Wednesday, April 13, 2016

Ramalan PRU14 Johor: 14 DUN, 11 Parlimen Umno bakal tumbang?

14 DUN, 11 Parlimen Umno bakal tumbang di Johor jika...
mk  -  12 Apr 2016, 6:16 petang
Pakatan Harapan mampu menawan 14 kawasan Dewangan Undangan Negeri (DUN) dan merampas 11 kawasan Parlimen milik Umno di Johor pada pilihanraya umum akan datang, kata DAP.

Pengerusi DAP Johor yang juga Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang baru pulih sepenuhnya dari Bell's Palsy yang dihidapinya sejak bulan Januari yang lalu berkata, untuk mencapai sasaran itu, hanya lima hingga sepuluh peratus sahaja anjakan undi diperlukan.

"Jika 5 peratus undi Umno beralih ke Pakatan Harapan, kita mampu menguasai 7 DUN dan 7 kawasan Parlimen manakala jika anjakan itu bertambah 5 peratus lagi ke 10 peratus, kita mampu merampas 7 lagi DUN dan 4 lagi Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johor yang dikatakan kubu kuat Umno selama ini, baru-baru ini, dipalitkan dengan warna gelap politik tanahair apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri secara drastik.

Keadaan ini dikatakan menyebabkan Umno Johor berpecah belah dan ianya turut disusuli oleh khabar angin yang menyebut akan berlakunya pertukaran Menteri Besar Johor tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, jika berlakunya lima peratus anjakan undi dari Umno kepada Pakatan Harapan, pembangkang mampu menawan DUN berikut iaitu Gambir, Paloh, Mahkota, Nusajaya, Bukit Naning, Pemanis dan Sungai Balang manakala Parlimen pula ialah Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Segamat, Ledang, Pulai dan Muar.

Jika anjakan itu naik lagi sehingga 10 peratus, maka Pakatan Harapan mampu menumbangkan Barisan Nasional di kerusi DUN seperti Senggarang, Semerah, Serom, Tenang, Kempas, Kemelah dan Pulai Sebatang.

Pada masa yang sama, jika momentum seperti itu berlaku, kerusi-kerusi Parlimen BN yang akan tumbang adalah Sekijang, Tanjong Piai, Johor Bahru dan Sri Gading, ujar beliau.

Berdasarkan ramalan tersebut, Pakatan Harapan terutama DAP Johor akan mengembeling tenaga untuk mencapai sasaran tersebut dengan bermodalkan beberapa faktor antaranya isu pemecatan
Muhyiddin.

"Untuk perhatian, 11 kerusi Parlimen tidak termasuk Pagoh dikelaskan sebagai 'bawah jajahan' pengaruh Muhyiddin," jelasnya.

"Justeru, DAP Johor bersama Pakatan Harapan akan bekerja keras untuk memastikan peningkatan sokongan rakyat dan menjadikan Johor sebagai negeri di barisan paling hadapan menerajui perubahan di peringkat negeri dan pusat," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa