Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, January 6, 2015

Gabung PAS-UMNO: Interpretasi Berbeza Pada Laporan Di antara Portal Berita.Kenapa?

Kelantan: Selepas banjir, cadar tak berganti
Irwan Muhammad Zain,Astro Awani |Kemas kini:Januari 06, 2015
(Diterbitkan pada: Januari 06, 2015 14:16 MYT)

Kelantan: Selepas banjir, cadar tak berganti
Kelantan: Selepas Banjir, Cadar Tak Berganti
KUALA LUMPUR: Ketika Kelantan dilanda banjir besar baru-baru ini, pemilik akhbar Sinar Harian, Datuk Husamuddin Yaacub melontarkan cadangan supaya PAS dan UMNO membentuk sebuah kerajaan campuran di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Cadangan Husamuddin itu dibuat kerana beliau berpandangan, untuk membangunkan Kelantan yang teruk dilanda banjir, terutama di kawasan seperti Kuala Krai, perbelanjaan besar diperlukan, maka UMNO dan PAS perlu bergabung, jadi timbullah cadangan kerajaan perpaduan itu. Bagi Husamuddin, itulah jalan terbaik untuk membangunkan semula negeri yang paling teruk dilanda banjir kali ini. Itu hanya cadangan Husamuddin, seorang ahli perniagaan dan anak Kelantan, hanya cadangan belum dilaksanakan.

Selepas cadangan tersebut dilontarkan, ada yang pantas menyambutnya namun bukan sedikit yang berpencak silat menepis dan menolak apa yang dikatakan oleh Husamuddin itu. Yang menyambut, tiada lain yang dikatakan, ini lah masa terbaik untuk dua parti, UMNO dan PAS bersatu. Yang menolak, bermacam alasan, kerajaan perpaduan bukan jalan penyelesaian untuk membantu membangunkan semula Kelantan.

Selepas Husamuddin, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki menyarankan agar UMNO dan PAS mengambil langkah berani mengetepikan perbezaan politik bagi membentuk satu jawatankuasa bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan bagi merancang pembangunan semula negeri itu selepas bencana banjir.

Dr Mohd Zuhdi berpendapat, jawatankuasa itu boleh dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana menteri kanan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak semestinya melibatkan penggabungan antara UMNO dengan PAS.

“Kewujudan dua entiti parti politik berbeza yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO dan PAS sememangnya sukar untuk digabungkan ketika ini, tetapi perbezaan itu tidak sewajarnya menjadi halangan kepada kerajaan persekutuan yang ditunjangi UMNO dan kerajaan negeri oleh PAS untuk duduk bersama-sama merancang pembangunan semula Kelantan selepas bencana banjir baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohd Zuhdi berkata jika kebajikan semua rakyat Kelantan diutamakan, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan perlu berjiwa besar dan mengambil langkah berani serta mengetepikan perbezaan politik.

“Sekiranya ikhtiar ini berjaya diusahakan, tidak mustahil negeri dan rakyat Kelantan bangkit semula dengan lebih hebat selepas bencana banjir kali ini, sebagaimana kebangkitan rakyat Jepun selepas Perang Dunia Kedua dan penduduk Acheh yang dilanda tsunami besar 10 tahun lalu,” katanya.

Manakala, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula mencadangkan agar ditubuhkan Majlis Tindakan Bersama Banjir antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat untuk menangani masalah banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung. Cadangan ini tentulah datang selepas ahli parlimen Gelang Patah itu turun sendiri ke Kelantan dan melihat kesan dari bencana yang menimpa Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.

Selepas banjir, sama ada kerajaan perpaduan atau kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri, yang perlu dilihat ialah, rakyat Kelantan kini melihat apakah keperluan untuk menukarkan kerajaan negeri atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang.

Jika perkara ini diajukan kepada penyokong-penyokong parti, tentunya jawapan yang diterima, kalau yang ditanya itu 'totok' PAS, maka Kelantan akan terus di bawah bulan. Tetapi kalau soalan ini ditanya kepada yang di atas pagar, yang merasai sendiri bagaimana bantuan lambat sampai disebabkan terlalu mementingkan agenda politik, maka jawapan yang diterima tentulah, tidak ada salah kalau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN pula diberi peluang untuk mentadbir Kelantan.

Hari ini sudah ada yang berkata, "Sekali air bah, sekali kerajaan berubah". Kata-kata ini keluar kerana ramai yang kecewa dengan kerajaan Kelantan yang ada hari ini. Sudah mula ada yang merasakan bahawa BN yang sepatutnya mentadbir Kelantan.

Masalah pembalakan yang dikatakan antara punca banjir teruk melanda Gua Musang dan Kuala Krai turut diperkatakan oleh rakyat Kelantan. Ramai mula melihat kerakusan pemimpin-pemimpin PAS meluluskan kawasan-kawasan balak hingga menyebabkan Kelantan dilanda musibah. Alam berbicara bila ia dikhianati, antara yang dikatakan rakyat Kelantan.

Sama ada kerajaan perpaduan atau kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berjaya atau tidak itu perkara lain. Yang perlu difikirkan juga selepas pemulihan kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir, yang mana lebih layak mentadbir? Apakah mahu terus kekal status quo atau cuba memberi peluang kepada yang lain.

Tempoh beberapa tahun sebelum PRU14, perlu digunakan sebaik mungkin oleh puak yang ingin kekal memerintah dan puak yang sudah sekian lama cuba merampas. Masalah yang sering berlaku di Kelantan, ketika PAS lemah, UMNO pula berperang sesama sendiri hingga melepaskan peluang yang ada.

Perkara sama tidak mustahil akan berulang lagi kerana UMNO juga dikenali sebagai parti yang tidak belajar dari kesilapan. Hanya bercakap semata-mata bercakap tentang perubahan namun wal hasil balik asal

Jadi, untuk tempoh yang ada, selepas banjir, PAS akan terus memerintah Kelantan. Kerajaan negeri tetap kerajaan yang sama. Tiada perubahan. Selepas PRU14, itu cerita lain. Selepas banjir, Kelantan tetap di bawah PAS,  situasinya mungkin seperti tajuk dua buah lagu Search digabungkan menjadi satu: Selepas Banjir, Cadar Tak Berganti.

Ini pula laporan dari freemalaysiatoday

1 comment:

  1. PAS dan UMNO kedua dua gagasan ysng tisda nilai ekonomi , malah ber nyawa asas kepada BR1M dan macam macam duit kopi.

    Jenama bahalol tidak penting skan wujud nya di rakyat waras bijak dan ber tanggung jawab.

    Orang orang Melayu saja.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa