Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 13, 2016

Fitnah atau khabar angin?

PTPTN tidak ambil wang pelajar dalam TH

April 12, 2016
Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua transaksi pengeluaran ataupun pindahan wang bagi mana-mana akaun, tidak kira akaun bank atau TH dibuat atas arahan pemilik akaun itu sendiri
Shamsul-Anuar_ptpt4
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil wang simpanan mahupun mengakses akaun peribadi rakyat, termasuk di Tabung Haji (TH).
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua transaksi pengeluaran ataupun pindahan wang bagi mana-mana akaun, tidak kira akaun bank atau TH dibuat atas arahan pemilik akaun itu sendiri.
“Bayaran secara terus melalui simpanan dalam akaun TH juga bukanlah saluran bayaran balik yang telah disediakan PTPTN,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau mengulas dakwaan seorang mahasiswi bahawa duit berjumlah RM30,000 dalam akaun THnya hilang, gara-gara diambil PTPTN sebagaimana disebarkan di laman sosial.
Shamsul Anuar berkata, sebaran itu merupakan satu fitnah dan khabar angin pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, PTPTN akan membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya isu ini dihentikan.
“Kita juga meminta mahasiswi tersebut membuat laporan polis atas kehilangan wang di dalam TH untuk mengetahui punca sebenar,” katanya.
Jelasnya, setakat ini, saluran bayaran balik pinjaman ialah melalui kaunter PTPTN di seluruh negara, kaunter ejen (Bank Islam, CIMB Bank, BSN, Bank Rakyat dan Pos Malaysia), potongan gaji atau pengeluaran akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, peminjam juga boleh membuat bayaran secara online, yang mana transaksi dilakukan oleh peminjam itu sendiri.
Menyentuh isu sama, Lembaga Tabung Haji (TH) turut menafikan pembabitannya dalam mengeluarkan simpanan pendeposit TH untuk membayar pinjaman PTPTN.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH berkata, maklumat yang disebarkan itu adalah tidak benar dan berunsur fitnah.
“TH tidak ada sebarang usaha sama berkaitan pembayaran pinjaman dengan PTPTN dan semua pendebitan wang keluar daripada akaun pendeposit perlulah dibuat dengan arahan dan persetujuan pendeposit sendiri.
“Pihak terbabit dalam hal ini telah tampil memohon maaf kepada TH pada hari ini melalui surat dan juga laman sosial,” katanya yang menyeru orang ramai supaya memastikan kebenaran dan ketepatan maklumat yang hendak disebarkan, kerana penyebaran maklumat tidak tepat seumpama itu memberi impak negatif kepada TH serta mengelirukan pendeposit.
Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar mengulangi pembiayaan PTPTN bukan pembiayaan berunsur riba, sebagaimana yang tersebar dalam laman sosial baru-baru ini.
Katanya, PTPTN adalah pembiayaan pendidikan patuh syariah, sebagaimana diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Jun 2008.
“Ujrah atau upah satu peratus setahun atas kadar rata amat minimum dan bukan atas dasar mengambil keuntungan serta diperlukan bagi menampung kos operasi PTPTN, termasuk kos pengurusan dan pentadbiran setiap akaun peminjam,” katanya.
Selain itu, katanya, peminjam juga tidak dikenakan sebarang ujrah atau upah, sekiranya membuat pembayaran balik dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa