Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, October 18, 2015

Najib tidak akan kalah tapi integriti dan maruah?

BN dijangka bincang usul undi tidak percaya menjelang sidang Parlimen
OLEH MD IZWAN
Published: 18 October 2015 7:07 AM
Datuk Seri Najib Razak sekarang ditekan disebabkan cara syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad diuruskan dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Oktober, 2015. 

Mesyuarat “pre-council” Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi Datuk Seri Najib Razak malam ini dijangkakan menjadi sangat penting, kata ahli Parlimen Umno ketika spekulasi undi tidak percaya bertiup kencang menjelang sidang Dewan Rakyat yang bermula esok.
Ahli Parlimen yang tidak mahu dinamakan itu berkata, ahli Parlimen BN dan senator sudah diarahkan untuk bertemu Najib di Seri Perdana, Putrajaya pada 8 malam.
The Malaysian Insider melihat notis itu dalam satu surat daripada Ibu Pejabat BN bertarikh 9 Oktober dan dihantar kepada semua menteri, timbalan menteri, ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara.
Ahli Parlimen Umno itu memberitahu The Malaysian Insider, mesyuarat malam ini dijangkakan menjadi sangat penting disebabkan spekulasi beberapa ahli Parlimen BN akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.
Najib sekarang ini ditekan disebabkan cara syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diuruskan dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
"Mesyuarat malam nanti sangat penting, ia disebabkan pada Isnin sidang akan bermula.
"Lagipun sudah ada ahli pembangkang yang mengemukakan usul undi tidak percaya ke Dewan Rakyat.
“Najib dilihat bimbang dengan perkembangan ini, ditambah dengan kemelut dihadapi dalam Umno pada ketika ini," kata sumber itu.
Sumber itu berkata, beberapa ahli Parlimen veteran mungkin tidak hadir ke mesyuarat "pre council" malam ini seperti Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Muhyiddin disingkirkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran sementara Shafie digugurkan daripada jawatan menteri pembangunan luar bandar dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai.
Kedua-dua pemimpin Umno ini sangat kritikal tentang bagaimana Najib menguruskan 1MDB.
Ketiga-tiga pemimpin ini juga turut hadir semasa Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang akhbar baru-baru ini bagi menentang tindakan Putrajaya menggunakan Sosma terhadap pengkritik 1MDB
Sidang akhbar itu juga menyentuh mengenai usul undi tidak percaya terhadap Najib.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian daripada PKR sudah mengemukakan notis di Dewan Rakyat untuk mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Najib.
Usul itu diletakkan sebagai usul ke-25 daripada 28 usul dalam kertas aturan urusan mesyuarat untuk dibahaskan.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada usul itu akan dibahaskan atau tidak.
Sidang Dewan Rakyat yang bermula esok akan berlangsung selama 7 minggu sehingga hujung tahun ini.
Najib juga akan membentangkan Bajet 2016 pada Jumaat, dijangka bakal menyaksikan perbahasan hangat dalam Dewan Rakyat memandangkan ahli Parlimen pembangkang dijangka membangkitkan isu berhubung 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.
Sama ada usul undi tidak percaya ke atas Najib berjaya atau tidak, sidang Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan pelantikan baharu pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) dan siasatan ke atas 1MDB bersambung semula, disamping kesannya ke atas ekonomi dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sumber Umno juga memberitahu perkembangan berkenaan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tidak boleh diabaikan dan pasti akan mempengaruhi perbahasan dalam Dewan Rakyat nanti.
"1MDB menjadi tumpuan kerana kenyataan Majlis Raja-Raja pada 6 Oktober lalu yang mahu ia diselesaikan segera.
"Tidak dapat tidak, isu 1MDB pasti akan dibincangkan. Kenyataan Majlis Raja-Raja dianggap serius dan jika tidak ditangani segera, Najib akan berdepan satu cabaran yang serius," kata sumber Umno itu. – 18 Oktober, 2015.

1 comment:

  1. Dengan cara menipu saja boleh menang apa apa pertandingan....

    Ada Hantuuuuu.......???????

    Chabut..,.. Chabut..... Chabut.....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa