Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, March 23, 2016

Bertambah menarik: Penjual banglo tandatangani SD

Penjual banglo tandatangani SD, sedia ke mahkamah
Susan Loone     Hari ini, 4:03 petang
Phang Li Koon yang menjual banglo miliknya di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi amaran bahawa adalah haknya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengaitkannya dengan kontroversi itu.

Phang dalam akuan bersumpah (SD) juga mengisytiharkan bahawa beliau bukan pengarah ataupun pemegang saham syarikat KLDIC yang memenangi bidaan bagi tanah di Taman Manggis yang dilakukan melalui sebuah jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri.

Katanya, beliau juga tidak terbabit dalam pengurusan syarikat berkenaan.

"Saya tidak faham mengapa persetujuan saya menjual rumah kepada KM diperbesarkan hingga menjadi isu nasional sedangkan saya tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri," kata Phang dalam SD yang dibacakan oleh exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh.

"Saya juga tidak mendapat sebarang manfaat daripada kerajaan negeri dengan menjual rumah itu kepadanya. Ini adalah keputusan saya untuk menjual kepadanya pada harga yang saya mahu.

"Saya tegaskan bahawa saya tidak tertekan atau dipaksa atau di bawah sebarang pengaruh oleh KM atau mana-mana pihak untuk menjual rumah kepadanya pada harga RM2.8 juta. Saya menjualnya secara rela. "
Phee yang juga adalah ADUN Sungai Puyu mengakui bahawa Phang mempunyai hubungan kekeluargaan denganya. Katanya, beliau juga adalah penasihat kepada persatuan Phang.

Lim dibidas pelbagai pihak berikutan pembelian sebuah banglo yang didakwa jauh di bawah harga pasaran. Ia pertama kali dibangkitkan di Parlimen pada 17 Mac lalu oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

[Baca berita penuh]

Berikut SD penuh yang dibuat oleh Phang itu.

PENGISYTIHARAN STATUTORI/SURAT AKUAN

Saya, PHANG LI KOON (No. K/P. XXXX-XX-XXXX), seorang warganegara Malaysia yang menetap di XXXX dengan sesungguhnya dan sebenarnya mengakui bahawa:

Saya mula mengenali keluarga Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang sejak 2008. Sejak itu, saya menjadi kawan karib isteri beliau, Betty Chew kerana sifatnya yang peramah dan rendah hati.

Pada 2008, saya telah membeli sebuah rumah di No. 25, Jalan Pinhorn, Pulau Pinang dengan harga RM2.5 juta dan membuat ubah suai dengan niat untuk membolehkan abang saya menetap di rumah itu. Bagaimanapun selepas saya mendapat tahu daripada isteri KM bahawa beliau sedang mencari rumah untuk disewa kerana mengalami masalah anai-anai di kediaman rasminya, saya membuat keputusan untuk menawarkan rumah saya untuk disewa kepada mereka. Perjanjian penyewaan rumah telah dipersetujui dan ditandatangani pada 1/7/2009 bagi tempoh 3 tahun dengan kadar sewa RM5,000 sebulan tetapi kemudian tempoh itu dilanjutkan untuk 3 tahun lagi sehingga 30/6/2015.

Pada masa itu saya merasa bangga dapat menyewakan rumah saya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan keluarganya dan juga dapat membantu mereka mengatasi masalah rumah.

Bagaimanapun, menyewakan rumah kepada mereka telah menyebabkan saya rasa tertekan berikutan tindakan BN dan NGO-NGO yang menuduh saya dengan cerita-cerita palsu. Pada masa itu saya membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut. Ada lagi kejadian-kejadian lain pada tahun-tahun seterusnya, daripada demonstrasi dan upacara pengebumian di depan rumah, kepada bom botol molotov cocktail yang dibaling ke dalam kawasan rumah itu yang menyebabkan keadaan rumah terdedah dan tidak selamat.

Berita-berita disiarkan tanpa henti tentang rumah tersebut dengan menyiarkan alamat dan gambarnya sekali di dalam akhbar-akhbar. Saya merasa sangat tidak selesa, kerana jika suatu hari nanti saya atau mana-mana ahli keluarga dan sanak-saudara mahu menetap di sana pada masa depan, saya tidak akan merasa selamat dan terjamin untuk tinggal di sebuah rumah yang amat terdedah serta terlalu diketahui umum.

Jadi pada awal tahun 2012, saya secara lisan telah memberitahu isteri KM, Betty Chew bahawa jika mereka bersedia dan sanggup membeli rumah tersebut, saya akan menjual kepada mereka dengan harga RM2.8 juta. Saya dimaklumkan bahawa Betty berminat tetapi KM bimbang beliau tidak mampu membelinya jika tidak dipilih semula sebagai Ketua Menteri. Jadi Betty bertanya sama ada saya masih sanggup menjual rumah itu kepada mereka dengan harga yang sama RM2.8 juta selepas pilihanraya umum ke-13.

Bagaimanapun, selepas pilihanraya umum ke-13 pada 2013, isteri KM memberitahu saya mereka memerlukan masa lagi untuk membeli rumah tersebut dan beliau meminta saya memberi pilihan kepadanya untuk membelinya pada suatu tarikh akan datang apabila mereka bersedia berbuat demikian. Pada 2014 KM dan saya telah membuat perjanjian bertarikh 23.6.2014 di mana saya bersetuju untuk memberi pilihan kepada beliau tempoh 5 tahun untuk membeli rumah tersebut pada harga RM2.8 juta sejajar dengan pembayaran KM kepada saya sebanyak RM100,000-00. Sementara menunggu pelaksanaan pilihan itu, saya akan terus membenarkan KM dan keluarganya untuk kekal menyewa rumah tersebut.

Beberapa waktu sebelum lanjutan penyewaan rumah cukup tempohnya pada 20/6/2015, saya telah membuat keputusan muktamad untuk menjual rumah tersebut. Saya adalah seorang usahawan dan saya tidak mahu hidup dalam tekanan dan melihat nama saya terpapar dalam akhbar-akhbar dan media sosial secara berterusan terutamanya apabila mereka yang tidak sensitif mahu menyerang KM atau membangkitkan isu tanah Taman Manggis yang mana saya tidak terlibat sama sekali. Saya membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut kerana ia telah menimbulkan pelbagai publisiti yang saya tak perlukan serta tuduhan-tuduhan dari semasa ke semasa.

Saya sekali lagi bertanya kepada isteri KM, Betty untuk meminta KM memutuskan pilihan untuk membeli. Saya tidak menyelidik pasaran apabila saya membuat keputusan untuk menjualnya kepada KM pada 2015 kerana saya rasa tidak perlu berbuat demikian. Saya sudah mempunyai KM sebagai pembeli dan sudah ada satu persetujuan kepada Perjanjian bertarikh 23.6.2014 berhubung harga jualan yang telah dipersetujui.

Selepas isteri KM, Betty memberitahu saya bahawa mereka telah berjaya mendapat pinjaman perumahan, kami membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian membeli rumah pada harga yang kami telah persetujui dahulu, iaitu RM2.8 juta. Daripada rekod simpanan saya, perjanjian jual beli itu ditandatangani pada 28.7.2015 dan pihak bank telah mengeluarkan jumlah penuh pinjaman pada Oktober 2015.

KM dan keluarganya menjadi penyewa yang baik sepanjang 6 tahun. Bagi saya, KM adalah seorang pemimpin yang dihormati dan saya rasa bangga dapat menjual rumah saya kepada beliau. Saya rasa Pulau Pinang telah berjaya membangun di bawah pentadbiran beliau. Lebih penting lagi saya telah menjual rumah saya kepada orang yang saya hormati. Saya tidak menyesal menjual rumah saya kepada KM dengan harga RM2.8 juta. Saya telah membebaskan diri saya daripada masalah dan tekanan yang saya tidak perlukan.

Saya tidak faham mengapa perjanjian saya untuk menjual rumah kepada KM telah dibesar-besarkan sehingga menjadi isu nasional sedangkan saya tidak membuat apa-apa urusan dengan Kerajaan Negeri. Saya juga tidak mendapat sebarang hasil daripada Kerajaan Negeri apabila saya menjual rumah kepada beliau. Ia adalah keputusan saya sendiri untuk menentukan harga menjual rumah kepada KM. Saya tegaskan bahawa saya tidak ditekan atau dipaksa atau di bawah apa-apa pengaruh daripada KM atau mana-mana pihak untuk menjual rumah saya kepada KM dengan harga RM2.8 juta. Saya menjualnya atas kerelaan saya sendiri atas dasar pembeli dan penjual yang sama-sama rela.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya bukan seorang pengarah atau pemegang saham syarikat KLIDC yang telah berjaya mendapat tanah Taman Manggis yang ditender secara terbuka. Saya juga tidak terlibat dalam pengurusan syarikat tersebut. Saya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak jika mereka cuba membuat menimbulkan sebarang kaitan dengan saya yang tidak ada kena-mengena bagi menyulitkan perkara ini dan mengheret saya ke dalam kontroversi ini.

Saya membuat surat akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut dalamnya adalah benar, serta menurut Undang-undang Surat Akuan 1960.

Diperbuat dan dengan sebenar-benarnya )

diakui oleh yang tersebut namanya di atas )

di George Town )

di Negeri Pulau Pinang ) ……………………….

pada tarikh 22 Mac 2016 ) PHANG LI KOON

Di hadapan saya,

…………………………………….

PESURUHJAYA SUMPAH

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa