Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 17, 2014

Wanita Peranchis ambil risiko rakam IS di Raqqa, Syria

Pasukan theantdaily

TINJAUAN: Stesen televisyen Peranchis baru-baru ini melaporkan kisah seorang wanita yang bertindak membahayakan nyawanya sendiri apabila membuat penggambaran di bandar Raqqa, Syria yang dikawal IS (Islamic State/Negara Islam).
Rakaman menunjukkan keadaan di bandar yang merupakan kubu kuat IS di negara bergolak itu.
Ia mula tersebar beberapa minggu lepas dan rakaman diberitakan dilakukan seorang pelajar wanita yang menyembunyikan kamera di dalam niqab (purdah) yang dipakainya. Menurut laporan laman-laman berita, kaum wanita di kawasan jajahan IS perlu mengenakan pakaian tersebut.
Jurukamera wanita itu membuat rakaman tersebut pada bulan Februari dan April tahun ini, lapor sebuah akhbar terkenal di United Kingdom.
Dalam rakaman itu, sebilangan lelaki dan wanita yang lengkap bersenjata dapat dilihat di jalanraya dan kafe berinternet di mana beberapa wanita bertutur dalam Bahasa Peranchis. Mereka memberitahu ahli keluarga bahawa mereka tidak akan pulang ke rumah.
IS melaksanakan peraturan ketat di beberapa wilayah di Iraq dan Syria yang telah jatuh ke dalam kawalan mereka. Kumpulan itu beribu pejabat di Raqqa sejak tahun lalu.
Lihat video itu di sini:
Dalam perkembangan lain, laman english.alarabiya.net melaporkan naib presiden serta perdana menteri Emiriyah Arab Bersatu (United Arab Emirates) Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum yang juga pemerintah Dubai berpendapat solusi bagi kemaraan IS memerlukan iltizam politik bukan sahaja dari negara-negara di Timur Tengah tetapi juga di benua Amerika, Eropah, Afrika dan Asia.
Ini kerana pada masa ini, IS telah berjaya merekrut ahli-ahli daripada 80 negara di seluruh dunia.
Beliau turut berkata IS bakal berdepan masalah akibat serangan ketenteraan yang telah dimulakan negara-negara Barat, namun solusi yang lebih utama memerlukan dialog intelektual, pembangunan rakyat biasa serta pemerkasaan urus tadbir yang lemah di wilayah-wilayah yang bergolak.
Di tanahair, pihak polis menahan 14 individu yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai IS di sebuah kedai makan di Shah Alam, semalam (16 Okt).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada pelajar, pekerja buruh dan pekerja kilang.
Satu kenyataan dari KPN turut mengesahkan bahawa antara mereka yang ditahan termasuk seorang pelajar tingkatan dua dan satu keluarga.
Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Mereka ditahan berdasarkan pemantauan polis kerana dipercayai sedang bersiap sedia untuk pergi ke Syria melalui Turki," katanya kepada pemberita yang dipetik laman berita Astro Awani.
Setakat ini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita telah dikesan berada di Syria bagi menyertai kumpulan militan manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang sama.
Sejak polis mengesan penglibatan rakyat Malaysia dalam perjuangan bersenjata di negara Syria yang bergolak itu, lima orang telah terbunuh dan enam cedera.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa