TMI - Published: 14 February 2015 7:02 PM
Orang ramai dinasihati mengamalkan sunah Nabi ketika melawat pusara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Februari, 2015.
Nik Mohamad Abduh, anak allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang ramai supaya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi pusara ayahnya itu.
Beliau berkata orang ramai diminta untuk tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai khurafat ketika menziarahi pusara allahyarham.
"Saya nasihat kepada rakyat Malaysia yang datang ziarah hendaklah menepati sunah Nabi Muhammad SAW kerana ziarah keluarga dan tok guru adalah sama.
"Perlu berdoa dan mengambil peringatan untuk diri sendiri, jangan tambah (melakukan) benda yang bersifat bidaah dan khurafat kerana ia akan membatalkan amalan soleh kita sendiri," katanya di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.
Nik Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya terdapat segelintir masyarakat yang mengambil tanah di pusara berkenaan untuk dijadikan azimat dan sebagainya.
Tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka mendapati orang ramai tidak henti-henti menziarahi pusara bekas menteri besar Kelantan itu.
Beliau meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka pada 9.40 malam, Khamis ketika berusia 84 tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka itu dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam hari yang sama setelah dirawat di hospital itu sejak 19 Januari lepas kerana kanser prostat.
Jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada 11.30 pagi semalam. – Bernama, 14 Februari, 2015.
Yang lawat kubur arwah pun orang orang kita dan yang beli nombor ekor , tilik nasib dgn tanah kubur pun orang orang Kita.
ReplyDeleteOrang Melayu saja.