Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, October 15, 2014

Konflik Ukraine Memburuk

Pendekatan salah burukkan konflik Ukraine
SELASA, 14 OKTOBER 2014 @ 5:21 AM
Oleh Seri Intan Othman
Konflik di Ukraine tidak dapat perhatian Amerika Syarikat.
Masalah ketegangan di Ukraine hanya boleh diselesaikan di meja perundingan, bukan secara peperangan. Isu itu banyak memberi kesan geopolitik kepada negara Eropah dan kini melarat ke Asia selepas tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh dan mengorbankan 298 orang.

Walaupun penyelesaian memerlukan masa yang lama, hanya perundingan boleh menghentikannya, kata Presiden Ploughshares Fund Washington DC, Joseph Cirincione.
Beliau yakin perbincangan boleh menyelesaikan masalah walaupun ia memakan masa bertahun-tahun. Cirincione juga menyarankan Russia memainkan peranan lebih agresif sebagai negara paling berpengaruh di Timur Eropah untuk menangani konflik di Ukraine.
Meja rundingan selesai masalah
Cirincione yang juga pakar keselamatan mencadangkan Ukraine dan Russia berbincang di meja rundingan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
Beliau berkata demikian pada Forum Antarabangsa Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) bertajuk 'The Crisis in Ukraine and Emerging Geo--Political Issues.'
"Saya mengkaji kes ini sejak lima bulan lalu dan ini adalah pandangan peribadi, bukan suara Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Beliau berpendapat, kes ini berpunca lebih kepada salah faham yang tidak dikendalikan dengan betul seperti yang berlaku di Iraq dan Iran. Mereka yang terbabit, katanya lebih berminat menggunakan senjata sedangkan ia gagal membawa kepada jalan penyelesaian.
Isu itu masih berlarutan sehingga kini sehingga menjejaskan ekonomi dan politik di rantau Timur Eropah yang kaya dengan hasil bumi.
Beliau berpendapat, kes ini berlaku disebabkan kebimbangan Russia akan kemungkinan Ukraine akan menyertai NATO yang mana ketika ini banyak negara bekas Soviet Union menyertainya termasuk Latvia, Estonia dan Georgia.
Kekuatan NATO dengan jumlah angkatan tentera serta peralatan ketenteraan yang hebat menjadi kebimbangan Russia. Selain itu hubungan rapat Ukraine dengan Kesatuan Eropah (EU) juga menjadi punca utama kebimbangan Russia, katanya.
"Malah pergerakan demokrasi di negara terbabit menjadi ancaman besar kepada pengaruh politik Russia. "Kerana itu, tindakan ketenteraan sebagai satu gangguan kepada keamanan perlu dilakukan bagi menyekat Ukraine," katanya.
Peperangan bukan jalan terbaik dalam menyelesaikan konflik di Ukraine.

Kerjasama Moscow selesai konflik
Bagi Washington, katanya, Moscow perlu memberikan kerjasama sewajarnya kerana peranan negara itu penting bagi menyelesaikan banyak konflik seperti di Iran dan Afghanistan.
Walaupun perang dingin AS-Russia berlaku sekian lama, Russia tetap sebuah negara besar yang mempunyai senjata nuklear paling banyak dan amat penting dalam memastikan keamanan dunia.
Ketika ini sekatan ekonomi dikenakan ke atas Russia dan ia mampu memberikan kesan dengan perdagangan negara itu terjejas teruk dengan simpanan wang luar negara dan mata wangnya turut merosot nilainya.
Bagaimanapun, 30 peratus import minyak dan gas bagi EU adalah dari Russia dan Ukraine adalah laluan utama. Oleh itu, kebergantungan yang tinggi ini menyukarkan sekatan ekonomi yang efektif selain turut menjejaskan negara anggota EU.
Beliau mendakwa, AS tidak berminat untuk campur tangan dalam kes ini, tetapi memberi sokongan padu demi perjuangan demokrasi. Semua negara mahukan keamanan dunia yang membolehkan ekonomi berkembang pesat dan penduduk dunia hidup harmoni.
Kerana itu usaha perlu dilakukan semua pihak terbabit untuk menyelesaikan kes ini tanpa menuding jari siapa betul dan siapa salah. Kerjasama amat penting bagi memastikan semua kembali normal.
Tragedi MH17 yang mengorbankan 298 nyawa beri kesan kepada negara di Asia

Tindakan Amerika ambil sikap tak peduli dipersoal
Tindakan Amerika ambil sikap tak peduli dipersoal
Banyak pihak menuduh Amerika Syarikat (AS) adalah punca berlakunya ketegangan di Ukraine selain peranan negara itu mengembangkan sayap NATO sebagai faktor utama meskipun Presiden Ploughshares Fund Washington DC, Joseph Cirincione menyifatkan Russia dibayangi kebimbangan tidak menentu.
Bagi Cirincione, masalah Crimea adalah antara punca konflik yang menyebabkan ada rakyat Ukraine tidak berpuas hati. Apa yang berlaku juga disebabkan kegagalan Presiden Russia, Vladimir Putin dalam menyelesaikan salah faham yang timbul sehingga berlaku peperangan.
Menjawab soalan Tan Sri Dr Munir Majid yang menyertai forum bertajuk 'Crisis in Ukraine and Emerging Geo-Political Issues', beliau menyifatkan Russia juga tidak memainkan peranan sebagaimana sepatutnya.
Oleh itu, usaha perlu dibuat dengan memanggil mereka yang bertanggungjawab berbincang bukan dengan menggunakan kekerasan.
Dari kiri, Cirincione dan Pengerusi ISIS, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan pada Forum Krisis Ukraine dan Isu-isu Baru Geo-Politik di Institut Strategik and Pengajian Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Yasmine

Amerika tidak peduli
"Sebenarnya Amerika tidak peduli kerana tidak ada kepentingan untuk campur tangan, tetapi melihat pentingnya Russia untuk menjadi orang tengah," katanya.
Pandangan Cirincione dibantah Duta Russia ke Malaysia, Ludmila G Vorobyeve yang tidak bersetuju dengan hujah itu yang disifatkan sebagai berat sebelah.
Menurutnya, Russia tidak patut dipersalahkan dalam isu itu kerana rakyat Ukraine di Crimea sudah pun membuat pilihan dan ia dilaksanakan secara aman damai tanpa peperangan.
Malah, dalam soal MH17, katanya, AS langsung tidak menunjukkan minat untuk membantu menyelesaikan masalah dengan mencari siapakah penjenayah terbabit.
Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Ihor V Humenyyi pula berkata, ketegangan yang berlaku menyebabkan negaranya terjejas teruk dari segi ekonomi.
"Kami berusaha gigih untuk maju selepas keluar dari USSR papda 1991 dengan menyelesaikan pelbagai masalah politik termasuk rasuah dalam kalangan pemimpin politik," katanya.
Perang saudara
Kini masalah perang saudara berlaku sehingga membabitkan negara lain bila MH17 ditembak. Kes ini juga katanya, merebak ke negara Asia yang lain kerana faktor keselamatan penerbangan dan isu ekonomi seluruhnya.
Kerana itu amat perlu ia diselesaikan segera bagi memastikan keamanan bersama dinikmati. Beberapa peserta forum berpendapat, AS lebih bersifat berdiam diri dan tidak mahu membantu tidak seperti kes sebelum ini seperti yang berlaku di banyak negara termasuk Iraq, Iran dan Venezuela dan Honduras di Amerika Latin.
Duta Ecuador ke Malaysia, Laurdes Puma berpendapat, AS yang sentiasa tidak berlaku adil dalam tindak-tanduknya menguruskan isu antarabangsa khususnya di negara Amerika Latin.
"Sebelum ini AS dengan sesuka hati campur tangan dalam politik dan ketenteraan tanpa mengira kesan yang dihadapi oleh negara terbabit," katanya.
INFO: Yayasan Ploughshares Fund


  • Menyokong inisiatif mencegah perluasan penggunaan senjata nuklear, biologi dan kimia bagi menghalang konflik yang mungkin membabitkan penggunaan senjata pemusnah besar (WMD).
  • Ia ditubuhkan oleh hartawan dan aktivis San Francisco, Sally Lilienthal pada 1981.
  • Ploughshares membantu individu yang mahu mencari inisiatif terbaik menyekat perluasan dan penggunaan senjata nuklear.
  • Sejak ditubuhkan, Ploughshares memberi dana hampir AS$100 juta (RM320 juta) kepada individu dan pertubuhan di seluruh dunia bermatlamatkan keamanan dan keselamatan global.
  • 2 comments:

    1. Berita ini adalah satu propaganda Amerika & Zionis. sebenarnya merekalah punca yang mencetuskan konflik di Ukrain dek kerana hendak menguasai sumber minyak dan gas untuk kepentingannya maka mereka masuk campur urusan pentadbiran dalam negara tersebut dengan menaikan presiden boneka mereka. Dan tragedi MH17 adalah kerja-kerja jahat Zionis/Amerika dengan menggunakan tangan Ukrain.

      ReplyDelete
    2. meeting meeting di malaysia buat habis beras saja.

      hasil tak kemana pun.

      masing masing makan minum free , tukar tukar bau kentut saja adalah.

      ReplyDelete

    Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa