Gabungan Azmin-Mahathir cetuskan pergolakan dalam PKR – MyKMU
Ia juga menyebabkan Anwar Ibrahim mengutuskan surat daripada penjara Sungai Buloh.
PETALING JAYA: Kerjasama Datuk Seri Azmin Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tercetus sejak bermulanya Deklarasi Rakyat telah menjadikan PKR mula bergolak, dakwa portal pro-UMNO MyKMU.net.
Kerjasama itu juga menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menulis surat daripada penjara, seperti yang didedahkan semalam.
Menurut makalah yang disiarkan portal itu, Azmin cuba ‘merampas’ PKR daripada keluarga Anwar dan melihat peluang itu dengan ‘bergabung’ dengan Mahathir melalui Deklarasi Rakyat.
“Mudah untuk Azmin melakukannya kerana kedudukannya lebih berkuasa dari presiden. Wan Azizah hanyalah ahli Parlimen manakala beliau Menteri Besar negeri kaya. Lagipun tulang belakang PKR sekarang sedang ‘berehat’ di dalam penjara.
Pada masa sama, kata MyKMU, Azmin juga bergabung dengan Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak kerana turut bercita-cita menjadi Perdana Menteri jika BN dapat ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Dengan bergabung dengan Mahathir, Azmin percaya dia akan dapat sokongan dari kalangan penyokong Mahathir. Mahathir dan Azmin mempergunakan antara satu sama lain untuk agenda mereka,” katanya lagi.
MyKMU mendakwa perkara itu disedari Anwar yang akhirnya menulis surat untuk mengingatkan ahli PKR agar tidak bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Ia akan merencatkan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar juga tahu Mahathir amat membencinya dan cuba ‘merampas’ PKR daripadanya,” dakwa MyKMU lagi.
Pandangan tersebut turut dikongsi bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang dipetik Malaysiakini sebagai berkata surat tersebut mungkin ekoran ‘perbalahan antara puak Azmin Ali dan Wan Azizah’.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa