Hadi seakan bawah tempurung, mengelamun dalam dunia sendiri
Malah, cara Hadi mengendalikan isu hudud sehingga membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa ijtihadnya tidak sebagus Nik Aziz
PETALING JAYA: Kerana menyeru umat Islam menentang DAP, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat seperti orang yang amat picik pengetahuannya.
Sambil menyifatkan seruan itu memalukan dan naif, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata dikala pembangkang membentuk permuafakatan baharu bersama pemberontak UMNO melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, nada Hadi pula mirip UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia.
“Langkah terbaik bagi Najib adalah membina skrip baru – menjadikan DAP sebagai musuh nombor satu negara demi menyelamatkan bahtera UMNO yang diambang karam,” kata Sheikh, yang menambah; “mungkin bagi Hadi inilah masanya untuk pulun suara orang Melayu-Islam berjihad menentang Cina-kafir DAP!”
“Ini seolah-olah membawa makna, PAS kini telah menemui teori baru bahawa agenda paling utama untuk menyelamatkan Malaysia bukanlah lagi melawan skandal rasuah, korupsi dan pengkhianatan Najib terhadap rakyat sebaliknya melawan DAP,” kata bekas pemimpin Pemuda PAS itu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Hadi sebagai berkata umat Islam perlu bersatu menentang agenda politik DAP dan menggagalkan hasrat mereka memerintah negara.
Hadi turut dilaporkan bimbang akan situasi politik sekarang yang berpecah-belah dan menggugat kestabilan politik orang Melayu.
Namun, tindakan Hadi itu dikatakan telah mencalar imej partinya dan memperlihatkan Islam sebagai agama yang menyeru kearah prejudis. Bagi DAP, Hadi sebagai ulama gagal menyeru umat Islam agar menjadi agen kerukunan yang berteraskan kebenaran, keadilan dan tidak mengenal warna kulit.
Malah, cara Hadi mengendalikan isu hudud sehingga membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa ijtihadnya sebagai selaku pemimpin kanan parti Islam berbanding Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ibarat ‘jauh panggang dari api’.
“Beliau seakan-akan masih berada di bawah tempurung dan terus mengelamun dalam dunianya sendiri.
“Hudud bukanlah isu baru yang dibangkitkan untuk memecahkan pakatan pembangkang,” kata Sheikh, malah implikasi permainan isu hudud mudah dijangkakan namun PAS masih terjerumus; “pakatan pembangkang bergolak sebaliknya UMNO dapat terus menyambung hayatnya memerintah negara.”
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa