Bot tempur CB204, 7 anak kapal ditemui selamat
TMI - Published: 6 October 2014
Bot tempur CB204 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang hilang pagi semalam, sudah ditemui dengan semua tujuh anak kapalnya dilaporkan selamat.
Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (gambar) memaklumkan perkara itu dalam laman Twitter beliau pada 6.10 petang ini.
Beliau berkata komander bot itu Lt Azri Bakar membuat panggilan melalui radio untuk memaklumkan semua anak kapal CB204 berada dalam keadaan selamat.
"Bot CB204: Lt Azri, Komander Bot, memaklumkan KD Ganas melalui Ch16, Bot dan semua warga selamat tetapi kelaparan. Alhamdulillah," kata Aziz dalam laman Twitter.
Dalam kenyataannya malam tadi, Aziz berkata bot tempur itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi semalam sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi, ketika dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah. – Bernama, 6 Oktober, 2014.
Bot tempur CB204 TLDM dibawa ke stesen gugusan semarang peninjau
Bot tempur CB204 TLDM dibawa ke stesen gugusan semarang peninjau
Bot tempur CB204, yang ditemui kira-kira 30 batu nautika ke timur Pulau Layang-Layang, akan dibawa ke stesen peninjau terdekat di Gususan Semarang Peninjau, Pulau Layang-Layang.
Sumber Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar berkata bot tempur itu dikesan selepas komunikasi sehala antara pasukan mencari dengan anak kapal bot berkenaan pada 4.15 petang tadi.
Beliau berkata kesemua tujuh anak kapal bot itu disahkan selamat selepas komunikasi dua hala pada 4.45 petang.
Menurutnya bot berkenaan didapati mengalami masalah pada enjin dan stering.
"Walaupun bot berkenaan sudah kita kesan tetapi kita belum ada hubungan fizikal dengan bot itu. KD Ganas kini dalam perjalanan ke lokasi bot CB204," kata sumber itu hari ini.
Tujuh anak kapal bot itu ialah Lt Azri Bakar, BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.
Bot tempur itu, yang diketuai Azri, terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah pada pagi semalam.
Terdahulu, Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar memberitahu sidang akhbar di sini, bot tempur berkenaan belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi semalam untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan KD Paus pada 11.15 pagi.
Berikutan kejadian itu, katanya TLDM menghantar KD Lekiu, KD Ganas, KD Serang dan dua aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Berani dan KM Mabul untuk operasi mencari dan menyelamat bot tempur berusia 14 tahun itu berdasarkan empat sektor yang ditetapkan.
Menurutnya semasa bot tempur itu memulakan perjalanan, selepas mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP), cuaca dalam keadaan baik. – Bernama, 6 Oktober, 2014.
Alhamdullillah
ReplyDelete