Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, June 14, 2015

Sampai bilakah Pas dan DAP mahu bermasam muka?

11:30AM Jun 14 2015
oleh Shahbudin Husin

SUARA LANTANG: Hubungan antara Pas dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) barangkali sukar dipulihkan kembali. Perselisihan pendapat antara mereka tidak ubah ibarat suami isteri yang bergaduh setiap hari tetapi masih ingin tinggal serumah.

Keadaan ini amatlah malang kerana ia berlaku ketika PR disebut-sebut sebagai bakal menerajui kerajaan selepas pilihanraya akan datang. Tidak saja rakyat atau pengundi biasa yang semakin ramai berkata bahawa BN akan kalah, bahkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga menjadikan alasan kekalahan itu sebagai asas kritikan dan tindakannya mahu menurunkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri yang disandangnya. 

Bagi Tun Mahathir, kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang hanya dapat dielakkan jika Datuk Seri Najib dapat diundurkan terlebih dahulu kerana menurutnya pelbagai isu yang melanda negara ketika ini seperti 1MDB, GST, Altantuya, kepimpinan yang lemah dan sebagainya telah menyebabkan kerajaan semakin hilang cengkaman dan tidak lagi bertakhta di hati rakyat. 

Tetapi, meskipun dikritik, diserang dan diasak, Datuk Seri Najib jelas tidak mahu mengalah dan mudah mahu berundur sebagaimana Tun Abdullah Badawi sebelum ini. Beliau sebaliknya ingin membuktikan dirinya benar-benar pahlawan Bugis yang sanggup melawan sehingga "bumi berkeping dua" sebagaimana madah yang selalu disebutnya.

Dengan ini adalah mungkin pertembungan Tun Mahathir dengan Datuk Seri Najib ini akan berlarutan sehingga tibanya tarikh pilihanraya akan datang. Ia secara langsung memberi harapan bahawa peluang PR tetap cerah untuk mengambil alih pentadbiran negara ini. 

Tetapi, mengapa Pas dan DAP terus juga berbalah? Apakah mereka tidak mahu memerintah negara menggantikan BN dan menjadikan rakyat yang setiap masa menanti perubahan terus kecewa?

Isu hudud sering menjadi bahan pertikaian antara Pas dan DAP. Walaupun Datuk Seri Anwar pernah berjaya mendamaikan kedua-duanya dan agenda hudud kemudian bertukar kepada konsep negara kebajikan, tetapi sebaik bekas Ketua Pembangkang itu dihantar ke Penjara Sungai Buloh, perselisihan antara keduanya muncul kembali berikutan sikap Pas ingin meneruskan pembentangan usul persendirian mengenai hudud di Parlimen.

Ia kemudian membawa kepada DAP mengambil sikap memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang tetapi masih kekal mahu berkawan dengan Pas. Ini kerana usul persendirian itu dikatakan hanya kehendak Datuk Hadi Awang dan tidak pun pernah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat. 

Dalam Muktamar Pas baru-baru ini pula, Dewan Ulamanya telah meluluskan usul memutuskan hubungan parti itu dengan DAP tetapi masih mahu kekal dalam PR. 

Pemilihan Pas kali ini juga menyaksikan kumpulan pro ulama menguasai sepenuhnya dan "membersihkan"  kumpulan profesional daripada kepimpinannya. 

Meskipun saling memutuskan hubungan, rasa sayang antara satu sama lain nampaknya masih ada. DAP hanya memutuskan hubungan dengan Presidennya tetapi masih ingin berkawan dengan Pas manakala Pas pula memutuskan hubungan dengan DAP tetapi ingin terus kekal dalam PR. 

Rasa sayang untuk berpisah terus juga terserlah apabila Pas tidak mahu melepaskan jawatan mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang meskipun sudah memutuskan hubungan dengan DAP. Hanya golongan profesional dalam Pas seperti Mohamad Sabu, Mujahid Yusof Rawa dan beberapa yang lain yang secara sukarela berbuat demikian, manakala dari kumpulan pro ulama didapati masih enggan meletakkan jawatan dengan alasan menunggu arahan parti. 

DAP dan Lim Guan Eng pula sudah berulang kali meminta kumpulan pro ulama yang masih bersama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang agar segera berundur untuk memudahkannya mengganti dengan orang Melayu yang lain.

Jika hudud menjadi punca perselisihan antara Pas dengan DAP dan redha Tuhan sering dijadikan sandaran mengapa undang-undang Islam itu tetap mahu dilaksanakan, tetapi nikmat memegang jawatan juga nampaknya menjadi perkiraan Pas sehingga banyak helah dan alasan diberikan daripada keengganan berundur dalam kerajaan negeri Pulau Pinang itu. 

Apa pun perkiraan yang menjadi pertimbangan Pas dan DAP, kedua-dua harus sedar bahawa mereka adalah sebuah parti politik. Matlamat sebuah parti politik tidak lari daripada memperolehi kuasa. Tidak guna berjuang bertahun-tahun jika kuasa asyik dipegang oleh orang lain. 

Pas harus membuang jauh-jauh alasan biar kalah asal diredhai Allah. Siapa yang menentukan redha Allah ini? Pastikah Pas bahawa jika kalah itu diredhai Allah dan UMNO yang sentiasa menang dan diberikan kuasa pula tidak diredhai Allah? 

Jika di zaman Nabi dulu, nikmat perjuangan ialah menang dalam peperangan dan hari ini pula nikmat itu ialah memperolehi kuasa, pernahkah dalam sejarah perangnya Nabi Muhammad SAW mengatakan tidak kisah kalah perang asalkan Islam tersebar? Bukanlah Nabi Muhammad SAW sentiasa ingin menang perang dan sedih bila kalah dalam Perang Uhud?

Pas dan DAP memang berbeza pendapat dari segi ideologi dan hudud. Tetapi bukankah memperolehi kuasa dan menggantikan pemerintahan BN juga merupakan idaman serta nikmat dalam perjuangan masing-masing.

Memang ketika ini hubungan Pas dengan DAP ini nampak serius tetapi jika diamati ia hanyalah ibarat pasangan suami isteri yang selalu bergaduh tetapi masih tinggal serumah. Kedua-duanya mahu tinggal di rumah yang sama dan tidak mahu keluar. Masing-masing juga enggan melafazkan cerai.

Lalu, bertolak ansur dan menyejukkan kepala masing-masing adalah pilihan yang wajar. Fikirlah mengenai harapan rakyat yang lebih tinggi terhadap perubahan berbanding mempertahankan ego masing-masing. 

Bukan tidak ada suami isteri yang selalu bergaduh tetapi akhirnya berbaik semua sehingga ke hujung nyawa. Bahkan selalu juga suami isteri yang selalu bertengkar dan bermasam muka tetapi tetap melahirkan zuriat setiap tahun. 

7 comments:

  1. Mana Hadi Al Tolol sudah menyorok ?????

    ReplyDelete
  2. Orang yg berani ialah yang sanggup meminta maaf dan memaafkan. Untuk memaafkan perlu ada pihak yang meminta maaf. Jadi... kita lihat ajelah siapa yang paling berani...

    ReplyDelete
  3. DAP sikit cerdik dari Pas hadi. Kalau serang Pas, selalunya secara 'jitu isu' dan selalu menilai collateral damages terhadap PR. Pas hadi jelas menyerang buta tuli dan tidak mengambil kira komitmen Pas terhadap rakyat (janji2 Pas). Ini lah agaknya yg dikatakan ego ulamak......seolah menghimbau kembali sirah kejadiah Adam dimana azazil enggan menurut perintah!

    Renung renungkan lah wahai kaum yg mengaku suci! Dunia bayangan akhirat! Kalau Tolol di dunia maka Tolol lah diakhirat!

    ReplyDelete
  4. Bg maaf boleh.. Tp nak percayakan hadi lg ke... Lupa ke kes pil kuda,.. Kes letak calun kat damansara dan yg latest tentang dewan ulamak yg buat keputusan mendadak tu... Pengajaran utk geng ustaz al azhar yg tukang hafal tp xpakai otak... Elok le pas di benar keluar,.. Sebagai ahli pas aku pun dah xpercaya kat geng ustaz ni... Tinggal mereka bg le peluang org lain yg betul betul pikir hal rakyat... Geng pasma antaranya...

    ReplyDelete
  5. Permintaan maaf hanya akan ditutur kepada apabila DAP boleh menerima hukum Islam. Itu saja.

    ReplyDelete
  6. Baguslah banyak masaalah timbul dapat diselesaikan ebelum pembangkang mengambil alih pemerintahan dari umngok be end.

    ReplyDelete
  7. Selagi sistem ekonomi islam tidak dilaksanakan, sampai bila bila kita bergaduh pasal politik. Mana ada dlm dunia ni.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa