10:00AM Jan 06 2015
SUARA LANTANG: Tahap integriti dan kesaksamaan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) sudah lama diragui. Pengakuan bekas Pengerusi SPRM yang kini Naib Presiden Perkasa, Tan Sri Rashid A Rahman bahawa beliau adalah penyokong BN ternyata mengesahkan keraguan itu.
Rashid seperti tidak memiliki rasa malu apabila membuat pengakuan itu ketika berucap dalam satu perhimpunan pro-Umno 14 Desember lalu.
Namun sedikit menarik apabila beliau juga memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar berhenti “berbohong” kepada orang Melayu.
Apa-apa pun, itu bukanlah kali pertama seorang ketua badan – yang tugasnya menurut Perlembagaan termasuk mengendalikan pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih - dilihat condong ke arah parti pemerintah. Tidak lama dahulu, pengganti Rashid yang kini pengerusi SPRM, Tan Sri Abdul Aziz Yusof didapati termasuk dalam senarai nama ahli Umno.
Melihat dua insiden ini, saya tidaklah terkejut sangat apabila salah seorang Ketua SPRM negeri secara tertutup mengatakan perlunya menambahkan kerusi, kononnya demi “kepentingan politik Melayu-Muslim”. Beliau juga menyifatkan sukar untuk “kita” merampas kembali Selangor dan Pulau Pinang. Kenyataan itu jelas menunjukkan sikap berat sebelah kepada Umno-BN.
Untuk rekod, Rashid adalah Setiausaha SPRM sejak 1979. Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau dilantik menjadi Pengerusi SPRM dan berkhidmat sejak 2000 hingga 2008. Sepanjang perkhidmatannya, Rashid telah mengendalikan enam pilihan raya umum dan tiga persempadanan semula; pada tahun 1984, 1994 dan 2003.
Sebelum membuat pengakuan itu, Rashid sudah beberapa kali secara terbuka mengisytiharkan bahawa beliau tahu bagaimana untuk “menjadikan Melayu (baca: Umno) kekal berkuasa”. Beliau juga mendakwa dirinya “memperjuangkan hak Melayu dan memastikan Melayu kekal memegang kuasa politik”.
Jelas, kesemua kenyataan ini cukup untuk menjelaskan mengapa Rashid kini menjadi pimpinan tertinggi sebuat organisasi sayap kanan. Atau boleh jadi itulah dirinya yang sebenar.
Sama seperti bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad – yang juga aktif dalam Perkasa – pandangan mereka yang condong terhadap Umno membangkitkan keraguan ke atas institusi yang mereka ketuai dahulu.
Kenyataan itu juga menjelaskan, mengapa dan bagaimana Umno-BN mampu kekal berkuasa sejak Kemerdekaan pada 1957.
Beberapa hari selepas pengakuan Rashid, penggantinya Abdul Aziz menolak permintaan beberapa pihak untuk berbincang soal persempadanan semula yang akan dilakukan.
Dalam satu laporan 18 Desember lalu, Abdul Aziz berkata, SPRM tidak perlu mendengar suara pihak seperti NGO Bersih. Katanya, suruhanjaya itu hanya perlu bertemu dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Perlu disebut bahawa Bersih sebelum ini mengatakan yang SPRM tidak memiliki kuasa untuk memutuskan penambahan kerusi secara sendiri; seperti yang sering terjadi sebelum ini.
Namun di sebalik kenyataan Abdul Aziz itu, SPRM negeri tetap enggan bertemu dengan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mewakili kerajaan negeri dalam soal itu. Tiga MP tersebut adalah Sim Tze Tzin (PKR), Ng Wei Aik (DAP) dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS).
Maka, jelas bahawa SPRM bertindak secara tidak konsisten. Malah, mengapa SPRM enggan melaksanakan kuasa dan mengehadkan peranan mereka juga kekal misteri. Bukanlah susah sangat untuk memahami bahawa bagi memastikan persempadanan itu berjalan dengan telus dan adil, SPRM Pulau Pinang patut melaksanakan komitmen yang dinyatakan Pengerusinya itu.
Punca mengapa SPRM menafikan wakil kerajaan Pulau Pinang juga tidak jelas. Apa yang nyata, tindakan itu merugikan SPRM sendiri dalam usaha meyakinkan pihak berkepentingan bahawa ia adalah badan yang bebas dan tidak berpihak.
Melalui Artikel 114(2), Perlembagaan menggariskan perlunya suruhanjaya pilihanraya yang berkredibiliti dan bebas. Ia turut menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab dalam memastikan soal itu. Perlembagaan juga melibatkan Majlis Raja-raja dalam proses tersebut, walaupun hanya dengan kapasiti penasihat.
Ramai yang mengatakan, Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu bertindak di bawah nasihat Perdana Menteri dalam soal ini. Ini kerana jelas bahawa PM turut terlibat dalam pilihanraya.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong digalaskan dengan tugas tersebut, ia tidak sepatutnya berhenti setakat itu sahaja. Selepas dilantik, suruhanjaya perlu mengambil inisiatif untuk menunjukkan serta membuktikan kebebasannya.
Inilah sebabnya mengapa Perlembagaan memperuntukkan beberapa perlindungan, bagi memastikan anggota suruhanjaya tidak menerima sebarang ancaman atau ugutan. Ia termasuk perlindungan daripada dipecat begitu sahaja, dan juga peruntukan berhubung ganjaran kepada mereka.
Kita boleh mengatakan bahawa berdasarkan peruntukan ini, tindakan SPRM yang menolak untuk bertemu dengan Bersih adalah bertentangan dengan tugas perlembagaannya.
Walau apa-apa pun, sikap SPRM yang menuruti Umno-BN dan menolak banyak cadangan daripada pembangkang sudah menjadi satu rahsia umum.
Walaupun ketika SPRM menerima cadangan mereka – seperti penggunaan dakwat kekal – pelaksanaannya dipenuhi pelbagai masalah.
Amat jelas bahawa SPRM – di sebalik tapak dan mekanisme yang diperuntukkan Perlembagaan – memilih untuk menjadi rapat dengan satu pihak, bukannya menjadi sebuah institusi Perlembagaan yang benar-benar berkhidmat untuk demokrasi dan kesaksamaan.
oleh Aziz Bari
Dr Abdul Aziz Bari adalah bekas pensyarah undang-undang UIA dan kini mengajar di Unisel. Beliau juga merupakan Felo Kanan di badan pemikir IDEAS.
Allah SWT telah tunjuk kan muka sebenar.
ReplyDeleteTanda tanda kain kapan nak sampai sudah dekat.
Mohon bebudak ini taubat mohon maaf pada jutaan Rakyat.
SPR bukannya SPRM. Tajuk mengelirukan.
ReplyDelete