Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 27, 2016

Ku Li yang memeningkan ramai........

Sunday, March 27, 2016
Apakah upah setimpal Najib untuk Tengku Razaleigh?

SESUDAH SUBUH
Tengku Razaleigh tandatangani deklarasi 
sokong Najib bersama Umno Kelantan.
Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi mempamerkan politik tersendirinya, keluar dari mainstrem dan cuba berdiri atas prinsip yang ramai orang tidak faham. Pada saat orang mengharap beliau bersama rakyat untuk menggerudi supaya Najib Razak berhenti daripada menjadi PM, beliau bertindak memberi sokongan kepada Najib.

Orang tidak menimbulkan persoalan dan prajudis kepadanya kalau beliau bersikap tegas dan konsisten daripada awal berhubung kedudukan Najib. Pada satu masa Tengku Razaleigh menunjukkan ketidaksetujuan kepada Najib ekoran pelbagai masalah dihadapi Najib yang membebankan rakyat dan negara.

Bahkan dalam satu ucapan atau ulasan terbuka dibuatnya, menggesa supaya wakil rakyat, ahli parlimen bertindak ke atas Najib mengadakan undi tidak percaya di parlimen. Usaha untuk menyingkirkan Najib hendak diadakan bagi menyelamatkan kemelut negara. Itu mesejnya.

Semasa berucap dalam parlimen juga beliau mengingatkan kepada wakil rakyat harus berani menyuarakan kepentingan rakyat, menjadi jambatan membawa suara rakyat dan ini termasuklah melakukan perubahan dengan menyingkir pemimpin yang tidak membawa guna kepada rakyat. Beliau mengkritik wakil rakyat yang pengecut sebagai tidak menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Dalam masa lain beliau secara berlembut meminta rakyat supaya berani mengambil tindakan ke atas Najib termasuk mendesak supaya laki Rosmah itu berundur kerana beberapa masalah yang sedang melingkari Najib termasuk bebanan dipikul rakyat ekoran pelaksanaan GST.

Mengenai skandal 1MDB, penyonglapan wang ke dalam akaun Najib, GST, dan dana RM2.6 billion, bekas Menteri Kebinet itu mendesak Najib menjawab dan tidak boleh membisu kerana sikap itu tidak menyelesaikan masalah.

Jelas Tengku Razaleigh begitu vokal berhadapan dengan Najib dalam hal ini.

Namun dalam keadaan lain beliau kelihatan seakan hilang arah dan melupai sikap yang diambil terhadap Najib sebelum ini. Beliau kelihatan menjadi serba salah untuk bertindak antara menjadi ahli politik yang bertaraf negarawan, atau menjadi ahli politik yang ikut sama menegur hal-hal membabitkan isu peribadi orang lain seperti ahli politik yang masih berpolitik.

Orang memahami stail politiknya yang terbuka, ikhlas dan profesional terutama dalam menjaga reputasi orang lain, serta menjaga hubungan baik dengan semua orang, namun adakalanya sikap itu menyebabkan orang meletakkan Tengku Razaleighg sebagai tidak ada pendirian dan keberanian untuk bertindak, menjadikan orang was-was untuk meletakkan harapan besar kepadanya. Lebih parah lagi beliau tidak dilihat sebagai tokoh mahu berlari bersama rakyat.

Misalnya mengenai Deklarasi Rakyat yang dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad dengan disertai oleh semua mereka anti Najib, Tengku Razaleigh mengambil sikap berkecuali. Pengecualian itu menyebabkan orang tertanya-tanya apakah beliau sudah menyokong Najib semula? Penandatangani deklarasi bersama badan perhubungan Umno Kelantan menyokong Najib menimbulkan konfius kepada cara dia berpolitik.

Difahamkan penandatangan deklarasi menyokong Najib berasama Umno Kelantan itu adalah yang paling akhir olehnya. Tetapi peristiwa itu telah merekodkan bahawa Tengku Razaleigh bersama Umno menyokong Najib. Tindakan itu telah digunakan oleh Umno Kelantan bahawa Tengku Razaleigh menolak Deklarasi Rakyat dan kongres yang diadakan hari ini. Pernyataan itu menyebabkan ia ditafsir Tengku sudah "ok" dengan Najib.

Kenapa? Kita hormati pendirian Tengku Razaleigh yang tersendiri dan unik itu. Beliau juga berpengalaman dan juga sudah mengetahui permainan politik Dr Mahathir, kebijaksanaan Dr Mahathir menggunakan kesempatan untuk kepuasan dirinya. Dan Tengku Razaleigh sendiri sudah tiga kali ditipu hidup-hidup olehnya. Mungkin dia sudah perit dengan Dr Mahathir.

Apakah bagi mengelakkkan tertipu dengan Dr Mahathir atas kepentingan dirinya, maka Tengku bersikap "kluk klik" seperti hari ini dalam berhadapan dengan Najib? Tidak bersekongkol bersama Dr Mahathir dan tokoh-tokoh lain untuk menghambat Najib? Begitukah? Tidak sepatutnya beliau meletakkan dirinya dalam neraca yang sukar dikira, Tengku Razaleigh ada cara lain lebih fatanah untuk menghuraikan perkara ini kerana bagi umum dengan menyokong Najib dalam keadaan hari ini lebih baik, beliau mendiamkan diri walaupun tidak menyokong Deklarasi Rakyat.

Tidak mengapa. Yang pastinya apa dilakukan Tengku Razaleigh telah memberi markah besar kepada Najib. Sewajarnya Najib membalas budi baik dan pengorbanan menarik sokongan kepada usaha menjatuhkannya dengan menanda tangan deklarasi bersama Umno Kelantan.

Najib dan Umno akan menggunakan keputusan Tengku Razaleigh itu sebagai modal menunjukkan Najib mendapat sokongan ahli parlimen Gua Musang itu. Tengku Razaleigh adalah sebagai proksi sebahagian sekumpulan lain yang setia bersamanya. Najib mendapat sokongan moral besar dengan sokongan Tengku Razaleigh itu setidak-tidaknya beliau boleh tunjukkan kepada Dr Mahathir yang dia masih mendapat sokongan tokoh veteran.

Bertolak dari itu, tentu orang ingin tahu apakah yang Najib balas atas kebaikan Tengku itu? Najib harus memberi sesuatu kepada Tengku. Khabarnya Tengku ditawarkan menjadi Penasihat Petronas, tetapi ditolak, selepas itu diberikan kepada Abdullah Ahmad Badawi. Ada logiknya kalau Tengku menolak jawatan itu, ada sebab-sebab yang telah dinyatakan.

Saya yakin kalau Najib seorang perdana menteri yang mengenang budi dan menghormati sokongan orang terhadapnya, ada sesuatu yang beliau harus berikan kepada Tengku Razaleigh sebagai "ufti". Mungkin untuk menyatakan Tengku bakal menjadi penggantinya sebagai PM, terlampau. Dalam Umno tidak semua menyukai dan menyenangi Tengku Razaleigh. Era dan popularitinya sudah menghujung.

Orang-orang TPM sekarang akan protes walaupun mereka menyedari dari segi kualiti sebagai bakal PM antara Ahmad Zahid Hamidi dengan Tengku bezanya di antara bumi dengan langit.

Justeru sebaik-baik bagi Najib untuk memanfaatkan Tengku Razaleigh dalam usaha membantunya, elok kalau Tengku dilantik menjadi Menteri Mentor dalam kerajaan Malaysia yang diimpikan Mahathir. Bagilah porfolio perdagangan, ekonomi dan kewangan untuk dipantau dan dinasihati oleh Tengku Razaleigh. Pengalaman dan kepakaran yang ada kepadanya dalam aspek itu boleh dimanfaatkan untuk negara.

Tengku Razaleigh tidak pelahap kepada jawatan dan kedudukan itu, tetapi Najib yang kini dalam terdesak tiba-tiba mendapat sokogan Tengku Razaleigh harus mengenang dan menilainya. Dan kalau Tengku Razaleigh hanya diberikan gelaran tertinggi negara sebagai Tun, pun mungkin sudah cukup untuk dijadikan kenangan buah Tengku. [mw.kl. 7:30 am 27/03/16]

Posted by mohd sayuti Omar at 7:45:00 AM

3 comments:

  1. MAKIN BERSULUH LAGI BERSINAR.

    ReplyDelete
  2. Menteri besar kelantan habuannya..

    ReplyDelete
  3. Pondek punya orang kiri kanan depan blakang semua sapu.....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa