Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 20, 2016

Tengok Annuar Musa, teringatkan mimpi lampau.....

Sunday, March 20, 2016
Kalau badan kita gatal jangan hampiri penjual ubat

CELOTEH AHAD 
 
Ketua Penerangan Umno Annuar Musa menasihati Dr Mahathir Mohamd jangan bercakap mengenai Umno lagi selepas bekas presiden Umno itu "bercerai" dengan parti itu. Katanya Dr Mahathir patut duduk diam dan tidak mencampuri urusan Umno.

Annuar membuat saranan itu apabila melihat Dr Mahathir terus-terusan bercakap fasal Umno, terbaharu beliau memgesaan ahli parti itu agar membuat usul tidak percaya kepada Najib Razak sebagai perdana menteri .

Annuar yang baharu dilantik menjadi Ketua Penerangan dan sebelum itu selaku pengerusi Mara, perlu banyak mengeluar kenyataan membedal sesaiapa yang tidak senang dengan Najib termasuk oleh orang dikaguminya suatu masa dulu.

Annuar kena menunjukkan terlebih sayang kepada Najib dengan pelantikan berkenaan. Pelantikan berkenaan memberi laba dan tuah kepadanya kerana bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu boleh melonjakkan semula prestasi politiknya, manalah tahu kalau-kalau dicalonkan sebagai Naib Presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Sebelum ini bintang politik Annuar sudah kabur dan pudar apabila beliau tidak dilantik semula menjadi Menteri selepas kalah dalam pilihan raya 1998. Jadi sebagai orang politik beliau perlu memulihkan dirinya dengan apa cara sekali pun termasuk meminta tolong isteri kalau perlu.

Sebelum ini semasa beliau bermasalah dengan bekas Presiden Umno yang juga PM, Abdullah Ahmad Badawi, katanya isterinyalah menjadi mediator mendekat beliau dengan Abdullah. Peranan Rosiah Abdul Rahman isterinya bagi politik Annuar sama hebat dengan peranan Rosmah Mansor kepada Najib. 

Sewaktu Dr Mahathir berlawan merebut jawatan presiden Umno dengan Tengku Razaleigh Hamzah, 1987 Ahli Parlimen Ketereh itu yang menjadi jurucakap Umno Kelantan, bermati-matian membela Dr Mahathir Mohamad dan rela membelakangkan Tengku Razaleigh calon senegeri dengannya.

Dan hari ini apabila Dr Mahathir tidak lagi berkuasa, secepat kilat Annuar menukar arah sokongan dan memuja orang lain. Jika dilihat macam mana kental dan sayangnya beliau kepada Dr Mahathir suatu waktu dahulu beliau tidak tergamak untuk menyinis Dr Mahathir seperti itu. Meminta seorang dianggap negarawan berhenti bercakap untuk kebaikan partinya adalah biadap.

Tidak menjadi masalah kalau Annuar mempunyai seribu orang yang hendak dipujanya. Asalkan orang itu berbudi dengannya, dia boleh memujanya. Itulah fiil dan budaya politik.

Tetapi setiap kali dia bercakap memuja taukeh barunya seraya memukul lawan taukehnya orang akan teringat kepada sejarah dan pesepsi buruk yang dilaluinya. Annuar banyak "berbolok" dan "bercabuk" dengan berbagai-bagai kisah dan kejadian buruk yang setengahnya masih kejap dalam ingatan orang ramai. 

Misalnya dia pernah disiasat oleh SPRM dan kereta Mercedes miliknya ditahan SPRM berbulan-bulan. Selain itu dia juga diingat kerana KSU dikementeriannya dibawahnya ditangkap SPRM dan dihukum penjara kerana terbabit dengan projek yang dikatakan dalam pengetahuan Annuar selaku menteri. 

Dia juga akan diingat dengan peristiwa "menabalkan" Tengku Ibrahim Indra Putera sebagai Sultan baharu di Kelantan.

Annuar juga diingat dengan beberapa kejadian lain yang bagi saya agak personal dan tidak elok untuk disebut di sini yang mana ada kaitan dengan perempuan dan perempuan. Kalau ingat mendapat maklumat lanjut boleh hubungan Inchek Ibrahim Ali. 

Apabila beliau diingat dengan perkara itu semua, menyebabkan apa yang beliau suarakan untuk membela Najib tidak akan dipercayai oleh orang ramai. Orang ramai akan mempertikakan sejauh mana kebenaran apa yang diucapkan itu kerana orang akan mengaitkan dengan kes-kes dan kisahnya sebelum ini.

Sebab itu saya kata, kalau badan kita gatal dan berkudis jangan mendekati penjual ubat kerana pasti kita akan dikauselingkan agar mengubati diri sendiri dahulu sebelum mengatakan orang lain berkurap dan berpanau. [wm.kl. 10"18 am 20/03/16]

Posted by mohd sayuti Omar at 10:44:00 AM 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa