Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 15, 2016

Jangkaan 'pertempuran' Orang Asli dan Pihak Berkuasa 20 Nov ini dapat dielakkan

Orang Asli Pos Balah jangka berlaku 'pertempuran' 20 Nov ini
Shakira Buang   Hari ini, 12:55 tengahari
Penduduk Orang Asli di Pos Balah, Gua Musang, Kelantan tidak menolak kemungkinan berlaku pertempuran dengan pihak berkuasa pada 20 November ini.

Jurucakapnya, Kamal Alek berkata, perbalahan dijangka berikutan notis Jabatan Perhutanan Kelantan yang menuntut orang Asli mengosongkan tapak sekatan bagi memberhentikan aktiviti pembalakan di kompartmen 245 Hutan Simpan Balah itu.

Bercakap pada sidang media anjuran Jaringan Orang Asal SeMalaysia (Joas) hari ini, Kamal, 32 yang juga adalah penduduk di Pos Balah berkata, beliau menjangkakan seramai 200 rakan dan ahli keluarganya sanggup bergadai nyawa bagi memastikan hutan mereka tidak dicerobohi.
Katanya, kemusnahan hutan di kawasan kampung di Pos Balah sejak kebelakangan ini semakin serius mengancam keselamatan penduduk hingga memaksa mereka bertindak sedemikian.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menghentikan kegiatan pembalakan di kawasan mereka termasuk rundingan dengan pihak berkaitan dan menghantar surat, namun tidak dilayan.

"Kemungkinan akan ada pertembungan namun kita tetap akan teruskan sekatan itu dan jika ia dirobohkan kami akan bina semula," katanya.

Pada awal Oktober lalu penduduk Orang Asli nekad mengadakan sekatan di Hutan Simpan Balah, selagi aktiviti pembalakan di kawasan mereka tidak dihentikan.

Malah, penduduk Orang Asli juga dilaporkan sanggup bersengkang mata untuk memastikan kawasan mereka tidak lagi diceroboh.

Sementara itu, Joas pada sidang media itu menyatakan rasa kesal dengan tindakan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Kelantan yang mengarahkan penduduk mengosongkan tapak sekatan.

Timbalan Presiden Joas, Zurdi Baharu, 34, berkata sehingga hari ini kerajaan negeri tidak memberikan jawapan kukuh bagi menjamin kemelut yang melanda Orang Asli ini akan reda sejak 28 Sepetember lalu.

"Kami amat kesal dengan sikap kerajaan negeri kerana sejak kemelut ini mereka tidak pernah berjumpa dengan kami bagi selesaikan isu yang amat serius ini.

"Malah, Timbalan Menteri Besar (Datuk Nik Mohd amar Nik Abdullah) berkata Orang Asli dihasut pihak luar. Kami anggap itu satu komen yang tidak jujur dan cuba untuk lepas tangan," kata Zurdi.
Sehubungan itu, Zurdi menggesa kerajaan negeri mengadakan pertemuan dan rundingan dengan Joas dalam sebarang langkah yang hendak diambil kepimpinan Kelantan sekali gus menyelesaikan kemelut yang melanda.

Tambah Zurdi tindakan melakukan sekatan adalah usaha terakhir pihaknya kerana sebelum ini mereka telah banyak kali membuat bantahan, menghantar memorandum dan juga berjumpa dengan pihak kerajaan negeri.


Namun, hasilnya tidak memuaskan di mana kerja pembalakan semakin berleluasa hingga menjejaskan sumber air sekali gus ekosistem alam musnah.

Tambah Zurdi, kerajaan yang mengamalkan kepimpinan Islam tidak seharusnya membiarkan apa yang berlaku di Hutan Simpan Pos Balah sekarang.

"Pemimpin dilihat lepas tangan dalam isu ini, pemimpin yang amalkan kepimpinan Islam tak sepatutnya biar ia berlaku," tambah Zurdi dengan nada kesal.

1 comment:

  1. Tolong jangae kaitkae Islae dga PAS tak doak kaitae, kalu adoa pun demo tu oghe Isle jah...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa