Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, April 14, 2016

Mungkinkah Hamidah menjadi anak sulung PAS ke DUN Sarawak?

Pilihan Raya Sarawak Cik Hamidah boleh buat kejutan di Beting Maro?
Posted on Thursday, April 14 @ 11:04:51 MYT by paktam
SINARAN lampu memercik ke mukanya, dari putih menjadi merah, sambil suaranya sedikit perlahan pada mula bicara.

Nama Cik Hamidah Mokhtar, 26, (gambar) semakin rapat ke telinga setiap yang ada di dewan utama Hotel Kemena, satu-satunya calon wanita mewakili PAS dan masing bujang. Bila sahaja namanya diumum sebagai calon Muslimat PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro, laungan takbir bergema lebih kuat melingkari ruang dewan yang sesak dengan penyokong.

Berbaju kuning dengan tudung sedondon, berkacamata, Hamidah melangkah naik ke pentas bersama 10 lagi calon ‘gagah perkasa’. Ketika lensa kamera memenuhi ruang atas pentas, beliau sedikit gamam lantas beberapa pemberita menghampirinya, membuatkan Hamidah menjadi tumpuan.

Bukan hanya kerana beliau satu-satunya calon wanita, namun selebihnya kerusi yang ditandingi iaitu Beting Maro cukup sinonim dengan PAS. PAS tidak pernah sekalipun gagal bertanding di Dun berkenaan sejak tahun 2001 menyertai PRN Sarawak.

Peningkatan jumlah undi semakin menarik perhatian.

Pada awalnya kalah dengan majoriti besar, hingga PRN ke-9 PAS mengurangkan majoriti kepada 800 undi dan pada PRN10, PAS hampir menewaskan calon BN, Raizali Gappur dengan hanya kalah tipis antara 300 undi sahaja.

Harapan yang besar diletak kepada Hamidah untuk memberi kejayaan pertama kepada PAS. Jentera Muslimat PAS Pusat sendiri akan menumpukan kempen di kawasan tersebut, dan sejak beberapa bulan lalu kawasan ini tidak sunyi dari program yang dijana PAS.

Kelibat Hamidah bisa sahaja mendapat tempat apatah lagi kawasan itu juga memiliki majoriti pengundi wanita melebihi 50 peratus.

Bak kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, kejayaan boleh ditempa dengan arus sokongan yang cukup baik kepada Hamidah ketika ini.

Andai komitmen berterusan oleh pengundi di sini kekal hingga ke saat akhir pembuangan undi, maka Hamidah bisa sahaja menjadi anak sulung PAS ke Dewan Undangan Negeri Sarawak, dan boleh sahaja mengiringi calon lain turut serta andai gelombangnya memecah benteng ‘kukuh’ PBB-BN di sini selama ini.

Kelibat Hamidah bakal menjadi taruhan. Graduan Sarjana Muda Sistem Maklumat Perniagaan Universiti Teknologi Petronas ini akan sekali lagi menjadi tumpuan, kemungkinan pertandingan tiga atau empat penjuru di Beting Maro akan berlaku.

2 comments:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa