Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, November 13, 2016

Imej satelit kejahatan tentera Suu Kyi: Perkampungan Rohingya dibakar dan cerita derita pelarian perempuan dirogol

AHAD, 13 NOVEMBER 2016 @ 2:07 PM
Imej satelit tunjuk perkampungan Rohingya dibakar 

IMEJ satelit yang menyiarkan bangunan di perkampungan etnik Rohingya di barat Myanmar dibakar. - Foto https://www.hrw.org 

YANGON: Ratusan bangunan di perkampungan etnik Rohingya di barat Myanmar dibakar, menurut imej baru satelit yang disiarkan hari ini ketika pertempuran baharu meletus di wilayah bergolak itu.

Rakhine Utara yang menjadi kawasan penempatan minoriti Islam Rohingya dan bersempadan Bangladesh, dikepung tentera sejak serangan mengejut bulan lalu di pos sempadan yang menyebabkan sembilan anggota polis terbunuh. 

Tentera membunuh berpuluh-puluh penduduk dan menahan ramai orang dalam usaha memburu penyerang yang dikatakan kerajaan adalah militan Rohingya yang ada kaitan dengan militan luar negara. 

Pertempuran baharu meletus semalam dengan dua anggota tentera dan enam penyerang terbunuh, menurut tentera yang berkata mereka mendapatkan bantuan helikopter tempur untuk menangkis serang hendap. 

Krisis dan laporan pencabulan hak yang dilakukan selari dengan tindakan keras tentera, menambah tekanan antarabangsa ke atas kerajaan awam baharu Myanmar dan membangkitkan persoalan mengenai kemampuannya mengawal tentera. 

Pihak berkuasa mengehadkan akses ke kawasan itu, menjadikan sukar untuk mengesahkan laporan kerajaan atau tuduhan salah laku tentera. 

Imej baru satelit disiarkan Human Rights Watch menunjukkan apa yang dikatakan kumpulan itu sebagai bukti kes kebakaran khianat terhadap perkampungan Rohingya. 

Analisis mereka menunjukkan lebih 400 bangunan dibakar di tiga perkampungan Rohingya yang menjadi lokasi pertempuran. 

Kumpulan itu berkata, api dan sisa kebakaran menunjukkan kebanyakannya dilakukan dengan sengaja. Imej terbaharu dirakam pada 10 November lalu. 

Pengarah Asia kumpulan itu, Brad Adams, berkata gambar baharu menunjukkan pemusnahan besar-besaran yang lebih teruk daripada apa yang difikirkan.

"Pihak berkuasa Myanmar perlu segera menubuhkan siasatan dibantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai langkah pertama ke arah memastikan keadilan dan keselamatan kepada mangsa," katanya dalam kenyataan. - AFP

ISNIN, 1 JUN 2015 @ 6:43 PM
Wanita Rohingya dirogol setiap hari di kem transit - Saksi  

MANGSA kem transit sindiket pemerdagangan manusia, Nur Khaidha Abdul Shukur, menceritakan nasib wanita-wanita Rohingya yang diperlakukan persis hamba seks oleh pengawal kem transit itu di Padang Besar, Thailand. - Foto BERNAMA 

ALOR SETAR: Wanita-wanita Rohingya yang ditahan di kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand diperlakukan persis hamba seks. 

Mereka menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh pengawal kem berkenaan. 

Pendedahan itu dibuat oleh seorang wanita Rohingya, Nur Khaidha Abdul Shukur, 24, yang ditahan selama lapan hari bersama anaknya yang baru berusia beberapa bulan di kem transit itu.

"Setiap malam, dua atau tiga wanita muda Rohingya yang agak cantik, akan dibawa keluar dari kandang tahanan dan dibawa ke tempat tersembunyi oleh pengawal-pengawal kem itu."

"Wanita itu dirogol beramai-ramai oleh mereka (pengawal kem), malah di dalam kem itu, ada dua wanita muda yang telah mengandung dipercayai akibat perbuatan pengawal itu," katanya kepada wartawan BERNAMA menerusi penterjemah di sini hari ini. 

Menurut Nur Khaidha, ada juga di antara wanita-wanita itu yang "dibawa" oleh pengawal-pengawal kem berkenaan selama beberapa hari untuk menjadi mangsa kebuasan seks mereka. 

"Mereka (wanita) akan 'hilang' selama dua hingga tiga hari selepas dibawa oleh pengawal itu. Selepas mereka dikembalikan ke kandang, saya tidak bertanya tetapi saya tahu apa yang telah terjadi kepada mereka."

"Dari raut wajah mereka, kita tahu," katanya dan menambah, wanita-wanita yang ditahan dalam kandang itu tidak dibenarkan bercakap di antara satu sama lain, atau akan dipukul. 

Kedua-dua wanita Rohingya yang mengandung dipercayai akibat dirogol pengawal itu, kata Nur Khaidha, telah ditahan di kem transit itu lebih daripada enam bulan. 

Katanya, di dalam kem transit itu di mana beliau ditahan pada tahun lepas, terdapat 15 wanita Rohingya mangsa sindiket itu, dengan lima daripada mereka mempunyai anak-anak kecil. 

Kelima-lima yang mempunyai anak itu turut ditahan di dalam kandang bersama-sama anak mereka, tetapi tidak diapa-apakan oleh pengawal terbabit.

"Mungkin kerana kami mempunyai anak-anak kecil, maka pengawal-pengawal tidak bertindak merogol kami. Tetapi walau apapun, saya berdoa setiap hari agar tidak menjadi mangsa rogol mereka," katanya. 

Nur Khaidha yang berasal daripada Maungdaw, Myanmar memberanikan diri menyeberangi Laut Andaman menaiki bot ke Malaysia bersama-sama anak kecilnya untuk menjejaki suaminya. 

Beberapa bulan sebelum itu, suaminya, Nurul Amin Nobi Hussein, 25, telah menaiki bot dari Maungdaw ke Ranong, Thailand, dalam usahanya untuk menjejakkan kaki di Malaysia. 

Tanpa diketahui oleh isterinya, beliau turut ditahan oleh sindiket pemerdagangan manusia di kem transit mereka di Bukit Wang Burma, Wang Kelian. 

Berbanding Nur Khaidha yang ditahan selama lapan hari di kem transit di Padang Besar, suaminya pula telah ditahan di kem di utara tanah air itu selama 22 hari, sebelum nekad melarikan diri. 

Nurul Amin yang kini bekerja di sebuah bengkel di Alor Setar berkata, keinginan mencari kehidupan yang lebih baik membuat beliau, isteri serta anak lelaki mereka bertaruh nyawa menaiki "bot-bot maut" ke Malaysia. 

Sama seperti yang didedahkan oleh isterinya, Nurul Amin turut menceritakan kisah wanita Rohingya itu dirogol. 

"Pada waktu malam, beberapa pengawal akan datang ke kandang-kandang yang menempatkan wanita itu dan menarik keluar mereka ke suatu tempat berdekatan."

"Kami mendengar teriakan dan tangisan wanita-wanita itu kerana tempat di mana mereka dirogol amat hampir dengan kandang kami...cuma kami tidak dapat melihat," katanya. 

Kini hampir setahun berlalu, Nurul Amin dan isterinya, bersyukur kerana telah bebas dari azab dan sengsara di kem-kem pemerdagangan manusia. Mereka tekad memulakan hidup baru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa