Tuesday, April 19, 2016

Kenyataan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP

Kenyataan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook 
pada 17 April 2016 di Kuala Lumpur.

DAP amat kesal dan dukacita dengan keputusan pihak TV3 untuk membatalkan debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang sepatutnya disiarkan secara langsung pada 19 April ini.

Saya menerima panggilan daripada pihak TV3 pada hari Khamis, 14 April lalu untuk mengesahkan program debat tersebut yang sepatutnya diadakan pada jam 9 malam, Selasa, 19 April, selama sejam. Dalam 2 hari yang lalu, saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak TV3 dan bersetuju dengan kebanyakan cadangan mereka mengenai format debat, masa yang diperuntukkan dan pilihan moderator.

Alasan TV3 untuk membatalkan debat ini sekarang kerana menghormati pandangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki kononnya debat ini akan menggangu siasatan pihak berkuasa dalam isu tanah Taman Manggis dan banglo milik Guan Eng langsung tidak dapat memberikan keyakinan kepada orang ramai.

Alasan Datuk Abdul Rahman Dahlan pula bahawa beliau tidak boleh mengingkari arahan daripada Ketua Polis Negara dan SPRM kerana beliau adalah Menteri Kabinet dilihat sebagai “exit strategy” untuk mengelak daripada debat ini untuk tidak memberi ruang kepada Guan Eng untuk membalas dan menjawab tuduhan-tuduhan liar beliau melalui media arus perdana khususnya TV3.

Saya nak mengingatkan Datuk Rahman Dahlan dan pihak TV3 bahawa pada 30 Mac yang lalu, beliau telah diberi masa 1 jam melalui program “Soal Jawab” TV3 untuk melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadap Guan Eng. Ini tidak termasuk laporan-laporan berat sebelah dalam isu ini yang dipaparkan dalam Buletin Utama hampir setiap malam dalam beberapa minggu yang lepas. Apakah ini tidak menggangu siasatan pihak berkuasa? Apakah ini tidak prejudis? Mengapakah Datuk Rahman Dahlan diberikan kebebasan mutlak untuk “membicarakan” Guan Eng melalui siaran TV3?

Apa yang kami harapkan hanyalah satu peluang untuk Guan Eng menjawab dan memberikan penjelasan berkenaan isu Taman Manggis kepada masyarakat umum melalui saluran TV3 yang telah menjalankan satu kempen untuk memburuk-burukkan imej Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut selama beberapa minggu ini.

Kami mengulangi pendirian bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sentiasa bersedia dan berani untuk berdebat dengan Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai isu tanah Taman Manggis dan pembelian banglonya. Peluang untuk beliau menjelaskan keadaan yang sebenar kepada orang ramai yang hanya menonton TV3 kini dinafikan dengan pelbagai sekatan.

Yang mencabar Lim Guan Eng untuk berdebat ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan. Lim Guan Eng menerima cabaran tersebut tanpa syarat.
Kini, yang menarik diri daripada debat tersebut juga ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan sendiri.

Biarlah rakyat menilai kredibiliti Datuk Abdul Rahman Dahlan dan melihat permainan politik kotornya untuk cuba menjatuhkan kedudukan politik Lim Guan Eng dengan melemparkan pelbagai tuduhan liar melalui media arus perdana dan menafikan hak Guan Eng untuk mempertahankan dirinya melalui saluran yang sama.

- LOKE SIEW FOOK-

1 comment:

  1. Saman ketua polis sebab berat sebelah.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa