Suka atau tidak, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memegang jawatan Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun sejak 1990.
Beliau dipilih oleh jemaah kepimpinan dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), yang mana Tengku Razaleigh Hamzah adalah pengerusinya.
Pada awal pemerintahannya, Nik Abdul Aziz menunjukkan sikap tegas dan patuh kepada ajaran Islam.
Beliau memperkenalkan banyak slogan yang antaranya 'Membangun Bersama Islam' dan 'Kelantan Negeri Serambi Mekah'.
Beliau juga mengeluarkan 'fatwa' melarang Qariah dari Kelantan menyertai Tilawan Al-Quran di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa dengan alasan suara perempuan adalah aurat.
Nik Abdul Aziz Nik Mat bersalaman dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.
Namun, 'fatwa' paling kontroversi yang dikeluarkannya ialah melarang wanita yang bekerja bersolek kerana boleh membahayakan diri wanita itu, selain menggalakkan maksiat.
Panggung wayang disyaratkan memasang lampu ketika filem dimainkan, kaunter bayaran di pusat beli belah diasingkan antara lelaki dan perempuan, melarang artis wanita mengadakan persembahan di negeri itu dan banyak lagi bidang hiburan menjadi mangsanya.
Dalam politik, Nik Abdul Aziz terkenal sebagai seorang yang ponggoh dan bengkeng (garang dan panas baran).
Beliau menegur Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kenyataan yang ringkas, tetapi padat dan pedas.
Ketika membuat kenyataan akhbar juga, ada kalanya wartawan terutama yang bukan anak tempatan sering tersalah faham akan makna dan maksud kata-kata Nik Abdul Aziz yang dilontarkannya dalam loghat Kelantan pekat.
Sehinggakan apabila laporan itu disiarkan dalam bentuk berita, ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembaca dan secara tidak langsung menimbulkan kemarahan pemimpin Pas kepada media.
Itu serba sedikit sejarah yang sempat dirakamkan sepanjang Mursyidul Am Pas itu menjadi Menteri Besar.
Bagaimanapun, pada tarikh 12 Februari 2015, kira-kira jam 9.45 malam, negara dikejutkan dengan pemergian selama-lamanya mantan Menteri Besar itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin (kanan) sempat bertanya khabar dan bersalaman dengan Nik Aziz Nik Mat pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor.
Allahyarham yang dilahirkan pada 10 Januari 1931 menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak di rumahnya di Pulau Melaka, dekat Kota Bharu, iaitu selepas 50 minit dibawa pulang.
Pada petangnya, anak Allahyarham, Nik Mohamad Abduh ada memaklumkan mengenai keadaan terkini ayahndanya, termasuk menyatakan ayahndanya akan dibenarkan pulang hari ini.
Tetapi Allah lebih menyayanginya dengan mengambilnya nyawa beliau pada malam Jumaat iaitu malam paling mulia serta penghulu segala hari ketika usianya 84 tahun.
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 19 Januari lalu dan menerima rawatan selama 25 hari di sana.
Beliau menghidap kanser prostat, selain jantung, menyebabkan beliau terpaksa berulang alik ke hospital menerima rawatan.
Sebelum itu pada tahun 2006, Allahyarham dimasukkan ke wad kerana sakit jantung.
Allahyarham juga sering mengalami cirit birit dan mengadu penat sehingga pergerakannya terpaksa dihadkan oleh pegawai-pegawainya, bagi memberi peluang kepadanya berehat.
Namun, manusia bernama Nik Abdul Aziz ini tidak pernah kenal erti sakit.
Dalam keadaan letih pun beliau tetap turun ke Markas Pas Kota Bharu untuk menyampaikan kuliah Jumaat. Kuliah itu yang diadakannya setiap pagi Jumaat sejak 1985 pernah mencatatkan kehadiran sehingga 10,000 orang.
Allahyarham dikenali dalam kalangan para pengikutnya sebagai seorang yang sederhana. Sederhana dalam segala-galanya tetapi tegas.
Nik Aziz dikatakan tidak mempunyai musuh dalam pentadbiran kerajaan mahupun parti.
Nik Aziz yang kuat pegangan Islam, menimba ilmu Islam daripada ayahnya, Allahyarham Nik Mat Raja Banjar.
Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam dari Universiti al-Azhar di Mesir dan mula menyertai politik pada tahun 1967 dengan mendaftar sebagai ahli Pas.
Penglibatannya dalam parti itu telah mengangkatnya sehingga ke jawatan paling utama ialah Mursyidul Am.
Allahyarham Nik Abdul Aziz adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka dalam Parlimen Pengkalan Chepa. Beliau tidak pernah kalah walaupun pencabarnya adalah Ketua UMNO Bahagian itu.
Walaupun beliau tidak banyak meluangkan masa untuk turun ke kawasan, namun penduduk atau pengundi di DUN berkenaan sangat menyayanginya. - MalaysiaGazette
Areah Nik Aziz meng kukuh kan PAS , malang nya Hadi Awang akan meruntuh kan PAS.
ReplyDeleteOrang jenama GAGAL tidak dapat hasil apa apa manfaat pun.