Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 9, 2015

TPPA: Jangan jadi buruh Amerika

Saya peturunkan di sini untuk memudahkan sekalian sahabat membaca.

TPPA, jangan jadi buruh Amerika.
Mohammad Faizal Che Yusof.
Aktivis hak asasi manusia.

APA istimewanya Malaysia hinggakan Obama begitu teruja untuk mencemar duli demokrasinya datang ke Malaysia? Bukan Obama jahil tentang pelbagai undang-undang mencalar demokrasi yang telah diluluskan di Parlimen. Bukan Obama jahil bahawa kerajaan yang ada hanya didokong oleh 47% rakyat dalam Pilihan Raya Umum PRU 13 lalu. Begitu juga Obama tentu arif betapa Malaysia terkial-kial menangani pelbagai isu terkini sebagaimana terserlah dalam pencarian MH370.

Biarlah demokrasi di Malaysia terasa pincang dan tidak cocok dengan apa yang diperjuangkan Amerika. Tak mengapa 52% rakyat menolak kepimpinan kerajaan yang ada. Selepas lawatan Lyndon Johnson 1966, Obama sanggup menjadi Presiden Amerika Syarikat yang mencemar duli demokrasinya demi hajat yang menggunung di Malaysia.

Obama tentu yakin dengan hanya berbekalkan kekuatan 47% sokongan rakyat, Barisan Nasional BN, perlu mencari talian hayat yang mampu meletakkan mereka kekal di puncak kuasa. Justeru, Amerika ada ubat segera bagi memulihkan penyakit yang dideritai BN. Namun, ubat itu tidak percuma. Ubat itu adalah maruah dan kedaulatan Negara. Ubat itu jugalah yang akan melonjakkan Amerika ke persada antarabangsa.

Antara Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Malaysia, masing-masing ada percaturan untuk Negara dan peribadi. Rahsia di sebalik Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik TPPA telah diketahui dunia. Bahkan dunia melihat dengan terang dan jelas langkahan tarian penuh kesumbangan dimainkan oleh Amerika dalam mencapai agenda TPPA tajaannya.

Apa yang boleh disimpulkan, hanya kerajaan yang kepimpinannya lemah dan terdesak sahaja yang akan tunduk dan akur terhadap TPPA tajaan Amerika Syarikat. Sebagaimana yang pernah dibentangkan di kongres Amerika Syarikat hamper dua tahun yang lalu, kongres telah diyakinkan betapa TPPA amat perlu bagi kelangsungan dan survival Amerika Syarikat di pentas dunia.

Ini diyakinkan pula dengan siri-siri ucapan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Thomas Donilon di pelbagai tempat. Dalam satu ucapan beliau di India pada 2013, satu analisa telah dikeluarkan oleh Institute for Defence Studies and Analyses betapa Amerika Syarikat pada waktu ini sedang mengalami penguncupan ekonomi yang meletakkan Amerika Syarikat pada tahap sukar.

Dalam ucapannya, Donilon telah menggariskan 5 strategi dalam menampilkan TPP sebagai satu model ekonomi baru. Pertamanya ia adalah bertujuan mengukuhkan pakatan  sedia ada terutamanya dengan Negara Jepun, Korea Selatan , Thailand, Filipina dan Australia.

Keduanya ia bertujuan memperincikan terma-terma perkongsian dengan kuasa-kuasa baru termasuklah India yang dilihat sebagai pintu rantau asia pasifik abad ke21, dan Indonesia yang disifatkan sebagai rakan global baru Amerika Syarikat.

Strategi ketiga yang antara terpenting bagi Amerika Syarikat ialah membina hubungan yang stabil , produktif , dan konstruktif dengan kuasa baru Asia, China. Hubungan Amerika-China dilihat perlu dijenamakan agar dilihat bersifat (kerjasama dan persaingan). Amerika cukup sedar betapa China menaruh sikap kewaspadaan pada tahap tinggi dengan apa yang dilaungkan oleh Amerika bagi menjayakan agenda TPP.

Mengupaya institusi serantau dan membantu membina persekitaran ekonomi serantau yang dapat mengekalkan kemakmuran untuk dikongsi bersama merupakan strategi keempat dan kelima menurut Donilon. Pengukuhan ekonomi adalah suatu keperluan yang mesti diselarikan dengan kekuatan ketenteraan. TPP akan menjadi pelengkap kepada siri-siri Perkongisan Pelaburan dan Perdagangan Trans Atlantik kepada Amerika Syarikat.

Ia cukup nyata pergantungan Amerika Syarikat kepada kejayaan meyakinkan Negara-negara seperti Malaysia untuk bersetuju menyertai dan menandatangani TPPA. Bagi Obama, penggal keduanya mesti diperguna untuk meletakkan suatu keadaan yang lebih selesa buat Amerika Syarikat. Bagi obama, beliau tidak perlu melibatkan Amerika Syarikat dengan misi-misi keamanan sebagaimana amalan presiden terdahulu. Baginya, penguasaan ekonomi di pentas dunia adalah sama penting dengan penguasaan ketenteraan.

Saya cukup sedar sekadar tulisan kerdil ini, ia tidak akan mampu menghalang keangkuhan Amerika Syarikat dalam memastikan agenda TPPnya Berjaya. Namun apa yang pasti, sebagai rakyat kita akan menjadi pelengkap yang cukup bermakna kepada misi membangunkan semula ekonomi Amerika Syarikat. Kita adalah buruh terhormat kepada pembangunan semula ekonomi Amerika Syarikat bila Negara menandatangani TPPA.

Itulah antara hadiah paling istimewa yang diberikan oleh 47% pengundi untuk sama-sama dinikmati oleh 52% rakyat yang tidak lagi menaruh percaya kepada peneraju kerajaan hari ini.

1 comment:

  1. biar la pm n sewaktu dgnnya jadi barua..amerika...rakyat jgan jadikan taruhan...so rakyat jangan tido....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa