Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, April 1, 2016

Inilah maksud Hadi tidak mahu 'menangguk di air keruh'

Pas Terengganu mahu pilihan raya semula
 | MALAYSIA DATELINE
Satiful Bahri MamatSatiful Bahri MamatPas Terengganu mahu mengingatkan Umno agar tidak mengheret rakyat ke dalam krisis dalaman parti itu dan Barisan Nasional (BN) perlu menyerahkan keputusan kepada rakyat melalui pilihan raya dan mengambil kira pandangan Tuanku Sultan.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tidak wajar Pas dilibatkan dalam krisis politik yang berpunca daripada masalah dalaman Umno melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Datuk Seri Ahmad Said.
"Pas tidak bersetuju dengan apa-apa tindakan yang menyalahi peraturan dan perlembagaan seperti tindakan merampas kuasa oleh BN di Perak.
“Sekiranya isu yang melanda politik negeri ini tidak dapat diselesaikan, maka mandat perlulah diserah semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru melalui pilihan raya.
"BN perlu menyerahkan keputusan kepada rakyat melalui pilihan raya dan mengambil kira pandangan Tuanku Sultan.
“Walau apa pun yang mungkin berlaku, negeri Terengganu adalah negeri Raja Berperlembagaan, Sultan adalah payung negeri. Justeru pandangan tuanku sultan adalah amat dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Adun Paka ini menjelaskan, Pas tidak wajar dibabitkan dan Pas tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno Terengganu kerana ia tidak ada kena mengena dengan Pas.
“Pas memberi peringatan kepada Umno dan kerajaan BN Terengganu, agar sebarang perbalahan dalaman dan krisis yang berlaku ini, jangan sampai menyusahkan dan mengheret rakyat ke kancah politik yang keterlaluan, sehingga mengabaikan kebajikan, kehidupan dan masa depan rakyat,” katanya.
Satiful beberapa hari lalu mengarahkan jentera pilihan raya parti agar bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri.
Beliau ketika menyampaikan ucapan penutup Taklimat Khas Pas Pusat Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) Pas Kuala Nerus mengarahkan kawasan-kawasan, Dun dan Unit Peti Undi (UPU) parti itu agar bersiap sedia memandangkan kebarangkalian pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu boleh berlaku dalam masa terdekat.
Ia ekoran usul undi tidak percaya yang dikemukakan Ahmad Said terhadap Ahmad Razif pada sesi Sidang Dun 8 Mac lalu.
Usul itu bagaimanapun ditolak Speaker Dun Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa