Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, February 16, 2015

Untuk Peringatan - PAS 2014/15: Situasi yang agak sama dengan 1977

Memang seingat aku PAS yang membawa diri dari BN dan diceraikan oleh BN pada masa itu akibat dari usaha menjatuhkan Asri kerana kononnya berkaitan isu balak.

Maka bermulalah kempen menjatuhkan Dato' Hj. Mohammad Nasir dari kerusi MB. dan bermulalah perpecahan PAS. 

Bila Dato' Hj. Mohammad Nasir berjaya diundurkan oleh PAS maka rusuhan pun bermula dengan membawa imej Mr. Clean Dato' Hj. Mohammad Nasir dan 'Kepala Balak' kepada puak-puak Asri

Dan gerakan itu direstui oleh pimpinan UMNO pusat dan negeri Kelantan dengan menonjolkan Dato' Mohammad Nasir. Ketika itu Dato' Asri menjadi Menteri pusat

Maka rakyat Kelantan berdemo dengan di mastermindkan oleh Ku Li dan Juaknya Ibrahim Ali.  

Walau pun pada masa itu aku berumur 20 tahun  namun aku sudah aktif di dalam PAS dan aku sering ke Pejabat TMB masa itu Dato' Wan Ismail (suami kepada Dr. Fatma Azzahrah - Pendakwah bebas sekarang)

Setelah bercerai dari BN dan PRN Kelantan di adakan selepas Mageran 1978, aku adalah salah seorang yang mengisi pentas kempen PAS kerana ramai pemimpin dan penceramah tersohor lari meninggalkan PAS mengikut Dato' Haji Mohammad Nasir menubuhkan Berjasa termasuk Ibrahim Ali dan Dr. Mahmood Zuhdi. Sebelum itu Ibrahim Ali adalah aktivis PAS juga. Kami berkempen tanpa menggunakan pembesar suara kerana tiak dibenarkan
Saya tetap aktif bersama PAS sehinggalah BN kalah di Kelantan pada tahun 1990. Saya menyepi diri bila PAS menawan Kelantan dan awak-awak PAS sibuk membahagikan 'ghanimah' di antara mereka
Perkara ini Al-Marhum TGNA pun rasanya tahu bila beliau membuat rombakan tugasan exco dan jawatan tertentu tak lama selepas itu

Hasil PRN itu PAS hanya memenangi dua kerusi DUN 

Jadi fakta di bawah walau aku rasa penulisnya menyebelahi BN namun ianya pada aku 80% adalah betul

Punca PAS Dipecat Dari Perikatan Barisan Nasional
Dalam apa-apa pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk kembali kepada sejarah. Tidak kiralah apa isu pun, yang penting faktanya.

Menyelusuri fakta-fakta sejarah itulah, satu rumusan perlu difikirkan apakah benar kerajaan Barisan Nasional (BN) telah “menganaktirikan” PAS suatu ketika dulu. Atau adakah PAS sebenarnya yang “angkat kaki” dari kerajaan BN pada 1977 ekoran “sifat tikam belakang”nya terhadap BN.

Di sini saya utarakan dahulu sedutan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua Umno Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Dalam pilihan raya tahun 1974, Umno sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. Umno terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama Umno dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada BN. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. Umno mempunyai maruahnya sendiri. Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan Pas dalam BN.

Perkara ini dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan Umno juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan BN. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Ada dalam kalangan rakyat yang menginsafi fakta sebenar PAS dikeluarkan dari BN. Fakta ini merupakan kebenaran yang tidak seharusnya disenyapkan demi merungkai rasa benci dan menyampah pengikut dan penyokong PAS yang melulu terhadap BN khususnya Umno.

Antara punca sebenar krisis Kelantan pada 1977 adalah daripada PAS sendiri. Malah di dalam portal PAS Pusat itu menyatakan ia bermula apabila timbulnya rasa tidak puas hati PAS terhadap Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir. Rakyat waktu itu tertanya-tanya mengapa pada tahun itu, pimpinan PAS melucutkan jawatan Muhammad sebagai Menteri Besar tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Yang diselindungkan PAS ketika itu ialah:

● Ada di antara pemimpin PAS Kelantan memfitnah dan menuduh Muhammad Nasir terlalu mengikut telunjuk Umno-BN. Hakikatnya pada ketika itu Umno-BN tidak pernah campurtangan dalam mencorak pemerintahan PAS (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan PAS Kelantan masih di tangan kuasa majoriti Dewan Undangan Negeri.

● Malah pada ketika itu juga terdapat usaha dalam PAS untuk menjatuhkan Presiden Pas (ketika itu), Datuk Dr Mohd Asri Muda. Ia dilakukan hanya kerana beliau adalah tokoh PAS yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai BN pada 1973.

● Asas yang digunakan oleh sebahagian pemimpin PAS Kelantan (ketika itu) untuk menolak Mohd Asri dan Muhammad hanya kerana selepas PRU 1973, PAS mempunyai kuasa majoriti dengan 22 kerusi dan Umno hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara PAS dan Umno.

● Dalam tempoh 1973-1978, Mohd Asri selaku Presiden PAS dan Muhammad dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan PAS di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli-ahli PAS yang tidak berpuashati dengan perpaduan Pas-Umno.

● Krisis Kepimpinan PAS Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar negeri itu, Muhammad Nasir. Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh pucuk pemimpin PAS Kelantan itu sendiri.

● Mohd Asri pula mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung Pas, desakan yang datang dari beberapa pimpinan PAS antaranya Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982.

● Krisis Kepimpinan PAS Kelantan pada 1977 itu membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978. Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yang dibuat oleh PAS Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dengan alasan yang diberi oleh PAS Kelantan itu dengan mendakwa perkara itu merupakan soal rumah-tangga PAS.

● Tumbangnya Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam PAS menyebabkan berlakunya rusuhan yang dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Baru. Rusuhan itu mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

● Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein dalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku Perdana Menteri ketika itu, belau harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan di Kelantan mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain dan mengekang rusuhan seperti peristiwa 13 Mei berulang.

● Pada November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

● Rang undang-undang Darurat Kelantan dirangka bersama menteri-menteri PAS yang ketika itu masih lagi bersama-sama Umno dalam jemaah Menteri. Dan ia diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dari kalangan menteri PAS sendiri.

● Setelah Kelantan di bawah Darurat, Mohd Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan PAS terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang dari awal begitu lantang menentang gabungan PAS-BN.

● Hasil dari desakan itu, Hassan Adli Arshad selaku Timbalan Yang DiPertua Agung PAS dijadikan “kambing hitam PAS” apabila beliau dipecat oleh Mohd Asri yang kononnya beliau menjadi ketua menteri-menteri PAS yang menyokong rang undang-undang Darurat.

● Malah beberapa pimpinan PAS yang menentang gabungan PAS-Umno ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan PAS-Umno, menentang setiap arahan dan pelaksanaan kemajuan yang dilakukan BN di Kelantan.

● Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin PAS ini, menyebabkan Umno terpaksa membuka tali yang mengabungkan PAS-Umno.

● Rentetan dari itu juga menyebabkan “krisis dalaman PAS” kepada perpecahan PAS pada beberapa parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim.

● Keluarnya PAS dari gabungan BN-Umno, menyaksikan satu Pilihan Raya Kecil diadakan di Kelantan diadakan pada Mac 1978.

● Pada PRK Mac 1978, rakyat menjadi gempar setelah pekung yang selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan PAS di antaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan PAS cuba menggadaikan Kelantan.

Itulah antara puncanya Tun Hussein pada 1977 mengungkapkan luahan hatinya yang berkait secara langsung dengan tindakan biadab PAS tersebut. PAS “diceraikan” selepas tidak lagi memegang aspirasi kerjasama apabila berada dalam kerajaan BN. - sumber

Ini pula cerita dari Mahathir.......hanya untuk cerita.......lidah Mahathir bukannya boleh pakai sangat.....tak payah di ambil serius


1. Nik Aziz dilapor telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO dalam usaha untuk menyatupadu orang Melayu. Katanya PAS telah ditipu oleh UMNO semasa PAS berada dalam Barisan Nasional. Bagaimana UMNO menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang.

2. Saya berada sebagai menteri dalam kabinet Tun Hussein di waktu mana PAS keluar dari Barisan Nasional. Saya juga ada dalam kabinet Tun Razak bersama Dato Asri Muda dan Hassan Adli semasa PAS menyertai Barisan Nasional.

3. Dato Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna dia bertanggung jawab terhadap FELDA.

4. Setelah beberapa bulan PAS berada dalam Barisan Nasional ahli-ahli UMNO Johor membuat komplen kepada Tun Razak dalam majlis makan malam dikediaman Tun sempena mesyuarat agong UMNO bahawa Dato Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu.

5. Secara kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat UMNO. Selepas Dato Asri bertanggungjawab keatas FELDA, hampir semua peserta FELDA menjadi penyokong kuat PAS dan menolak UMNO.

6. Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Nasional tidak menolong Barisan Nasional. Ia hanya untuk memberi peluang kepada PAS mengembangkan pengaruh di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.

7. Di waktu itu timbul sengketa antara Dato Asri sebagai ketua PAS dengan Dato Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk ganti Dato Asri. Dato Mohd Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Dato Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan.

8. Dato Asri cuba menyingkir Dato Mohd Nasir melalui undi tidak percaya. Walaupun kalah Dato Mohd Nasir enggan meletak jawatan.

9. Ramai ahli PAS memihak kepada Dato Mohd Nasir. Mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Dato Asri.

10. Kerana PAS berpecah Kerajaan Barisan Nasional Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.

11. Pada Mac 1978, pilihanraya peringkat negeri diadakan di Kelantan. Dato Mohd Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya 2 kerusi.

12. Perpecahan dalam PAS bukan kerana UMNO tetapi kerana Dato Mohd Nasir mencabar kepimpinan Dato Asri. Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari Barisan Nasional. Tidak ada penipuan oleh UMNO.

13. Walau apapun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai orang Islam disuruh oleh agama Islam supaya menyambut seruan kedamaian dari musuh. Orang Islam disuruh bersatupadu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatupadu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas.

Oleh : Tun Dr. Mahathir Mohamad

4 comments:

  1. pentadbiran dalam pas sekarang dah tempang dek kerana puak GU minat sangat nakkan UG.ini lah jadinya.hijap dalam pas selama ini ALLAH TAALA tutup rapat kerana dulu masih ada lagi kesatuan dalam jemaah,tapi sekarang ALLAH telah buka hijap pas nampak akan perkara yang tak pernah akaq umbi dan musuh tahu telah diketahui umum sekarang.tunggu la akan banyak lagi akan terbongkar.dek kerana nak laluan mudah masing2 tikam menikam,cantas mencantas,cubaan bakar kereta dr hatta walupun belum ada mengaku,biarlah pihak polis jalankan siasiatan. akan terbongkar 'KAH' kes ni,tak lama lagi akan ada cubaan membunuh la pula.KEBENARAN DAN KESALAHAN TETAP KAN MENJELMA.samada cepat atau lambat pasti akan muncul jua.biar la jadi ULAMA DUNIA AKHIRAT,JANGAN ADA DUA LIDAH DAN SATU TELINGA.

    ReplyDelete
  2. Mulai hari ini pastikan semua penyokong pakatan dlm pas menjadi ahli pasma. Pastikan pkr dan dap beri sokongan kuat kpd pasma...termasuk sumbangan wang untuk aktiviti keahlian
    Mana tau last minit hadi dan menantu buat kacau pru14
    Moga pkr dap dan pasma menang pru14

    ReplyDelete
  3. Bunyinya macam penyokong totok umno jahiliah

    ReplyDelete
  4. Betullah teori cyber troopers umno berlakun beri idea perpecahan.
    Sedarlah Pas.
    Pasma dah jadi kenyataan.
    Perpecahan dan keruntuhan spt. dulu akan berlaku.
    Tahi umno laku dibeli Pas.
    Pakatan Rakyat hancur.
    TGHH mudah dibelit umno spt ustaz nasaruddin.
    The end of the story Babi Negara berkuasa for another 50 years.
    Rakyat 52% tak terkata apa because the challenger just dont converge to victory.
    The worst is the islamic party tamak and tak setia

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa