Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, April 4, 2016

Kelicikan Mahathir : Pembangkang perlu waspada!

March 1, 2016
Mahathir: Tembak dua burung dengan satu batu

Oleh Ronasina
Mahathir adalah Gary Kasparov dalam permainan catur politik. Malah Mahathir itu sendiri adalah politik. Bercakap, berjalan, ketawa waima menangis seorang manusia bernama Mahathir pun adalah sebuah helah politik. Mahathir sarat dengan taktik dan strategi demi untuk mengukuhkan kedudukan sendiri.

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah diserang Mahathir selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehingga Mahathir disingkirkan dari Umno dan buku The Malay Dilemma karangannya diharamkan. Mahathir naik platform pembangkang untuk meneruskan misi melanyak Tunku dan mendekati pentas mahasiswa ketika zaman Anwar masih pelajar.

Perdana Menteri Hussein Onn juga disakat Mahathir sehingga Hussein Onn merajuk dan bersara. Perdana Menteri Abdullah Badawi yang menggantikan dirinya pun disergah dengan istilah ‘budak tingkat empat’ dan ‘Patrick Badawi’. Mahathir juga keluar Umno waktu itu dan jelajah seluruh negara membantai Abdullah.

Janganlah lupa dengan nasib tiga Timbalan ketika dia menjadi Perdana Menteri. Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim habis dia sikat. Cuma dia terpaksa bertempur sengit apabila Anwar melawan sehingga dia terpaksa turun demi menyelamatkan Barisan Nasional. Lihat! Dia menyusun strategi sehingga terpaksa turun takhta demi menyelamatkan dirinya, Barisan Nasional serta Umno.

Itu belum lagi dia kuburkan kemaraan Tengku Razaleigh yang bertanding lawan kerusi Presiden Umno. Tengku Razaleigh dicantas terus menjadi gurkha sehingga hari ini. Inilah Mahathir.

Lalu apabila Mahathir menyerang Perdana Menteri Najib apakah benar ia untuk menyelamatkan negara yang semakin teruk, hutang meningkat, ekonomi merudum, krisis keyakinan semakin parah?

Mungkin betul. Sebab itulah pimpinan parti pembangkang memberi sokongan kepadanya kerana kelihatan dia menggalas agenda yang sama. Ya! Pembangkang yang lemah dan berterabur itu gagal mengambil kesempatan di atas keparahan Umno. Mereka memerlukan wira baru setelah wira tempat mereka menumpang teduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh. Mahathir adalah faktor penting masakini.

Bagaimana jika Mahathir keluar Umno bukan sebab itu? Bukankah Mahathir membuat kenyataan dia keluar Umno untuk menyelamatkan Umno. Gerak Mahathir adalah untuk mengejutkan ahli Umno supaya bangkit menyingkirkan Najib kerana jika Najib terus menerajui Umno kemungkinan besar nasib Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum akan datang akan ke kubur.

Mahathir memulakan langkah untuk melihat apakah akan ada ombak besar di dalam Umno. Apakah ahli Umno yang rukun resminya patuh kepada pemimpin akan punya keberanian untuk bangun membuang presidennya? Apatah lagi apabila Najib membalas sedikit serangan Mahathir dengan membuang Mukhriz bin Mahathir dari kerusi Menteri Besar Kedah. Beranikah lagi mereka? Sebaliknya apakah Mahathir yang perangainya sentiasa mahu menang itu akan berhenti? Nanti!

Mahathir juga seperti juruterbang kamikaze. Cubaan berani mati. Mahathir keluar Umno bukan sahaja menggoncangkan Umno tetapi silap-silap pembangkang juga boleh bergoncang.

Satu teori, mungkin pakatan pembangkang akan menjadi lebih kuat dengan kehadiran wira baru yang berani menyerang Najib. Dalam politik, ‘Musuh kepada musuh kita adalah kawan kita’. Mahathir membawa gagasan yang sama menyerang pemerintah. Dan pembangkang akan menyertainya.

Mungkin juga di sebalik strategi Mahathir keluar Umno untuk menyelamatkan Umno seperti yang dikatakannya itu adalah dengan memecahbelahkan lagi pemuafakatan pembangkang. Akan berlaku pertembungan prinsip dan nilai dalam kem pembangkang. Yang melihat Mahathir papan lonjak meraih sokongan akan mengambil sikap mesra-Mahathir sementara yang setia dan romantis dengan Anwar tetap akan menganggap Mahathir adalah bapa segala punca kebobrokan ini. Akan lembik tengkukkah pula penyokong Anwar apabila Mahathir mula menyebut-nyebut nama Anwar semula?

Pertembungan ini akan berlaku. Antara prinsip dan peluang. Slogan “Tangkap Mahathir!” dan gelaran ‘Mahafiraun’ dahulu lenyap begitu sahaja hanya kerana Mahathir tidak lagi dalam parti pemerintah. Mungkin itulah reformasi yang dimaksudkan selama ini. Segala dosa musuh seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme yang dijaja bertahun-tahun menjadi suci bersih begitu sahaja sekelip mata apabila mereka memilih haluan yang sama.

Apakah yang diperjuangkan? Survival politik peribadi atau kepentingan ramai? Oh! Sudah tentulah kita akan dengar jenama ‘Politik Baru’, ‘Politik Masa Depan’, ‘Reformasi Dua Perpuluhan Dua’ dicanangkan supaya penagih politik melangut terangguk-angguk percaya.

Jadi, mari berfikir semula. Apakah strategi Mahathir keluar Umno untuk menyelamatkan Umno (baca: legasinya) dengan melemahkan Najib atau melemahkan prinsip pembangkang?

@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa