Suhakam juga mahu Jabatan Peguam Negara hadir memberikan pandangan selepas 2 saksi polis memberikan alasan 'rahsia rasmi' untuk tidak mendedahkan beberapa maklumat.
KUALA LUMPUR: Panel siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh hari ini meminta wakil Jabatan Peguam Negara turut serta memberikan pandangan undang-undang, selepas polis enggan menyerahkan dokumen yang boleh membantu siasatan atas alasan terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Pengerusi panel siasatan yang dikendalikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Mah Weng Kwai berkata keengganan polis menyerahkan dokumen menyebabkan siasatan kehilangan Koh tergendala dan beberapa maklumat yang diberikan tidak selari.
“Adalah lebih baik wakil dari Jabatan Peguam Negara sahaja yang datang. Biarlah mereka tentukan apa isu yang berbangkit dan dengan segera dapat berikan pandangan,” katanya sewaktu sesi pendengaran mengenai siasatan kehilangan Pastor Koh dan 3 yang lain, di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.
Ia selepas saksi ke-7, pegawai penyiasat dari Polis Petaling Jaya, ASP Supari Mohammad, enggan menyerahkan diari siasatan (ID), rakaman kamera litar tertutup (CCTV), gambar dan lakaran di lokasi kejadian di mana Koh diculik pada Februari lalu.
Supari berkata siasatan polis masih berjalan dan sebarang dokumen siasatan dan dirinya terikat di bawah OSA.
“Saya di sini masih seorang pegawai polis yang diwartakan. Saya terikat dibawah OSA. Saya perlu dapatkan nasihat dari Jabatan Peguam Negara. Saya tidak boleh berikan sewenang-wenangnya,” kata Supari.
Ia adalah alasan sama yang diberikan pegawai penyiasat Ali Asra Abu Bakar semalam, yang enggan menyerahkan diari siasatan.
Peguam pemerhati mewakili polis turut bangkit dan meminta supaya satu surat permohonan rasmi dibuat panel siasatan dan peguam pemerhati yang mewakili ahli keluarga berhubung dokumen berkenaan.
Mah kemudian memutuskan untuk melawat lokasi kejadian pada petang ini.
“Kami akan lihat sendiri loksi kejadian (lokasi penculikan Koh). Kami akan berada di sana pada jam 4 petang ini,” katanya.
Koh, diculik individu bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, semasa memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.
Rakaman video insiden menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih daripada 10 individu dan 7 buah kenderaan di siang hari.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat tetapi tidak berhasil.
Siasatan Suhakam itu bagi menentukan terma rujukan sama ada kes kehilangan Koh, aktivis sosial Perlis Amri Che Mat, paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, adalah seperti ditakrifkan Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa, atau ia adalah kes kehilangan sukarela yang melanggar undang-undang jenayah atau undang-undang hak asasi manusia.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa