Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 13, 2016

Keluar UMNO kerana mahu didewakan, yang dewakan UMNO bagaimana?

Keluar Umno kerana mahu terus didewa-dewakan?
pada 12-04-2016 01:04
Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Apakah sudah tertulis di mana-mana bahawa Umno juga akan merintis denai sejarah sama dengan fahaman Wahabi yang tidak mahu sentimentalisme menggugat akidah perjuangannya?
Catatan sejarah Umno menunjukkan bahawa bukan Umno cuba menafikan tempat yang wajar untuk pemimpin-pemimpin silamnya tetapi perhitungan politik menjadikannya kalis naluri untuk mendewa-dewakan pemimpin. 

Bezanya, gerakan Wahabi di Arab Saudi menghapuskan artifak sejarah seperti menebang pohon di mana bai’ah Rasulullah dan para sahabat dilafazkan di Hudaibiyah dan merobohkan rumah kelahiran Rasululllah s.a.w. kerna bimbang ia boleh memesong akidah ummah. 

Bagaimanapun dalam Umno kebanyakan pemimpinnya sendiri yang meninggalkan parti itu kerana tidak mahu menerima perubahan dan tuntutan zaman tetapi mahu terus disanjung sebagai pejuang bangsa. 

Kecuali Tun Abdul Razak yang pulang ke rahmatullah sebagai ahli Umno, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, dan mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggalkan alam fana ini bukan sebagai ahli Umno.

Datuk Onn Jaafar meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Negara kerana kecewa wawasannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua bangsa tidak dipersetujui parti. 

Begitu juga dengan Tunku Abdul Rahman. Apabila berlaku krisis kepimpinan dalam Umno pada 1987 dan parti itu diharamkan tahun berikutnya, Tunku meninggal dunia bukan sebagai ahli Umno kerana tidak bersetuju dengan halatuju pimpinan Tun Mahathir ketika itu. 

Pendirian Tunku itu dikongsi oleh Allahyarham Tun Hussein Onn yang juga kecewa dengan politik penggantinya, Tun Dr Mahathir,  yang dikatakan rela Umno diharamkan agar semua musuhnya boleh dinyahkan dari parti itu. 

Sebaik Umno diharamkan kerana ada mesyuarat tahunan cawangan dan bahagian yang tidak sah, Mahathir bertindak mendaftarkan semula parti itu atas nama Umno Baru. Tunku dan Hussein Onn tidak bersetuju dan enggan mendaftarkan diri sebagai ahli parti baru itu. 

Bagaimanapun bak hukum karma, Mahathir mendapati penggantinya, Tun Abdullah Badawi tidak mematuhi wawasannya (Mahathir) dan menyeru rakyat berontak menurunkan Pak Lah. 

Apabila percubaan menjatuhkan Pak Llah kurang berkesan, Mahathir merajuk dan keluar Umno bersama isterinya, Tun Dr Hasmah Ali. Ketika itu Mahathir tentu dapat merasakan betapa kecewanya Tunku dan Hussein Onn apabila Mahathir tidak mengikut kompas politik yang telah mereka tentukan. 

Akhirnya, sebagai orang kuat imannya, Pak Lah rasa tertekan dan cuba menghindar perbalahan yang tidak menguntungkan negara, bangsa dan agama lalu berundur dari politik.

Demi kesejahteraan dalam Umno, Pak Lah  juga akur akan kehendak Mahathir supaya memilih Najib untuk mengambil alih tempatnya. 

Apabila rajuknya berjaya, Mahathir pulang ke pangkuan Umno. Beliau kemudian diberikan penghormatan setinggi-tingginya termasuk menjadi penasihat projek kesayangannya, perusahaan Proton.

Namun kemudian Mahathir merajuk lagi. Orang yang beliau sendiri syorkan supaya menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, didapati tidak serasi dan sehaluan dengan firasat dan pemikiran politiknya. 

Mahathir meninggalkan Umno sekali lagi. Ini bermakna tiga kali beliau keluar Umno. Pertama kali dipecat oleh Tunku Abdul Rahman dan dua kali merajuk dan meninggalkan Umno.

Adalah nyata bahawa baik Onn Jaafar, mahupun Tunku atau Hussein Onn, dan kini Mahathir masing-masing sukar menerima hakikat bahawa ada pemimpin baru dalam Umno akan memimpin parti itu tidak mengikut citarasa mereka. 

Kini Mahathir keluar Umno lagi dan mempamerkan dendam kesumat amat tinggi terhadap Najib. Anehnya kali ini beliau mendambakan diri kepada musuh-musuh politik lamanya seperti DAP dan PKR khusus untuk menjatuhkan Najib. 

Jika mengikut tradisi pemikiran feudal bekas pemimpin-pemimpin Umno, mereka tidak mahu berubah dan mengubah pemikiran politik mereka walaupun keadaan politik semasa menuntut supaya parti itu berubah.

Kali ini, secara terbuka ahli-ahli Umno melafazkan pendirian mereka tidak mahu Mahathir pulang semula pada parti itu. Ini kerana tindak tanduknya kini bukan sahaja mahu menjatuhkan Najib malah mahu memusnahkan Umno itu sendiri. 

Dalam keadaan ini Umno terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti bahawa ia tidak boleh mengizinkan perjuangannya dibuai oleh pemimpin silam. Justeru tidaklah begitu tepat untuk mengatakan bahawa Umno menganuti faham feudal.

Ini kerana yang sudah terbukti le bih bersikap feudal ialah pemimpin atasan Umno berbanding dengan ahli dan pemimpin pertengahan parti itu. 

Apabila dirasuk feudalisme, walaupun sudah terpinggir atau meminggirkan diri daripada Umno kerana dosa politik yang dilakukan, feudalis ini akan bertindak seperti orang gila talak dan meroyan mahu kembali memimpin Umno. 

Jika tidak ada jalan masuk ke Umno semula sebagai pemimpin, mereka yang bersikap feudal ini akan melompat ke parti-parti pembangkang. Misalnya, bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Pernah dalam usaha melonjak anak tangga politik Umno, Muhammad Taib bergabung dengan pemimpin seperti Rahim Thamby Chik dan Anwar Ibrahim untuk berkempen atas slogan Melayu Baru. 

Mereka tidak segan silu mengitarkan slogan mendaulatkan Melayu -- budaya dan bahasanya -- dan menagih undi untuk dipilih sebagai pemimpin-pemimpin Melayu Umno. 

Bagaimanapun kini apabila berada dalam PKR, parti yang memusuhi Umno, Muhammad Taib mula memujuk Melayu bahawa kepentingan bahasa budaya dan agama mereka tidak akan tergugat walaupun Umno berkubur.

Muhammad Taib cuba meremehkan kegusaran Melayu hari ini jika Umno tumbang, Cina DAP akan memerintah di negara. 

Dalam tulisannya yang viral di media sosial Mat Taib atau Mike Tyson berhujah walaupun di Pulau Pinang.  Selangor dan Perak Umno-BN sudah tumbang. Raja dan Gabenor tetap Melayu dan kakitangan kanan kerajaan pun Melayu.

Bagaimanapun hakikat yang cuba disorokkan oleh pemimpin berpemikiran feudal seperti Mike Tyson ini, bilangan exco bukan-Melayu bertambah dan mereka banyak mempengaruhi halatuju pemerintahan negeri.

Bagi penaja-penaja politik bukan-Melayu mereka tidak kisah Melayu menduduki kerusi politik utama, asalkan “mereka boleh ditaja”. 

Di Selangor pada zaman Mike Tyson, berapa ramai pemaju bukan-Melayu terpaksa berlutut mohon izin untuk membangunkan tanah yang mereka sudah beli daripada pemilik Melayu.

Jika semakin ramai exco kerajaan negeri bukan-Melayu, tidak mustahil wakil DAP, parti tajaan tauke-tauke bukan-Melayu itu,  tidak perlu melutut lagi untuk mendapatkan permit pembangunan. Mereka boleh arah sahaja exco meluluskannya.

Sebenarnya, Mike Tyson dan pemimpin Melayu berjiwa feudal seumpamanya bukanlah mempunyai agenda Selamatkan Malaysia tetapi sasaran mereka ialah  untuk terus menyambung gaya hidup feudal mereka. 

Sebab itu makin ramai bekas pemimpin Umno akan kembali ke pangkuan Ilahi bukan sebagai ahli Umno kerana mereka mahu terus hidup “beraja di mata dan bersultan di hati” 
Mujur Umno tidak terperangkap dalam budaya mendewa-dewakan pemimpin.        

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa