Monday, May 16, 2016

Surat terbuka kepada Presiden PAS: Untuk apa sebenarnya PAS berpolitik?

SURAT TERBUKA KEPADA HAJI HADI 
----------------------------------------------------
.
Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)/ Ahli Parlimen Marang/ Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang

Tuan,

UNTUK APA SEBENARNYA PAS BERPOLITIK
.
Selepas PRU 13 yang lepas, DUN Terengganu diwakjili oleh 17 adun BN (UMNO) dan 15 adun PR (PAS 14 PKR 1). Dari 17 kerusi UMNO itu, 3 daripadanya telah dihadiahkan oleh tuan kepada BN sejak hari penamaan calon lagi.

Dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, telah diputuskan dan dipersetujui bahawa DUN Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera akan ditandingi oleh calon PKR, disamping beberapa kawasan lain termasuk DUN Bandar.

Tuan adalah presiden PAS. Tuan orang alim. Mustahil tuan tidak tahu kewajipan untuk patuh kepada keputusan mesyuarat, yang telah dipersetujui, bahkan mesyuarat itu dihadiri oleh tuan sendiri atau wakil yang direstui oleh tuan sendiri dari kalangan pemimpin kanan PAS. Mana mungkin tuan tidak tahu peraturan dan undang-undang berorganisasi, dan mana mungkin tuan tidak tahu hukum bagi orang yang berbuat khianat, mungkir janji dan bercakap bohong.

Agama Islam yang suci ini nescaya tidak membenarkan pembelotan dan mengkhianati amanah seperti itu, atas apa alasan sekali pun.

Pada hari penamaan calon, tuan sebagai presiden dan Mustafa Ali sebagai setiausaha agong PAS, telah tandatangan watikah yang mengizinkan beberapa orang calon PAS bertanding di kawasan-kawasan yang telah dipersetujui akan ditandingi oleh calon PKR dalam mesyuarat Pakatan, termasuk di 3 kawasan dalam negeri Terengganu yang disebutkan tadi.

Di antara Dun lain yang PAS tindan calon PKR dan terpaksa berlawan sesama sendiri termasuk Dun Kota Damansara di Selangor dan Dun Sungai Acheh di Pulau Pinang.

Tuan telah mungkir janji. Tuan telah langgar keputusan mesyuarat. Tuan telah khianat. Tuan sendiri tahu akibat dari meletakkan calon PAS di kawasan yang ditandingi oleh PKR, sudah tentu UMNO akan menang. Tuan tahu itu. Untuk menghalalkan pengkhianatan yang tuan lakukan, maka tuan terpaksa pula berbohong dan membuat fitnah kononnya PAS terpaksa letak calon kerana tuan mendapat maklumat kononnya calon PKR adalah pengedar dadah (pil kuda) dan ada yang berfahaman komunis. Akhirnya tuan tandatangan watikah pencalonan itu, yang sama seperti memberi tiket kemenangan kepada UMNO.

Kenapa tuan buat itu? Sebenarnya apa tujuan tuan berbuat begitu? Untuk apa? Tidak ada orang yang boleh fikir, apa sebenarnya yang tuan mahukan? Kenapa tuan tergamak mengkhianati pemimpin PKR dan DAP bahkan sebahagian pemimpin PAS sendiri? Dan tuan telah khianat kepada seluruh penyokong Pakatan Rakyat, semata-mata untuk memuaskan hati segelintir pembodek dan pengampu yang berada di sekeliling tuan, termasuk menantu tuan sendiri!!

Di Terengganu, tuan bagi percuma kepada UMNO 3 kerusi, dan akhirnya UMNO berjaya mempertahankan pemerintahannya dengan kelebihan 2 kerusi sahaja. Kebetulan jenis apakah ini, wahai tuan guru dato’ seri presiden?

Dalam keadaan UMNO masih terhoyong-hayang untuk menegakkan pemerintahannya, dengan takdir Allah, seorang wakil rakyat UMNO meninggal dunia. Maka diadakan pilihanraya kecil di Dun Kuala Besut.

PRK Kuala Besut sangat besar akibatnya, kepada PAS dan UMNO. Itu bukan sekadar cerita orang Kuala Besut akan pilih wakil rakyat baru, itu bukan cerita sah atau tidak solat berimamkan orang UMNO, tapi pilihanraya kecil itu menentukan parti yang akan perintah negeri.

Kalau PAS menang di Kuala Besut, kedudukan akan jadi 16-16.... Kuala Besut bukan kawasan kebal BN. PAS pernah menang di situ dalam PRU 1999 dulu. Orang Kuala Besut bukannya totok UMNO sangat. Kes mata lebam Anwar pun mereka boleh beri kemenangan kepada PAS tahun 1999. Ketika demam pilihanraya umum belum pulih lagi, sepatutnya PAS mampu untuk memenangi prk Kuala Besut itu.

Tetapi apa yang berlaku, sepanjang dua minggu tempoh kempen itu, tidak ternampak sedikit pun tanda-tanda yang PAS bersungguh-sungguh nak rampas kerusi Dun Ku
ala Besut, apatah lagi nak fikir untuk mengambil-alih pemerintahan negeri.

Hasilnya, UMNO menang dengan majoriti yang bertambah dari pilihanraya umum lalu. Nampak tuan dan beberapa orang ustaz PAS yang semazhab dengan tuan seperti berpuas-hati dengan kekalahan itu.

Maka memerintahlah akan negeri Terengganu oleh Barisan Nasonal dengan kelebihan 2 kerusi sahaja. Nampak di atas kertas, kedudukan kerajaan BN amat genting dan dalam bahaya. Rupa-rupanya apa yang berlaku dalam dewan tidak sama dengan apa yang tertulis di kertas. Kedudukannya 17:15, tetapi dalam dewan, kedudukannya 17 adun UMNO, 13 adun bebas pro umno, 1 orang adun PAS (Syed Azman) dan 1 orang adun PKR (Azan Ismail). Seolah-olahnya begitu. Seolah-olahnya BN mempunyai 30 orang adun, hanya 2 orang pembangkang sahaja. Salah seorang dari 13 PAS yang tidak menjadi pembangkang itu ialah tuan sendiri.
     
Ketika kedudukan 17:15, berlaku krisis menteri besar Terengganu. Ahmad Said diminta letak jawatan, oleh presiden UMNO. Pelantikan dan pemecatan seorang menteri besar ditentukan oleh presiden parti, tidak pasti samada tuan sedia maklum atau tidak tentang hal ini. Kalau dilihat pada respon dan reaksi tuan dalam kes menteri besar Selangor, saya sangat ragu adakah tuan faham akan perkara ini. Nampak pada caranya, macam tuan tak faham.

Bila Mat Said letak jawatan, PAS buat-buat tak tahu. Tuan pula memang macam biasa lah, buat-buat tak gaduh, seolah-olah perkara itu tidak penting. Mungkin tuan dan orang-orang PAS beranggapan bahawa itu masalah dalaman UMNO. Tidak perlu masuk campur kerana ia tiada kaitan dengan PAS. Jadi, bagi PAS pada waktu itu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Padahal, peristiwa Ahmad Said dipecat itu sangat besar maknanya kepada politik Terengganu. Ada orang duk cerita atas wakaf, dia kata Mad Said ajak PAS berpakat untuk jatuhkan kerajaan BN di Terengganu, tapi pihak PAS menolaknya.

Akhirnya, Ahmad Said, adun Bukit Besi dan adun Paka mengumumkan keluar dari UMNO!!! UMNO memerintah dengan kelebihan 2 kerusi, tapi sekarang 3 orang bukan wakil rakyat UMNO lagi. Maka kedudukan sekarang telah menjadi PR 15  BN 14  Bebas 3.

Mana-mana parti pun dalam dunia ini, apabila berlaku keadaan begitu, ketua parti akan segera menghadap sultan untuk memaklumkan bahawa Barisan Nasional telah hilang majoriti dalam dewan undangan negeri, dan memohon perkenan sultan bagi PAS membentuk kerajaan dan mengakat sumpah sebagai menteri besar.

Saya tidak pasti siapa yang patut pergi menghadap sultan, samada tuan sebagai presiden PAS, atau Satiful Bahri sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu. Yang pastinya, dua-dua tak pergi. Saya percaya tuan sendiri tidak pernah fikir sekiranya PAS memerintah Terengganu, siapa yang akan jadi menteri besar. Perkara itu tidak ada dalam kepala tuan. Kerana tuan tidak pernah bercita-cita mahu jadi pemerintah. Tuan berpolitik hanya untuk menjadi pembangkang sahaja.

Maka kekallah UMNO memerintah Terengganu dengan hanya perlu berhadapan dengan 2 orang pembangkang dalam Dun, iaitu Batu Burok dan Bandar sahaja. Mad Said dan 2 adun lain yang keluar UMNO, pun dah masuk UMNO balik.

Ketika air mata Ahmad Said masih belum kering, tiba-tiba berlaku krisis menteri besar Selangor. Di sinilah nampak jelas akan sikap tuan yang sebenar. Krisis MB Selangor telah menyingkap segala pekung, panau dan kurap yang bertempek di badan tuan, yang selama ini diselimuti jubah dan diselubung dengan serban.

Tuan orang Terengganu. Tuan ialah Ahli Parlimen Marang. Tuan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. Tuan ialah Presiden PAS. Bila berlaku krisis yang melibatkan politik negeri Terengganu, tuan hanya menjadi batu yang keras dan kaku, macam tak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi bila berlaku krisis yang melibatkan politik negeri Selangor, negeri yang diperintah oleh PKR, tiba-tiba presiden PAS meloncat-loncat macam ulat beluncas mahukan supaya Khalid Ibrahim dikekalkan. Padahal, Khalid Ibrahim ialah adun PKR.

Pasal apa yang jadi sampai macam tu, tuan? Ada ‘permainan’ apa yang tuan nak sorokkan, sebenarnya? Permainan apa pula yang tuan nak tunjukkan?

 - akramin_84

# rasanya tak perlu ditanya sebab mungkin beliau ada punyai maunah dan mungkin juga kasyaf

3 comments:

  1. Berdasarkan fakta cerita, aku nampak satu sj konklusinya. Tuang President dan kuncu2 dia tak mau umno kalah. Dia tetap pertahankan umno/BN dlm keadaan apa sekalipun. Pelik tp benar

    ReplyDelete
  2. Mereka tak betiman kpd pilihanraya..bebal punya statement...

    ReplyDelete
  3. Faktanya banyak retetan sirah tindakan presedeng yang bercelaru. Bermula Pru 12 kes Perak, Pru 13 kes calon, kes Mb Selangor, kes Muktamar, kes mesra Umno, kes hancurnya PR, kes usul Hudud,...kamu sebenarnya bagaimana? Gumbira...menjadi penyelamat kapal Umno?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa