Wednesday, April 13, 2016

Kevin Morais mungkin mati kelemasan udara

April 12, 2016
Saksi berkata demikian kerana jasad Kevin Morais menjalani proses pembusukan dan bukan dalam keadaan segar, yang boleh menampakkan kesan kelemasan udara.
kelvin
KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais berkemungkinan tinggi mati akibat kelemasan udara atau ‘probable asphyxiation’, Mahkamah Tinggi diberitahu.
Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 51, berkata Kevin Morais telah melalui satu keadaan faktor luaran yang menyebabkannya tidak dapat bernafas dan mengalami kekurangan oksigen atau ketiadaan oksigen.
“Berdasarkan bedah siasat mayat, sebab kematian si mati adalah “probable asphyxiation’, oleh itu saya berpendapat kemungkinannya (kelemasan udara) adalah tinggi sebabkan kematian si mati,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan hari keempat kes pembunuhan Kevin Morais di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Ditanya mengapa beliau berpendapat sedemikian, saksi itu berkata jasad Kevin Morais telah menjalani proses pembusukan dan bukan dalam keadaan segar, yang boleh menampakkan kesan kelemasan udara.
Saksi ke-11 itu juga berpendapat kemungkinan tinggi Kevin Morais telah mati sebelum dimasukkkan ke dalam karung guni yang kemudiannya dimasukkan ke dalam tong dram.
“Ini berdasarkan tiada kesan-kesan menunjukkan beliau bergerak, kesan pergelutan atau kesan meronta pada anggota bahagian tangan dan kaki. Posisi si mati masih dalam keadaan tidak normal iaitu keadaan “fetal like position” (kedudukan seperti janin),” katanya.
Enam lelaki – G. Gunasekaran, 48, R. Dinishwaran, 24, A. K. Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa.
Dr Nurliza berkata hasil bedah siasat juga menunjukkan tujuh kesan kecederaan pada si mati yang bersesuaian dengan kesan darah beku antaranya pada bahagian kiri atas bibir, bahagian kiri tulang selangka iaitu bahagian atas hadapan dada dan di punggung kiri.
“Hasil siasatan mendapati tiada kelihatan kesan-kesan kecederaan berbentuk ‘defensive wound’ (kecederaan akibat mempertahankan diri) pada bahagian tangannya,” katanya yang berpengalaman dalam bidang forensik selama 20 tahun.
Merujuk kepada laporan bedah siasat yang menyatakan muka Kevin Morais kelihatan lebih gelap, Dr Nurliza berkata “sign of congestion” (tanda kongesi) boleh kelihatan pada seluruh bahagian muka dan kepala Kevin Morais kerana bahagian tubuh badan lain tidaklah segelap bahagian kepalanya.
“Tanda kongesi adalah salah satu tanda pada seseorang itu mengalami asphyxia (kelemasan) akibat pengumpulan darah dalam salur darah yang mengakibatkan ketiadaan oksigen dan bahagian muka menjadi gelap atau biru kehitaman,” katanya.
Dr Nurliza turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengesahkan mayat Kevin Morais dalam laporan bedah siasat bertarikh 22 Okt 2015 selepas identiti mangsa disahkan konsisten dengan profil DNA adik beradiknya.
Beliau memberitahu mahkamah bedah siasat itu dijalankan bersama Dr Ahmad Hafizam Hasmi selepas mereka menerima mayat daripada pihak polis pada 3.05 petang 16 Sept 2015.
Ditanya mengapa dua pakar forensik terlibat dalam bedah siasat itu, Dr Nurliza menjawab mereka difahamkan oleh polis bahawa kes itu melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan dan telah menarik perhatian umum.
Mengenai keadaan mayat Kevin Morais ketika dikeluarkan dari karung guni, beliau berkata jasad mangsa berpakaian lengkap tanpa kasut dalam keadaan mereput.
“Posisi mayat adalah seperti ‘fetal like position’ yang mana bahagian sendi lutut membengkok dan sendi pinggul juga membengkok. Bahagian ‘upper limbs’ diikat dengan satu tali leher dengan ikatan longgar dan diletakkan pada bahagian
belakang tubuh si mati.
“Jasad mayat adalah dalam keadaan pereputan sederhana dengan permukaan kulit yang telah mengelupas akibat pembusukan,” katanya.
Perbicaraan bersambung esok.
– FMT

2 comments:

  1. Dah di sumbat dlm tong simen mmg la mati sesak nafas. Petsoalannya siapa yg sumbat dan simen?

    ReplyDelete
  2. Dah di sumbat dlm tong simen mmg la mati sesak nafas. Petsoalannya siapa yg sumbat dan simen?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa