Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, October 5, 2015

Saifuddin patut keluar UMNO sebelum dipecat

Lebih baik Saifuddin keluar UMNO sebelum dirinya "hilang harga"
12:30PM Okt 04 2015
oleh Shahbudin Husin

SUARA LANTANG: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah dilaporkan sudah pun menjawab surat tunjuk yang diberikan UMNO terhadapnya kerana menghadiri persidangan meja bulat penubuhan Pakatan Harapan pada 22 September lalu. 

Walaupun beliau membangkitkan beberapa isu teknikal dalam jawapannya berkaitan surat tunjuk sebab itu, namun ia tetap terserah kepada UMNO untuk memutuskan apakah tindakan yang akan diambil terhadapnya. 

Tidak mungkin UMNO, khususnya Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor akan melayan apa yang dibangkitkannya itu kerana jika berbuat demikian, bermakna beliau tidak pandai atau tidak teliti dalam menjalankan kerjanya. Dan kemungkinan paling besar hukuman yang akan diterima  Saifuddin ialah beliau akan dipecat daripada UMNO.

Ini berdasarkan reaksi beberapa pemimpin UMNO tehadap Saifuddin, termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tidak wajar bagi bekas ahli MT itu menghadiri persidangan meja bulat untuk menubuhkan sebuah parti bagi menyaingi BN sendiri.

Tengku Adnan Tengku Mansor pula "agak kasar"  reaksinya apabila mengatakan, "kalau suka sangat hadir program pembangkang, masuk sajalah parti pembangkang". Ternampak bahawa Setiausaha Agung UMNO itu tiada rasa kompromi lagi terhadap tingkah laku Saifuddin, meskipun beliau cuba menyatakan kehadirannya dalam persidangan meja bulat itu adalah atas kapasiti mewakili NGO Akademi Belia yang dipimpinnya. 

Beberapa pemimpin UMNO lain seperti Khairy Jamaluddin serta Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii turut mengecam kehadiran Saifuddin dalam program itu sambil menyarankannya agar meninggalkan UMNO jika masih ada maruah serta harga diri. 

Sememangnya Saifuddin boleh memberi apa juga hujah dan sandaran mengenai kehadirannya di persidangan meja bulat untuk menubuhkan Pakatan Harapan itu, tetapi terlihat bahawa kecondongan UMNO untuk memecatnya sangat jelas. 

Dalam keadaan UMNO terpalit dengan banyak isu sekarang ini, parti itu mungkin merasakan  memecat Saifuddin adalah jalan terbaik untuk menunjukkan imej ketegasannya kepada umum. Lagi pula, banyak pandangannya turut tidak selari dengan UMNO dan kerajaan, walaupun beliau dilantik mengetuai Yayasan Kesederhanaan Global oleh Perdana Menteri, Najib Razak. 

Dari segi masa depan politiknya pula, jalan terbaik bagi Saifuddin ialah meninggalkan UMNO sebelum parti itu memecatnya.

Walaupun sudah menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya, beliau tidak seharusnya menunggu UMNO membuat keputusan terhadapnya. 

Saifuddin perlu keluar UMNO dengan segera dan pilihlah mana-mana parti dalam Pakatan Harapan yang boleh menjanjikan masa depan untuknya.

Sekarang beliau masih ada "harga"  lagi, tetapi apabila sudah dipecat daripada UMNO,  dirinya jadi "tidak berharga" lagi. 

Jika beliau memilih menyertai mana-mana parti lain setelah dipecat daripada UMNO, harga dan nilai dirinya sudah jatuh berbanding kiranya berbuat demikian sebelum dipecat. 

Saifuddin memang diakui sebagai tokoh politik pragmatik yang ada masa depan dan disukai ramai orang kerana pandangan kritis dan keterbukaan mindanya. 

Pengundi bandar atau urban amat menyukai buah fikirannya dan beliau sangat sesuai mewakili kelompok itu. Jangan risau tentang masa depan, jika beliau bertanding di mana-mana kawasan pengundi campuran, harapannya untuk memasuki semula Dewan Rakyat amat cerah sekali. 

Cuma, pilihlah jalan ke hadapan dengan segera sebelum dirinya "turun harga" dalam pasaran. Pengundi pun akan lebih menghormati dan menghargainya nanti jika beliau menyertai mana-mana parti pilihannya sebelum UMNO membuangnya. 

1 comment:

  1. Datuk, stay je bertahan dn tgok apa yg umno nk buat.. Datuk xsalah pun, sblum ni hanya bg pandangn y rasional. Hadir atas kapasiti ngo. Yg suh undur tu, org yg xsabar naik atas dlm politik.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa