Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, March 26, 2016

Pendirian PAS: Dua negeri dengan dua nada berbeza

Umno Kedah dapat dana lebih RM3 juta dari mana? soal Pas
 | ARIF ATAN

Ahmad Bashah Md HanipahAhmad Bashah Md HanipahPas Kedah mempersoal peruntukan sebanyak RM3.78 juta untuk gerak kerja Umno negeri itu seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pengakuan Ahmad Bashah itu mengguris hati rakyat daif terutama golongan penoreh yang sebelum ini sangat mengharapkan bantuan kerajaan.
"Jika beliau (Ahmad Bashah) boleh mendapatkan dana untuk kepentingan politik Umno, mengapa tidak pula berbuat demikian untuk meringankan beban penoreh getah?" soalnya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, banyak persoalan timbul apabila Ahmad Bashah menyatakan tidak perlu ditanya sumber untuk mendapatkan dana.
"Dari mana sumber wang itu diperoleh? Adakah 'wang derma' dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap kedudukan Ahmad Bashah selaku Menteri Besar?" ujarnya.
Mengulas lanjut masalah terkini dihadapi rakyat negeri itu kesan iklim ekstrem El-Nino, Fakhruddin berpendapat pelan bantuan segera dan jangka panjang hendaklah dilaksanakan.
"Bagi para pelajar sekolah yang terganggu dengan kepanasan melampau, pihak kerajaan jangan fikir cara mudah hanya dengan memberi cuti sedangkan ia merugikan pelajar. Kaedah alternatif yang lebih wajar hendaklah difikir dan dilaksanakan," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mendesak Ahmad Bashah mendedahkan secara terperinci sumber wang yang dibelanjakan untuk kepentingan politik Umno itu.

Pas Selangor faham masalah Umno negeri, terpaksa guna wang tarik sokongan
 | HAZAYANI ZAKARIA
Iskandar SamadIskandar SamadPas Selangor mendakwa Umno negeri itu gagal untuk menarik sokongan rakyat sehingga terpaksa menawarkan hadiah wang bagi pendaftaran ahli dan pengundi sebanyak sepuluh kali ganda.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Umno berhadapan tugas sukar untuk menarik ahli-ahli baharu akibat masalah dalaman yang dihadapi dan kredibiliti parti itu sudah tercalar di mata rakyat.
“Kami memahami masalah yang dihadapi oleh mereka kerana kredibiliti Umno di mata rakyat telah teruk tercalar dan sudah tentu untuk menarik ahli-ahli baru adalah satu tugas yang hampir mustahil.
“Ini disebabkan pelbagai dakwaan terhadap pimpinan Umno yang sehingga hari ini belum dijawab dengan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.
Ketika mesyuarat agung tahunan ketua cawangan Umno Selangor Ahad lalu, naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa beliau dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan meningkatkan hadiah sebanyak sepuluh kali ganda kerana kagum dengan jumlah yang hadir.
Sebelum itu, pengerusi perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mengumumkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk cawangan yang mendaftar keahlian dan pengundi paling banyak.
Noh mengakui bahawa ganjaran wang itu sedikit kerana Umno Selangor tidak mempunyai "bajet cukup".
Menurut Iskandar juga, prestasi kerajaan negeri Selangor dengan pelbagai program rakyat mendapat sokongan yang padu dari rakyat menyebabkan Umno di negeri itu tidak mempunyai banyak ruang untuk berperanan.
Beliau juga berkata, Pas Selangor tidak bimbang dengan perkembangan ini kerana cawangan-cawangan Pas dapat menarik ahli-ahli baru tanpa ganjaran kewangan.
“Ahli-ahli Pas tidak meletakkan ganjaran kewangan sebagai matlamat perjuangan mereka.
“Matlamat mereka bukan hanya di dunia tetapi di akhirat. Mencari keredhaan Allah adalah matlamat utama aktivis-aktivis PAS. Agar selamat di dunia dan akhirat,” katanya lagi.
Tambah naib presiden Pas ini juga, pengumuman Zahid itu jelas menunjukkan bahawa matlamat Umno adalah hanya untuk dunia sahaja.
Menurut Zahid, pertandingan itu adalah satu bentuk motivasi untuk Umno Selangor merampas negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa