politik Tan Sri Abdullah Ahmad (kanan) di Pejabat Perdana Menteri, Jalan Dato Onn pada tahun 1974. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Januari, 2015.

Anak bongsu perdana menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia pada tarikh hari ini 39 tahun lalu, menyeru penubuhan majlis perundingan negara untuk menyatukan rakyat Malaysia, seperti yang pernah dilakukan bapanya selepas rusuhan kaum 1969.
Ahli perbankan Datuk Seri Nazir Razak berkata demikian ketika ditanya The Malaysian Insider (TMI) apa pesanan yang mungkin bapanya sampaikan jika beliau boleh bercakap kepada rakyat Malaysia hari ini.
“Saya fikir beliau mungkin kata ini adalah masanya menubuhkan satu lagi majlis perundingan negara seperti dilakukannya pada 1970 bagi membincangkan isu kritikal mengenai mengekalkan keharmonian dan menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Nazir.

“Saya fikir beliau akan terkejut kerana pada 2015, kaum dan agama semakin memisahkan rakyat Malaysia berbanding zamannya.”
Nazir menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya dan abangnya, Johari, Nizam dan Nazim mengenai bapa mereka sebagai sebahagian daripada siri rencana yang akan TMI siarkan sempena memperingati pemergian Razak, yang meninggal dunia dalam usia yang muda, 54 tahun kerana penyakit leukemia di London pada 1976.
Razak dan isterinya Toh Puan Rahah dikurniakan 5 anak lelaki dan yang sulung, sudah tentu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mengambil alih jawatan perdana menteri pada 1971, Razak membentuk Barisan Nasional (BN) untuk memasukkan yang sebelumnya parti pembangkang seperti PAS, Gerakan dan SUPP sebagai sebahagian usaha perdamaian dalam negara.
Di luar negara, pencapaian terbesarnya ialah mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara Komunis China pada 1974 – ahli Asean yang pertama berbuat demikian. Beijing pada masa itu menyokong pemberontakan komunis di banyak negara Asia Tenggara.
Ahli sejarah berkata agak malang Razak meninggal dunia terlalu awal iaitu memasuki tahun kelimanya dalam melaksanakan polisi utama yang diperkenalkan pasca 1969, seperti Dasar Ekonomi Baru (NEP) dan Dasar Pendidikan Negara yang menjadi pertukaran medium di sekolah kebangsaan daripada menggunakan bahasa pengantar Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.
Di sebalik hakikat polisi radikal diperkenalkan untuk menstabilkan negara pasca 1969 dan dibantah oleh golongan pro-Melayu, mereka yang mengenalinya secara rapat, malah pesaing politiknya juga berkata Razak adalah seorang yang menyokong kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian kaum.
“Sebagai pemimpin yang paling menonjol di kalangan bapa pengasas kita, Tun Raza berharap negara kita menjadi pelbagai agama, majmuk untuk kebaikan rakyat Malaysia,” kata Tun Musa Hitam, yang pada zaman awal 1970-an adalah golongan muda Umno dan prodigi Razak.
Penyokong setia DAP Lim Kit Siang berkata, bersama-sama Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, Razak memastikan Malaysia kekal sebagai masyarakat sekular dan pelbagai kaum yang kuat dalam tempoh 25 tahun selepas kemerdekaan.
“Sepanjang menjadi perdana menteri dari 1957 hingga 1981, asas Malaysia sebagai negara berbilang kaum, demokratik dan sekular di mana Islam adalah agama persekutuan tidak dipersoalkan,” katanya kepada TMI.
Tan Sri Tan Sri Ramon Navaratnam, yang pada ketika itu seorang penjawat awam muda berkata Razak adalah inspirasi kepada semua kakitangan awam kerana dia memimpin melalui teladan.
“Sebagai perdana menteri, beliau menunjukkan kami contoh yang baik dalam memimpin. Dan pada masa itu, kami tidak begitu kisah kerana itu memang etika kakitangan awam pada zaman itu,” katanya.
Satu lagi sifat Razak yang menjadi legenda ialah beliau hemah dalam berbelanja dan berhati-hati menggunakan wang negara dan sikap itu yang sering ditekankan kepada anak-anaknya.
“Beliau pastikan perbezaan antara duit sendiri dan duit rakyat,” kata Nizam. “Berbelanja untuk keluarga mesti duit sendiri.”
Di bawah adalah soal jawab dengan Johari, Nizam, Nazim dan Nazir. Untuk beberapa hari akan datang, TMI akan menyiarkan temubual bersama Musa, Lim, Ramon dan juga Kassim Ahmad, Tan Sri Abdullah (Kok Lanas) Ahmad dan Tan Sri Michael Chen berhubung pendapat mereka mengenai Razak dan legasinya.
TMI: 14 Januari adalah ulang tahun ke-39 pemergian bapa anda Tun Abdul Razak. Bagaimana keluarga memperingatinya?
Nizam: Seperti setiap tahun sejak 38 tahun lalu kami mengadakan kenduri tahlil untuk memperingatinya. Ini adalah satu hari dalam setahun di mana keluarga menandanya dalam kalendar. Kami jemput rakan keluarga, saudara mara dan rakannya.
Nazir:   Tahun ini ia akan diadakan di Masjid Ar Rahah di Bangsar South.
TMI:  39 tahun adalah tempoh yang lama tetapi apa yang anda ingat pada hari itu 14 Januari, 1976 dan beberapa hari sebelum kematiannya? Kami difahamkan anak-anak tidak tahu keadaan penyakitnya. Di mana anda pada masa itu dan bila anda diberitahu penyakitnya semakin teruk?
Johari:  Saya bersama ayah saya di London pada hari-hari terakhirnya di sana. Saya sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincolns Inn dan pada masa beliau datang ke sana, ia cuti Krismas. Saya diberitahu ia hanya untuk pemeriksaan dan saya tidak tahu sebenarnya ia lebih serius.
Saya ingat selepas beliau tiba, kami terus ke hospital dari lapangan terbang dan terfikir agak pelik bila kami terus ke klinik London. Jika ia hanya untuk pemeriksaan biasa, tidak ada sebab mengapa kami perlu bergegas ke sana tanpa ke hotel terlebih dulu.
Doktor hanya memberitahu saya seminggu sebelum kematiannya yang ayah menderita leukemia dan beliau didiagnos menghidap penyakit itu sekitar September 1969. Malah, pada masa itu doktor memberitahunya beliau ada paling lama 2 tahun. Anda boleh bayangkan betapa terkejutnya saya ketika itu.
Hampir tidak percaya kerana sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak pernah sakit dan tiba-tiba diberitahu bukan saja beliau menghidap leukemia tetapi tidak ada banyak masa lagi untuk hidup.
Saya tanya doktor berapa tahun lagi dia ada? Doktor menjawab bukan berapa tahun atau bulan atau bukan juga minggu. Ia hanya hari.
Beliau tidak pernah beritahu keluarga. Doktor beritahu kami jangan berbincang dengannya kerana beliau mungkin akan bersedih kerana kami sudah tahu. Ini juga menandakan kepadanya beliau mungkin tidak dapat bertahan lebih lama. Hingga ke hari ini, saya tidak pasti mengapa beliau tidak mahu keluarga tahu tetapi saya teka kerana beliau tidak mahu kami risau. Beliau juga tidak mahu sebarang ketidakstabilan politik yang mungkin akan bangkit jika orang lain tahu penyakitnya dan dia mungkin tidak dapat hidup lama.
Beliau  terus bekerja hingga ke akhirnya dan tidak berhenti mengambil masa bertenang seperti kebanyakan orang lain yang menghidapi penyakit seperti itu.
Nizam: Umur saya 17 tahun ketika itu, belajar di England. Kami sangat teruja ketika terima berita ayah datang ke London ketika cuti Krismas kami untuk berehat. Saya tidak ada sebarang rancangan untuk Krismas kecuali tinggal di London, jadi kedatangannya disambut.
Saya terkejut ketika melihatnya turut dari pesawat. Beliau kelihatan sangat kurus dan tidak sihat tetapi apabila kami diberitahu beliau kurang sihat dan datang untuk berehat, saya fikir ia adalah situasi biasa “sakit dan akan baik”.
Bapa saya dimasukkan ke hospital beberapa hari. Selepas dibenarkan keluar, saya fikir semuanya akan kembali normal. Kehilangan emak saya secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mengejutkan.
Kami menghabiskan masa yang meninggalkan kenangan di London dan banyak taman dan pergi ke restoran serta kedai kegemarannya.
Kurang seminggu selepas keluar hospital, beliau sakit semula dan dimasukkan sekali lagi ke hospital. Pada masa itu doktor beritahu saya yang ayah saya sangat sakit. Seperti mana-mana anak pun, saya tidak mahu mempertimbangkan sebarang pengakhiran selain beliau akan sembuh semula. Tetapi keadaannya semakin teruk dan dalam tempoh beberapa hari selepas diberitahu beliau sakit teruk, beliau meninggal dunia. Saya berada di sisinya ketika beliau meninggal dunia ketika 'shift' saya menjaganya awal pagi hari itu.
Satu insiden yang tidak saya lupakan ketika beliau keluar hospital pada masa itu ialah beliau beriya-iya mahu membelikan saya hadiah. Ia sesuatu yang luar biasa kerana membelikan barang untuk anak biasanya adalah tugas emak saya. Ayah saya ikut saya untuk membelikan hadiah. Saya beli raket skuasy. Saya langsung tidak tahu itu adalah hadiah 'selamat tinggal' daripadanya. Ayah belikan sesuatu untuk semua orang. Raket itu saya jaga dan tidak pernah saya gunakan.
Nazim:  Saya tidak tahu tahap serius penyakit ayah dan tidak diberitahu ia boleh membawa maut. Tetapi bila saya diminta menangguhkan kembali ke sekolah apabila penggal sudah bermula, saya sedar ia lebih serius daripada yang saya fikirkan.
Nazir: Saya 9 tahun ketika itu. Saya ingat, ditinggalkan seorang di rumah untuk tempoh yang lama sementara ayah mendapatkan rawatan di London tetapi saya tidak tahu betapa sakitnya dia. Beberapa hari sebelum ayah meninggal dunia, Najib balik ke KL, jadi lebih kuat alasan untuk tidak berfikir yang buruk-buruk.
Kemudian satu hari saya disuruh kemas beg kerana ayah mahu berjumpa saya, dan Najib dan saya akan bertolak malam itu juga. Pada awalnya saya teruja kerana tidak pernah ke luar negara, dan saya akan ke London. Saya jadi risau sedikit bila saya terfikiri mesti ada sesuatu yang tidak kena; kami melanggar protokol keluarga iaitu kami hanya dapat ke luar negara selepas umur 10 tahun. Tetapi, saya masih tidak fikir dia sedang tenat..
Beberapa jam kemudian, sebelum kami bertolak ke lapangan terbang, telefon berbunyi untuk Najib. Saya di sebelahnya dan mendengar ketika beliau diberitahu berita ayah sudah meninggal dunia. Saya sangat terkejut.
TMI:  Bagaimana Tun Razak sebagai bapa, ahli politik dan perdana menteri?
Johari:  Beliau seorang bapa yang penyayang tetapi garang yang selalu menekankan kepentingan belajar dan mendapatkan kerja. Beliau beritahu kami untuk selalu rendah diri dan membantu orang yang kurang bernasib baik. Beliau hantar kami ke sekolah asrama supaya kami boleh belajar berdikari. Beliau selalu rasa kami mungkin manja jika tinggal di rumah kerana ada banyak pembantu dan orang lain melayan kami degan baik kerana kami anak perdana menteri. Beliau seorang yang sangat sibuk tetapi ada masa untuk bercakap dengan saya bila saya bertanya soalan kepadanya.
Nizam:  Walaupun sangat sibuk sebagai perdana menteri, ayah saya selalu memerhatikan saya terutama pencapaian akademik. Beliau tidak pernah ketinggalan laporan kemajuan saya. Masa berkualiti dengannya sangat terhad tetapi kami cuba untuk ada masa bersama dan biasanya makan tengahari dan malam ketika beliau makan di rumah dan masa selepas makan malam bersama keluarga. Bercuti biasanya bukan peluang yang baik untuk meluangkan masa bersamanya kerana selalunya ada ramai yang mengikut ayah dan sebagai remaja, saya biasanya hanya di “belakang”.
Nazim:  Sebagai bapa beliau seorang yang ambil berat dan selalu ambil tahu mengenai kami dan paling utama pelajaran kami. Sasaran saya pada masa itu ialah mengabiskan pengajian saya.
TMI:  Apa nilai yang diterapkan sebagai bapa kepada anda sebagai anaknya?
Johari: Kerja keras, rendah diri, hormati dan bantu orang lain.
Nizam:  Cara saya belajar nilai murni daripadanya ialah melalui pemerhatian terhadap pendiriannya. Kemanusiaan, ringkas, jujur, kerja keras, berjimat cermat adalah antara nilai penting yang saya belajar daripada cara dia menguruskan hidup dan dalam politik. Saya tidak akan lupa bagaimana berhati-hatinya dia apabila wang kerajaan digunakan untuknya dan keluarga.
Beliau memastikan wujud perbezaan antara duit sendiri dan duit rakyat.
Belanja untuk keluarga selalunya duit sendiri. Tambahan lagi, ayah saya tidak pernah lupa beliau di situ untuk berkhidmat kepada rakyat. Tujuan utamanya ialah mengangkat dan mempertingkat kualiti hidup rakyat. Beliau tidak pernah lupa asal usulnya dan kesukaran yang pernah dilaluinya.
Beliau hantar saya belajar di England pada usia muda kerana tahu itulah caranya untuk saya boleh jadi dewasa tanpa bergantung hidup dan menjalani kehidupan yang mudah.
Nazim:  Ayah selalu menekankan mengenai pentingnya dan nilai pendidikan, disiplin, kejujuran dan kerja keras. Beliau selalu mengambil serius tugasnya, sama ada belajar, sukan atau kedudukan jawatannya.
TMI: Sebagai anaknya, bagaimana anda cuba menghidupkan nilai itu sekarang apabila anda kini juga seorang bapa, dan dengan tanggungjawab anda sama ada dalam perkhidmatan awam atau swasta?
Johari:  Sudah tentu sebagai anak, saya cuba melaksanakan nilai itu dan menerapkannya kepada anak saya.
Nazim:  Saya cuba mengikut dedikasinya, kesungguhan dan paling penting kesetiaannya dan kerja keras. Beliau sangat tekun dalam kerjanya dan impiannya dalam hidup.
TMI: Sebagai perdana menteri, ayah anda memang seorang yang sibuk tetapi jika ada waktu bersama keluarga, pernah beliau bercerita mengenai kerjanya dan apa yang beliau cuba buat dan capai untuk negara?
Johari: Kami pada masa itu adalah keluarga yang muda. Beliau tidak berbincang kerjanya secara langsung dengan kami kerana mahu kami menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan tidak terganggu dengan isu politik. Kami ada dengar banyak perbincangan yang diadakan di rumah dan ramai yang datang. Kami juga bercakap dengan penasihatnya dan beberapa lain yang bekerja dengannya dan dengan berbual dengan mereka, kami belajar mengenai kerja ayah dan apa yang beliau cuba lakukan untuk negara.
Nizam:  Memandangkan saya sangat muda pada masa itu (17) tidak sesuai untuk berbincang isu negara yang serius dengan saya. Dalam banyak keadaan saya berada di London belajar dari umur 13, jadi tidak banyak masa untuk berbuat demikian walaupun bila saya semakin dewasa dan lebih memahami isu negara. Saya ingat dua kali ayah bercakap mengenai isu negara dengan saya. Pertama ketika insiden 13 Mei 1969. Beliau sangat sedih dengan apa yang berlaku. Umur saya 11 tahun pada masa itu dan saya ingat beliau beritahu saya pergaduhan berlaku di jalanan. Beliau sangat tidak faham bagaimana situasi boleh jadi seteruk itu.
Kali kedua juga insiden yang menyusahkan hatinya, membabitkan bantuan yang ditawarkan kepada negara. Amat jelas beliau tidak setuju dengan syarat bantuan itu. Beliau sangat marah, mengatakan tidak peduli jika kami tidak dapat TV warna di Malaysia asalkan rakyat Malaysia kekal terus mampu mengawal masa depannya.
TMI: Bapa anda menjadi perdana menteri selepas rusuhan kaum 1969 dan antara perkara pertama dilakukannya ialah menggabungkan pakatan baru dalam BN dengan membawa masuk parti yang dulunya pembangkang kepada Perikatan contohnya Parti Gerakan, Parti Progresif Rakyat, PAS, SUPP. Gabungan yang diasaskannya itu pada hari ini berada di bawah tekanan yang teruk dan berdepan banyak cabaran. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?
Nazim: Pergabungan itu adalah penyelesaian terbaik selepas rusuhan berkenaan. Ia sudah 39 tahun kini dan masyarakat berubah (dan)... dunia juga berubah.
Nazir:  Ia adalah zaman yang sangat berbeza dan cabarannya juga lain. Ayah seorang demokrat. Bila beliau mempunyai kuasa pemerintahan selepas 13 Mei beliau pilih untuk pulangkan kuasa kepada Palrimen secepat mungkin walaupun ramai orang di sekelilingnya cuba meyakikannya untuk terus kekal peraturan NOC. Beliau bentuk gabungan parti lebih besar dengan BN sebagai cara sah mengurangkan ketegangan politik sementara mengekalkan demokrasi berparlimen.
Saya fikir beliau mungkin sedar formula BN akan berubah dan berkembang mengikut peredaran masa. Saya percaya beliau berharap dalam tempoh 20 tahun (menjelang 1990) eksperimen DEB boleh berjaya dalam menghakis kemiskinan dan menutup jurang kekayaan di antara kaum, dan mencipta asas untuk politik demokratik konvensional.
TMI:  Bagaimana anda fikir bapa anda akan dikenang oleh rakyat Malaysia, 39 tahun selepas pemergiannya? Apa agaknya akan jadi legasi sepanjang zaman?
Johari:  Sebagai seorang yang jujur bekerja tanpa mengenal penat dan beri segalanya untuk negara. Beliau sangat benci rasuah dan pengagungan diri. Beliau sentiasa berfikir untuk rakyat. Kebajikan rakyat adalah keutamaannya. Fokusnya pada pembangunan negara. Politik bukan yang utama baginya.
Nizam: Dalam banyak pencapaiannya, saya percaya pembangunan luar bandar yang paling dikenang. Itu menyebabkan beliau digelar Bapa Pembangunan. Walaupun perdana menteri selepas itu kurang menekankan pembangunan luar bandar kerana beliau sudah melaksanakannya, strategi dan institusi yang ditubuhkan terus bertahan lama selepas kematiannya. Penggembalian demokrasi dan menyatukan negara selepas 1969 dan pembentukan BN adalah antara pencapaian besarnya yang lain.
Nazir:  Tun Razak sepatutnya dikenang kerana mendedikasikan hidupnya kepada negara. Ketika beliau tahu akan meninggal dunia, beliau bekerja lebih keras lagi. Beliau tidak berminat mendapatkan kemewahan peribadi dan sebenarnya lebih berjimat cermat apabila ia membabitkan kewangan kerajaan.
Jadi, walaupun mereka yang tidak bersetuju dengan politiknya atau polisinya, masih menghormati insan ini.
Beliau digelar Bapa Pembangunan. Beliau adalah timbalan perdana menteri dari kemerdekaan hingga menjadi PM, tetapi di bawah gaya kepimpinan Tunku, TPM itu adalah seperti ketua pegawai operasi dalam dunia korporat hari ini. Maka, beliau adalah figura penting di belakang tabir untuk pelbagai perkara yang berlaku dalam tempoh 19 tahun pertama Malaysia – daripada pembangunan luar bandar kepada pendidikan hingga menjalankan rundingan damai dengan Indonesia untuk membentuk Asean.
Saya fikir penting juga untuk mengiktiraf beliau meninggalkan legasi pemimpin masa depan. Beliau kenal pasti dan melatih bakat seperti Dr Mahathir, Musa, Razaleigh, Badawi, Rafidah dan Keng Yaik dalam politik dan Zain Azraai, Navaratnam, Thong Yaw Hong, Sarji dan Azizan dalam perkhidmatan awam. Pemimpin hebat yang sebenar memastikan organisasi mereka berjaya walaupun selepas mereka sudah tiada, dan walaupun beliau meninggal dunia secara tiba-tiba, beliau sudah melatih barisan pemimpin yang cekap.
TMI:  Jika bapa anda boleh bercakap kepada rakyat Malaysia hari ini, apa pesanan yang anda rasa beliau akan sampaikan kepada kami – rakyat, ahli politik dan mereka yang memegang kuasa?
Nazir:  Saya fikir beliau mungkin kata ini adalah masanya menubuhkan satu lagi majlis perundingan negara, seperti dilakukannya pada 1970, untuk membincangkan isu kritikal mengenai mengekalkan harmoni dan menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Saya fikir beliau akan terkejut kerana pada 2015, kaum dan agama semakin memisahkan rakyat Malaysia berbanding pada zamannya. – 14 Januari, 2015.

2 comments:

  1. Arwah2 pemimpin kita dulu tegas kurang bercakaran sesama sendiri hingga timbul slogan bersatu teguh bercerai roboh.
    Kita kena kaji di zaman kesultanan melaka bagaimana kaum2 cina..india dan pertugis diasimilasikan ke budaya..pertuturan..makan cara melayu...hingga tinggal sisanya kini.
    Mungkin kaum2 ini terkesima dengan kecanggihan polisi kerajaan dan kriteria positive bangsa melayu masa itu. Mereka bangga untuk menjadi sebahagian dari melayu di kacukkan dengan adat ibunda mereka.
    Sedihnya akhir2 ini mereka dapati bangsa yang mereka hormati dulu telah berkecamuk..telagah sama sendiri serta pegangan ugama yang tak mantap.
    Akibatnya kaum2 ini hilang pedoman...daripada bergantung pada kuasa bangsa melayu yang lemah mereka tercari cari contohi negara besar yang lain.
    Fikir baik2....kunci keharmonian dan keslamatan negara ini adalah bangsa induk (melayu) yang matang dari segala galanya.

    ReplyDelete
  2. Apakah alan ada kenyataan sedemikian , "alsmak tak mungkin begitu bahalol sangat"....

    Dan rakyat ber kata , "alhamdullillah"

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa