Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, April 19, 2016

Kepimpinan PKR goyah?

PKR Sarawak memberontak atau kepimpinan PKR goyah?
pada 18-04-2016 02:04
Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] "Kami sudah memaklumkan kepada pimpinan nasional PKR bahawa kami tidak boleh menerima keputusan yang dibuat di peringkat nasional mengenai pengagihan kerusi,” kata Baru Bian, pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak.

Lantang dan berani nadanya. Malah beliau juga menegaskan bahawa PKR Sarawak menolak keputusan rundingan pemimpin PKR dan DAP peringkat nasional itu “kerana ia bertentangan dengan mandat PKR Sarawak”.

Justeru keputusan diambil untuk memulau hasil rundingan itu kerana PKR Sarawak mempunyai kuasa veto untuk menolak keputusan pimpinan nasional jika ia tidak selari dengan kehendak pimpinan di peringkat negeri.

"Demi menegakkan kewibawaan majlis presiden PKR negeri…kami membuat keputusan untuk menggunakan kuasa veto kami,” kata beliau.

PKR dan DAP Sarawak sebelum ini dilaporkan masih bertelagah mengenai pengagihan kerusi untuk Pilihanraya Negeri (PRN) itu serta dalam isu kerjasama dengan PAS.

Awal minggu lalu, kepimpinan DAP dan PKR peringkat nasional bermesyuarat untuk memuktamadkan pengagihan keerusi yang akan ditandingi kedua-dua parti yang bersekutu dalam Pakatan Harapan itu. 

Pada mesyuarat berkenaan,  Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan segala pertindihan mengenai kerusi DUN Sarawak antara PKR, DAP dan PAN sudah diselesaikan.

Bagaimanapun Khamis lalu Baru Bian membuat keputusan mengejutkan itu dan sekaligus membuka kemungkinan calon-calon PKR akan menentang calon DAP di beberapa kerusi DUN pada PRN berkenaan. 

Baru Bian menegaskan pihaknya tidak akan terikat dengan ketetapan untuk bertanding di hanya 40 kerusi sebagaimana yang diputuskan sebelum ini.

Beliau menegaskan PKR dan DAP masih mempunyai pertindihan mengenai parti mana harus menentang Barisan Nasional di empat atau lima kerusi DUN.

Maka bermulalah musim pemimpin-pemimpin PKR memujuk PKR Sarawak dengan mengatakan bahawa rundingan dengan DAP itu belum muktamad. Bagaimanapun DAP awal-awal lagi keputusan itu sudah rasmi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP mencapai persetujuan pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak selepas pembincangan dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

“Setahu saya, berkaitan dengan pembahagian kerusi, DAP dan PKR di peringkat pusat sudah bersetuju,” Guan Eng memberitahu sidang media di ibu pejabat DAP.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam perbincangannya dengan Azmin pada Khamis lalu.

“Persetujuan ini dicapai di antara seorang menteri besar dan seorang ketua menteri dan kami berdua bersetuju dengan pembahagian kerusi itu.

“Kami merasakan perkara ini tidak seharusnya dipertikaikan. Tetapi dalam politik perkara begini akan wujud dalam setiap parti dan ia adalah perkara biasa,” tambahnya.

Persoalannya apa sudah jadi dengan protokol dan kewibawaan pimpinan pusat PKR? Bukankah PRN ini akan menentukan siapakah yang akan memerintah Sarawak untuk lima tahun akan datang?

Ke manakah perginya Pengarah Pilihanraya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail? Mengapakah keputusan yang dibuat oleh PKR nampaknya agak bercelaru dan jauh daripada protokol lazim? 

Benarkah pimpinan PKR negeri mempunyai kuasa veto untuk menolak keputusan pimpinan Pusat? Atau, adakah keistimewaan ini hanya berlaku pada PKR Sarawak sahaja?

Adakah kecelaruan ini membayangkan bahawa ada jurang atau masalah komunikasi di kalangan pucuk pimpinan PKR? 

Jika Presiden sudah mengisytiharkan rundingan dengan DAP sudah tamat dan diperakui oleh Timbalannya, apakah lagi masalahnya? Adakah tindakan Baru Bian dan geng  PKR Sarawak ini sebenarnya mahu memberontak? 

Atau, adakah selama ini pimpinan Pusat PKR memang kerap bertindak semberono dan tidak menghiraukan pandangan pimpinan negeri?

Agak ngeri jika dibayangkan PKR dan sekutunya berjaya merampas Sarawak daripada BN. Dengan hubungan yang renggang dan tegang sebegini bagaimana rakyat Sarawak boleh menikmati perubahan politik di negeri itu?

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata berdasarkan rundingan dengan PKR awal minggu ini, DAP Sarawak memutuskan akan bertanding di 29 kerusi pada PRN nanti.

"DAP akan berpegang dengan apa yang telah dipersetujui. Sekiranya PKR tidak berpegang pada kata-katanya, akan berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya. 

DAP mengatur untuk  mengumumkan senarai calonnya pada 20 April ini.

Beliau berkata, 29 kerusi DUN yang akan ditandingi DAP itu merangkumi 15 kerusi majoriti pengundi Dayak, 13 kerusi majoriti Cina dan satu kerusi di kawasan majoriti kaum Melayu. 

Untuk rekod, pada pilihan raya negeri 2011, DAP bertanding di 15 kawasan dan menang 12 daripadanya, manakala PKR bertanding 49 kerusi dan menang hanya tiga sahaja.

Bagaimanapun PKR pusat akan terus berbincang dengan kepimpinan PKR Sarawak bersabit isu pengagihan kerusi PRN, kata Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Katanya, proses perbincangan dan rundingan akan tetap diteruskan selagi mana belum tiba tarikh penamaan calon.

"Cuma ada beberapa perkara dan kawasan bertindih yang mungkin PKR Sarawak merasakan mereka lama berada di situ (kawasan) dan kemudian tidak diberi pertimbangan. Itu isunya,” katanya.

Bagaimanapun Shaharuddin menegaskan, kepimpinan peringkat negeri perlu menghormati keputusan parti di peringkat pusat selepas perbincangan dimuktamadkan.

"Kita mengamalkan demokrasi. Jadi semua orang bebas untuk menyatakan peringatan mereka. Tapi akhirnya peringkat pusat yang akan buat keputusan walaupun peringkat negeri ada autonomi tersendiri tapi hubungan antara pusat dengan negeri perlu dipertautkan. 

"Kita menghormati negeri tapi dalam waktu yang sama negeri juga perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pusat," katanya.

Komunikasi pujuk memujuk dan gertak menggertak ini memberi imej yang kurang baik bagi PKR.  Seolah-olah struktur kepimpinannya rapuh dan tidak mesra. Sudah tentu kepercayaan rakyat terhadap parti itu mudah goyah.

3 comments:

  1. Aduh Mangkuk2 Hayun ni dok bertelagah buat BN gelak Besar.cuba korang ni DAP PKR mendengar rintihan PKR Negeri.depa yg bertanding Depa tau kedudukan politik negeri.Tolonglah bermuafakat la.

    ReplyDelete
  2. ..selagi Azmin dgn kartelnya lebih berkuasa dari Presiden.. ini lah hasilnya...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa