Menurutnya, orang ramai dan penumpang setia mereka perlu terus percaya dan menyokong perkhidmatan syarikat penerbangan itu bagi meneruskan usaha ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Menyifatkan Rayani Air baharu sahaja melepasi tempoh 'pantang’, Ravi berkata, penumpang dan orang ramai perlu membuka ruang buat pihaknya untuk mengenal pasti dan terus memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

“Kalau orang perempuan (selepas bersalin) pantangnya berapa hari? 100 hari, kan?

[ARTIKEL BERKAITAN:  DCA gantung Rayani Air tiga bulan]

“Rayani Air baru lepas tempoh 'berpantang’. Kami beroperasi sejak 20 Disember tahun lalu. Umurnya baharu menginjak 115 hari beroperasi, berilah kami masa dan peluang kedua untuk bangkit ke arah yang terbaik buat penumpang kami,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Sinar Online di Pejabat Rayani Air di Dataran Automobil, Seksyen 15 hari ini mendapati sekumpulan individu menunggu di luar pejabat Rayani Air bagi menunggu pulangan wang masing-masing.

Ravi berkata, pihaknya telah pun membuka kaunter bagi penumpang yang datang menuntut pembayaran semula tambang bermula hari ini.

Ravi dalam satu kenyataan di Facebook semalam memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan terbabit.

Menurutnya lagi, buat masa kini, pihaknya sedang berusaha  untuk menyelesaikan urusan dalaman bagi memastikan Rayani Air kembali beroperasi.

Beliau turut memohon maaf kepada para penumpang yang terjejas akibat masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu.

Selain mendapatkan bayaran balik di pejabat operasi di Shah Alam, sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan di 03-27214925 atau emelkan ke info@rayaniair.com.