Published: 13 February 2016 5:03 PM
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangannya terhadap kemelut dihadapi dalam Umno dan mereka tidak lagi relevan kepada rakyat, kata Gabungan Ketua Cawangan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Februari, 2016.
Perkara itu diumumkan GKCM dalam satu kenyataan sejurus pertemuan dengan Dr Mahathir semalam.
"GKCM melakar satu lagi sejarah dalam gerakan mereka apabila Tun Mahathir mengisytiharkan secara rasmi untuk menjadi penaung kepada GKCM dan bekerjasama dalam program-program yang dianjurkan gabungan ini.
"Tun menyatakan pendiriannya ini ketika pertemuannya dengan 21 orang Jawatankuasa GKCM pusat yang diadakan di pejabatnya di Yayasan Al Bukhari di Kuala Lumpur," kata GKCM dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan kerjasama ini, Dr Mahathir juga akan bersama-sama menyertai program kumpulan itu dan menyusun strategi dalam usaha menyelamatkan parti utama kaum Melayu itu.
Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir juga melahirkan rasa bangga dengan keberanian yang ditunjukkan GKCM dan kemajuan dicapai kumpulan iti walaupun baharu sahaja ditubuhkan.
"Tun melahirkan rasa bangganya terhadap kemajuan yang dicapai GKCM dalam masa yang amat singkat.
"Tambah membanggakan ialah GKCM merupakan golongan berani bersuara bagi menyatakan kebenaran di dalam Umno sendiri," katanya.
GKCM juga berkata, Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya terhadap kemelut dihadapi dalam Umno dan mereka tidak lagi relevan kepada rakyat.
"Tun sekali lagi mengulangi kebimbangannya kerana golongan cerdik pandai makin lama makin terhakis di dalam Umno.
"Kehadiran GKCM berjaya mengimbangi golongan yang banyak merosakkan parti," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir juga menyifatkan GKCM sebagai pengimbang pada ketika Umno sedang bergolak dan dapat membantu untuk menguatkan parti iti.
Pergerakan GKCM bermula November tahun lepas dalam usaha memaksa Najib melepaskan jawatan susulan skandal kewangan dan beberapa keputusan kontroversi menyaksikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal tersingkir daripada Kabinet kerana lantang mengkritik pentadbirannya. – 13 Februari, 2016. - sumber
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa