Deklarasi Kelantan tidak layak wakili rakyat Kelantan
Mahfuz Omar yakin rakyat Kelantan yang menuntut royalti minyak menolak kepimpinan Najib Razak.
KUALA LUMPUR: Deklarasi Kelantan tidak layak untuk dianggap mewakili rakyat Kelantan kerana ia hanya dipersetujui beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau yakin rakyat Kelantan yang menuntut royalti minyak daripada kerajaan Pusat menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Saya tidak lihat ia mewakili seluruh rakyat Kelantan, kerana Kelantan mahukan sesuatu yang lebih baik, saya percaya mereka yang mendokong menuntut royalti tidak akan mendokong Deklarasi Kelantan,” katanya kepada FMT.
Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Mustapha Mohamed menandatangani Deklarasi Kelantan menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Mahfuz juga berkata, kenyataan beberapa pemimpin pro Najib bahawa Deklarasi Rakyat yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberi kesan, adalah bohong semata-mata.
“Bagi saya kesan daripada Deklarasi Rakyat menuntut Najib undur diri telah memaksa UMNO untuk mengadakan deklarasi di peringkat negeri.
“Ini menunjukkan bagaimana berkesannya Deklarasi Rakyat yang diterajui oleh Tun Mahathir. Walaupun mereka menyatakan deklarasi itu tidak berikan kesan apa-apa, tetapi deklarasi itulah menjadi asas kepada pemecatan Tun Mahathir sebagai penasihat Petronas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa