Azalina nafi kata WSJ tidak patut disekat
mk - Hari ini, 12:20 pagi
mk - Hari ini, 12:20 pagi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman menafikan kenyataan bahawa Wall Street Journal (WSJ) tidak wajar disekat berhubung laporan media antarabangsa itu yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta pihak yang mempunyai kaitan dengan beliau.
Sehubungan itu, Azalina mendakwa kenyataannya yang dilapor Malaysiakini telah disalah petik.
Azalina turut menjelaskan, kenyataannya itu dikeluarkan secara umum dan tidak merujuk kepada mana-mana media.
"Komen itu telah dibuat secara umum tanpa merujuk mana-mana media atau agensi berita.
"Saya menekankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokratik dan bukan negara komunis. Saya membuat rujukan kepada konsep kebebasan bersuara dan tidak kaitkanya dengan mana-mana agensi berita secara spesifik," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Malaysiakini hari ini memetik anggota Parlimen Pengerang itu sebagai berkata:
"Kita demokratik. Kita bukan negara komunis, nak kritik pemimpin pun tak boleh. Di Instagram, sosial media semua menteri kena 'belasah'.
"Itu demokrasi. Tapi saya berpegang pada seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Susah nak kata orang itu salah. Kita ada sistem undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan membuat sekatan terhadap WSJ berhubung pelbagai laporan terhadap Najib.
Rakaman audio mengenai soalan dan jawapan berhubung perkara itu turut disertakan dan boleh didengar di bawah berita ini.
Selain itu, Azalina dalam kenyataannya juga berkata, Malaysia telah menunjukkan tahap toleransi dan penerimaan yang tinggi mengenai kritikan daripada semua pihak terutamanya di media sosial.
"Ini menunjukkan kesediaan kerajaan dalam menerima sebarang kritikan selagi ia membina.
"Oleh itu, komen saya adalah mengenai konsep kebebasan bersuara dan bukan tentang menyekat atau tidak menyekat agensi berita tertentu," ujarnya lagi.
Setakat ini, beberapa portal berita termasuk Sarawak Report, Asia Sentinel,Malaysia Chronicles dan The Malaysian Insider telah disekat oleh kerajaan berhubung laporan yang kritikal terhadap Najib.
Mountdweller pun kena sekat gak. Opps yg dok komen ni cam mana pulak??? Sekat tak pandai kah kah kah.....
ReplyDelete